'Selama 16 tahun saya melihat kebaikannya...' Suami Zizie Izette sudah tiada, Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun
SUAMI kepada pelakon terkenal Datin Seri Zizie Izette iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 1.46 pagi.
Perkara itu disampaikan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar melalui satu hantaran di Facebook.
"Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H)".
Sebelum ini, media melaporkan beliau berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat kerana komplikasi yang melibatkan paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.
Terdahulu, Zizie menerusi Insta Story memuat naik hantaran menyentuh hati ketika suaminya menerima rawatan di hospital.
Aktres berusia 47 tahun itu meluahkan bahawa sepanjang 16 tahun hidup bersama, hanya dirinya benar-benar mengenali hati budi suaminya.

“Mereka mungkin tidak tahu hatinya, tetapi saya tahu.
“Selama 16 tahun saya melihat kebaikannya, kemurahan hatinya dan kasih sayangnya terhadap orang lain.
“Mohon semua doakan beliau,” tulisnya.
Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung pada Disember 2009. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu pasangan kembar lelaki iaitu Aaleph Zake Izette dan Aadam Zac Izette dan seorang anak perempuan, Aalisa Belle Izette.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak angkat iaitu Naila Nurjenna dan Aaric Zayn Izette.
Bung Moktar terdahulu mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17baru-baru ini.
Pada PRN ke-16 pada 2020, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memenangi kerusi Lamag yang kali pertama dipertandingkan dengan majoriti 661 undi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
