Uyaina Arshad undur diri dari WHI selepas 9 tahun – ‘Tiada sengketa, sudah tiba masanya'
BEBERAPA hari lalu, Uyaina Arshad mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya daripada kerusi pengacara Wanita Hari Ini (WHI).
Setelah sembilan tahun menjadi wajah yang sinonim dengan program bual bicara wanita itu, Uyaina akhirnya memilih untuk melangkah pergi.
Namun, langkahnya itu bukan disebabkan oleh sebarang konflik, tetapi menurut tuan empunya badan, sudah tiba masanya.

“Kadang-kadang, kita cuma perlu tahu bila masanya untuk pergi,” tulisnya dalam satu perkongsian yang cukup menyentuh hati.
Keputusan yang dibuat bukan mudah, malah penuh pertimbangan.
Namun, selepas hampir satu dekad mengemudi WHI, Uyaina percaya inilah saat terbaik untuk mengorak langkah ke fasa baharu dalam hidup dan kerjayanya.
WHI bukan sekadar tempat kerja, sebaliknya sudah menjadi rumah kedua buat ibu kepada dua cahaya mata itu.

“WHI adalah rumah saya. Dan pasukan WHI adalah keluarga saya.
"Program ini telah banyak mengajar saya tentang dunia penyiaran, daripada menyusun kata, menjaga sensitiviti hinggalah menyampaikan ilmu secara beradab dan menghiburkan,” ujarnya.
Melihat ke belakang, sembilan tahun yang dilalui bukan satu tempoh yang singkat.
“Alhamdulillah, pencapaian terbesar saya adalah diberi kepercayaan tahun demi tahun untuk mengemudi sebuah program sehebat WHI selama sembilan tahun,” kata Uyaina yang mengakui ia merupakan antara momen paling membanggakan dalam hidupnya.
Kenangan bersama dua rakan pengacara pertamanya, Renahazrena dan Fiza Sabjahan juga diangkat sebagai antara detik paling penting dalam perjalanan awalnya.
“Banyak ilmu yang mereka curahkan kepada saya dan mengajar saya untuk menjadi seorang pengacara yang berilmu dan beretika.”
"Tidak ketinggalan, penghargaan turut ditujukan kepada rakan-rakan hos lain seperti Fahrin Ahmad, Sugeeta Chandran, Fatin Mims dan Izzaty Syahira yang pernah sama-sama berkongsi pentas siaran langsung bersama.

“It’s been an honour to be hosting alongside you guys all these years. Teruskan legasi WHI!” katanya penuh semangat.
Ucapan terima kasih juga diberikan buat seluruh tenaga kerja WHI, daripada penerbit, kru teknikal, jurusolek hinggalah ke penata gaya.
“Thank you & Yana takkan lupakan korang semua,” luahnya, menyedari betapa besar peranan pasukan belakang tabir dalam menjayakan setiap episod.
Namun, paling menyentuh hati adalah penghargaan yang ditujukan khas buat penonton setia WHI.
“Setiap perhatian yang diberikan, setiap kata-kata yang membina. Setiap kali anda menonton, itulah kejayaan dan kepuasan sebenar buat Uyaina,” katanya dalam nada syukur dan rendah hati.
Walaupun belum berkongsi secara terperinci mengenai hala tuju selepas ini, pemilik nama sebenar, Saidatul Naseha Uyaina Arshad tidak menyembunyikan keterujaannya terhadap masa depan.
“I’m so excited & hopeful for my what’s next. Doakan Uyaina tau,” katanya penuh harapan.
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu turut mengakhiri catatannya dengan pesanan bahawa perpisahan ini bukanlah penamat segalanya.

“Semoga kita semua dapat berjumpa lagi. Kalau bukan di sini, mungkin di 1001 kesempatan yang lain,” katanya, menutup lembaran indah bersama WHI dengan jiwa yang tenang.
Pemergian Uyaina daripada WHI bukanlah satu kehilangan kecil. Ia adalah momen bersejarah buat program itu dan buat jutaan penonton yang telah menyaksikan transformasinya daripada seorang hos muda kepada ikon penyiaran wanita berwibawa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
