Trofi AJL 'ikut' balik kampung, Marsha kongsi tradisi raya bersama keluarga mentua. 'Saya dah lali soalan tentang anak'

A
A
A

SEORANG yang periang, berbakat besar dan sentiasa merendah hati. Itulah pesona yang membuatkan Marsha Milan dekat di hati peminat.

Senyuman manis tidak lekang di wajahnya, dan suaranya yang merdu menjadi peneman setia di corong radio serta pentas hiburan.

Namun, di sebalik sinaran glamor, tersimpan perjalanan hidup yang penuh warna-warni, termasuk kisah keimanannya yang kini sudah memasuki satu dekad.

No Image Caption

Tahun 2025 menjadi penanda aras istimewa buat pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh. Pejam celik, penyanyi dan pelakon itu rupa-rupanya sudah sedekad bergelar seorang Muslim.

Saban tahun, tibanya Ramadan dan Syawal, pasti menyingkap kembali kenangan awal saat beliau mula mengenali Islam. Setiap kali bulan yang mulia ini menjelang, hati Marsha pasti diulit memori indah dan penuh keinsafan.

Anak kelahiran Michigan, Amerika Syarikat itu terkenang saat pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah ketika dirinya masih bertatih dalam memahami Islam.

"Saya masih merangkak dalam solat ketika itu. Hati berdebar, takut tidak sempurna ibadah saya. Tetapi itulah keindahan Islam, semakin kita belajar, semakin kita jatuh cinta dengannya,” ujar Marsha penuh syukur.

Perjalanan spritual

Sejak bergelar saudara baharu, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi sebuah perjalanan spiritual yang memperkukuh hubungan dirinya dengan Allah.

No Image Caption



Dari hanya mencuba berpuasa sebelum memeluk Islam, kini ibadah itu sudah sebati dalam kehidupannya.

Malah, solat tarawih dan sahur bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam Ismail, menjadi antara momen yang paling dinanti-nantikannya.

“Bulan puasa saya rasa gementar kerana pengalaman yang memerlukan banyak kesabaran dan istighfar.

"Dalam satu majlis ilmu, seorang ustazah menasihatkan agar kita memperbanyakkan istighfar. Saya anggap ia seperti satu perjalanan spiritual yang kita perlu lalui dengan penuh keikhlasan,” jelasnya lagi.



Menyambut Syawal pula membawa kegembiraan tersendiri buat Marsha. Berkahwin dengan lelaki dari keluarga besar di Pulau Pinang, anak ketiga daripada empat beradik itu sudah terbiasa dengan kemeriahan rumah mentuanya setiap kali hari raya menjelang.

“Tahun ini kami akan balik lebih awal ke Pulau Pinang. Setiap kali raya, rumah mentua saya memang jadi tumpuan. Meriah sungguh dengan kehadiran tetamu yang datang berkunjung seawal jam sembilan pagi. Saya seronok dapat belajar banyak perkara, terutama dalam menyediakan juadah tradisi,” katanya tersenyum.

Namun, ada satu permintaan khas daripada suaminya yang membuatkan Marsha teruja.

No Image Caption



“Suami berpesan, tahun ini saya kena bawa pulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke Pulau Pinang. Katanya, saudara-mara semua teruja nak tengok sendiri trofi itu!” kongsinya sambil tertawa.

Bagi Marsha, permintaan itu bukan sekadar satu jenaka, tetapi sebuah penghargaan daripada keluarga yang sentiasa menyokongnya. Tanpa mereka, perjalanan seninya mungkin tidak seindah hari ini.

Hening Rindu

Menyebut tentang trofi yang diraihnya, biarpun sudah beberapa bulan berlalu, kehangatan kemenangan menerusi lagu Hening Rindu yang muncul juara Anugerah Juara Lagu ke-39 masih terasa.

“Malam itu sangat luar biasa. Saya masih tidak percaya apabila melihat penonton berdiri memberi tepukan. Saya rasa sangat terharu dan bersyukur,” katanya mengenang kembali malam penuh bersejarah itu.

Bersama komposer dan penulis lirik lagu tersebut, Marsha membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000 dan sebuah trofi.

Namun, bagi dirinya, kemenangan terbesar adalah kasih sayang dan penghargaan yang diterimanya daripada peminat.

“Saya sangat terkejut apabila ramai orang datang kepada saya, ucap tahniah, peluk dan cium saya. Ia sesuatu yang sangat istimewa buat saya,” luahnya jujur.

Dari pentas AJL ke kehangatan Syawal di Pulau Pinang, tahun 2025 juga benar-benar memberi makna buat beliau.

Selain kejayaan AJL, tahun ini juga istimewa kerana Marsha akhirnya merealisasikan impian lama dengan melancarkan album berkonsepkan muzik Borneo, Misompuru.

No Image Caption

“Sejak awal berada dalam industri ini, saya memang teringin mempunyai sebuah album muzik Borneo.

"Bila saya sudah ada sumber mencukupi, dana kewangan pun ada serta pasukan yang kuat, maka terhasillah Misompuru.

"Saya rasa projek ini dekat dengan hati dan pada masa sama, cukup berbangga dengan budaya turun-temurun kami,” ujarnya.

Tambah wanita yang berasal dari Tamparuli, Sabah itu lagi, istimewanya album tersebut apabila beliau berkolaborasi dengan rakan-rakannya seperti Velvet Aduk, Alena Murang, Amir Jahari dan Rich Gimbang. Bukan itu sahaja, Marsha turut menyumbang idea bagi lirik lagu Santai Saja.

Rezeki Zuriat

Beralih kepada soal zuriat, Marsha akui soalan itu sudah menjadi ‘soalan wajib’ yang sering ditanya, lebih-lebih lagi ketika berkumpul ramai-ramai terutama di hari raya.

Genap 10 tahun berumah tangga, namun belum memiliki rezeki untuk menimang cahaya mata. Pun demikian, beliau dan suami tetap optimis dan tidak pernah berputus asa.

“Saya hanya tersenyum bila ditanya bila nak ada anak, kerana sudah lali dengannya. Wanita mana yang tidak mahu memiliki zuriat sendiri, kan? Tetapi belum ada rezeki untuk kami berdua (suami).

"Alhamdulillah, walaupun begitu, Tuhan berikan rezeki dalam bentuk lain. Saya bersyukur kerana dikelilingi kasih sayang yang melimpah ruah,” ujarnya sambil tersenyum.

No Image Caption



Baru-baru ini, sebagai tanda syukur atas kejayaannya, Marsha memilih untuk meraikan kemenangannya di AJL39 bersama anak-anak yatim dan asnaf di Rumah Baitun Nurrawdhah, Ampang.

“Syukur dan terharu dapat bertemu anak-anak tahfiz di sini. Mereka sangat mesra, malah sudah seperti keluarga sendiri.

Kehadiran mereka mengingatkan saya tentang pentingnya berkongsi rezeki dengan yang memerlukan,” katanya.

Sebelum menutup perbualan, sempat penulis meminta beliau berkongsi tentang pembabitan sebagai duta Eco-Shop.

No Image Caption



Ditemui dalam majlis pelancaran kempen istimewa "Jom Serikan Raya Bersama Eco-Shop" baru-baru ini, akui Marsha, ini merupakan tahun kedua bersama jenama tersebut.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Eco. Mungkin orang lihat saya hidup dalam rumah yang besar, namun saya hanya beli barangan mewah waktu tertentu sebagai hadiah untuk diri sendiri.

"Lagipun saya seorang yang praktikal, jadi lebih memilih barangan tempatan yang berkualiti dan cantik,” ungkap pelantun lagu Tangisan Seorang Pendosa bagi runut bunyi drama bersiri Keluarga Itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang