'Susah macam mana pun, cuba tinggal asing dengan mentua' – Pesanan Aqil Zulkiflee tentang privasi suami isteri

No Image Caption
A
A
A

PEMPENGARUH dan pencipta kandungan popular, Aqil Zulkiflee, baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila berkongsi pesanan terbuka buat pasangan suami isteri yang masih tinggal bersama keluarga mertua.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, pemilik nama penuh, Ahmad Aqil Zulkiflee menitipkan nasihat yang cukup dekat di hati ramai pasangan muda iaitu soal privasi dan batas kehidupan berumah tangga.

“Susah macam mana sekalipun, kalau dah kahwin seeloknya usahakan untuk tinggal asing dengan keluarga mentua.

"Privasi untuk suami dan isteri itu penting. Bila dah kahwin, hanya kita dan pasangan sahaja,” tulisnya.

Menurut Aqil, walau niat asal mungkin baik untuk membantu atau berjimat, namun berkongsi satu bumbung dengan orang lain, termasuk mentua, boleh mengganggu keharmonian rumah tangga tanpa disedari.

“Bila ada orang lain dalam rumah, kau buatlah baik macam mana pun, mesti akan ada masalah.

"Emosi pasangan kena jaga,” ujarnya lagi dengan nada jujur.

MEMBINA HUBUNGAN 

Perkongsian tersebut nyata mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warganet. Rata-rata bersetuju dengan pandangan personaliti muda itu bahawa ruang privasi amat penting dalam membina hubungan suami isteri yang sihat.

No Image Caption

Antara komen yang mencuri perhatian berbunyi:

“Betul setuju. Walaupun baik macam mana pun, isteri perlukan privacy. Sebelum kahwin cakap lain, dah kahwin lain jadinya.”

Seorang lagi pengguna menambah, isu tinggal serumah dengan mertua bukan sekadar soal selesa, tetapi juga melibatkan batas aurat dan emosi.

“Kenapa kena asing? Sebab aurat juga. Kesian isteri kalau nak pakai tudung setiap kali keluar bilik.”

Ada juga yang berkongsi pengalaman peribadi dengan nada bersahaja:

“Elok juga tinggal asing. Dari situ baru tahu suami ada bakat terpendam. Rupa-rupanya pandai masak!”

Hidup berdua bukan soal menjarakkan hubungan, tapi menghargai batas

Ramai bersetuju bahawa tinggal berasingan bukan bermaksud menjauhkan diri daripada keluarga, tetapi lebih kepada memberi ruang untuk membina identiti dan keharmonian rumah tangga sendiri.

Bagi generasi muda yang baru melangkah ke alam perkahwinan, cabaran ekonomi dan persekitaran mungkin menjadi alasan untuk terus tinggal bersama ibu bapa.

Namun, seperti yang ditekankan Aqil, usaha untuk berdikari walaupun sekadar menyewa kecil boleh memberi impak besar kepada kebahagiaan rumah tangga.

Dalam dunia serba moden ini, nasihat Aqil disambut baik bukan sekadar kerana popularitinya sebagai pempengaruh, tetapi kerana pesanannya berpaksikan realiti yang ramai pasangan pernah lalui.

Kadangkala, kedamaian rumah tangga bukan terletak pada saiz rumah atau harta yang dikumpul, tetapi pada ruang kecil yang hanya dimiliki berdua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang