Fahami kehidupan anak autistik

No Image Caption
A
A
A

ZAMAN teknologi digital berkembang pesat kini memudahkan kita mendapatkan maklumat dan ilmu yang mungkin sebelum ini tidak pernah tahu.

Misalnya, pendedahan mengenai autisme, yang membuka mata dan minda untuk memahami golongan tersebut.

Dengan memahami individu autisme, orang ramai mempunyai kefahaman dan pendedahan yang tepat mempunyai sikap berdisplin, sabar dan penyayang terhadap golongan yang istimewa itu.

Menurut Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Muhamad Hafiz Hassan, autisme bukanlah penyakit, tetapi ia adalah gangguan perkembangan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti kelemahan dalam komunikasi dan interaksi sosial, serta tingkah laku terbatas dan berulang.

Namun, individu autistik sebenarnya berpeluang untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain jika menerima pendedahan, sokongan dan rawatan yang betul sejak dari awal lagi.

Pendekatan terapi“Tidak dapat dinafikan, ada dalam kalangan ibu bapa dan penjaga yang berasa tertekan dan cemas apabila menerima diagnosis autisme pada anak atau orang di bawah jagaan mereka. Ini kerana, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi baharu yang mencabar untuk diuruskan. Ditambah pula dengan bebanan kewangan, terutama dalam menyediakan kelas pendidikan khas dan pelbagai terapi lain yang diperlukan si kecil.

“Namun, apa yang penting ialah, sikap ibu bapa dan penjaga itu sendiri terhadap individu autistik di bawah jagaan mereka. Sentiasa bersikap sabar, berdisplin, memberi tumpuan dan kasih sayang yang sepenuhnya adalah kunci utama.

“Berikan galakan berterusan dan jangan sesekali mendiamkan usaha mereka untuk berkomunikasi walaupun pertuturan masih belum jelas. Ini akan meningkatkan keyakinan mereka dan membantu perkembangan komunikasi,” ulasnya.

Dr Muhamad Hafiz merupakan Penasihat Pakar Skil Sosial dalam Autisme Kefungsian Tinggi di Malaysia High Functioning Autism Association (MAHFAA), beliau juga pakar rujuk berkaitan orang kurang upaya (OKU) di UiTM dan pernah menulis buku berjudul Social Fluency for Autism, A Caretaker’s Handbook.Tambah beliau turut membangunkan alat bantuan mengajar secara visual untuk kanak-kanak autisme, selain mendapatkan khidmat terapi dan pusat pendidikan khas, ibu bapa dan penjaga juga boleh mengamalkan pendekatan terapi tertentu di rumah.

No Image Caption

“Dengan adanya sumber maklumat di internet dan media seperti YouTube, mereka boleh mempelajari teknik dan aktiviti terapi yang bersesuaian untuk diaplikasikan bersama anak atau orang di bawah jagaan.

“Penggunaan alat bantu mengajar visual seperti gambar, video, model dan objek sebenar amat berkesan untuk mengukuhkan pemahaman dan penerapan konsep baharu kepada kanak-kanak autistik.

“Oleh itu, ibu bapa dan penjaga perlu peka dalam memilih bahan terapi yang mempunyai elemen visual, warna serta material yang sesuai dapat merangsang sensori dan minat mereka,” jelasnya.

Tambahnya lagi, aktiviti praktikal juga amat digalakkan untuk memperkukuh penerapan sesuatu konsep baharu kepada mereka.

Contohnya dengan melakukan aktiviti bermain yang memupuk kemahiran sosial sambil berinteraksi dan mengukuhkan ikatan kasih sayang antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Hafiz juga berkata, tahap kesedaran masyarakat mengenai autisme juga amat penting untuk mengelakkan tanggapan dan stigma negatif terhadap golongan ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memahami autisme dengan lebih mendalam, menerima keunikan individu terbabit serta memberi sokongan dan peluang yang sewajarnya untuk membantu perkembangan mereka.

“Masyarakat juga perlu lebih sensitif dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata atau komen yang boleh menyinggung perasaan dan hati ibu bapa atau penjaga individu autistik.

“Ingatlah, mereka ini adalah anak-anak soleh atau ‘anak syurga‘ yang diberikan kepada kita sebagai ujian kesabaran serta ketabahan oleh Tuhan. Kita semua perlu menghargai dan menitikberatkan aspek kemanusiaan dalam menangani isu sebegini,” ujarnya.

No Image Caption

Tanda dan gejala

Memetik penulisan Dr. Eni Rahaiza Muhamed Ramli di laman Myhealth, autisme berlaku kepada kanak-kanak di antara satu hingga dua orang dalam seribu dan ia terjadi empat kali lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak lelaki.

Tanda dan gejala berlaku disebabkan oleh tiga faktor utama:

  • Komunikasi
  • Lambat, tidak normal atau tidak boleh bertutur
  • Bahasa tanpa lisan yang tidak normal. Contoh, kurang pergerakan anggota badan.
  • Kurang cerdas semasa bermain, kurang upaya bergaul atau berbincang dengan orang lain
  • Tindak balas sosial
  • Hilang tumpuan dan kurang mimik muka serta tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain
  • Suka bermain bersendirian dan tidak berkongsi pengalaman dengan orang lain
  • Tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti:Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke hadapan dan belakang, mengangguk kepala.
  • Menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja seperti tayar kereta mainan.
  • Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran.
  • Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara sahaja.

No Image Caption

Semoga dengan memupuk kesedaran yang lebih tinggi serta mengamalkan sikap berdisplin, sabar dan penyayang dalam mendidik individu autistik, kita dapat mengelakkan sebarang insiden atau tragedi akibat kekurangan ilmu dan kawalan emosi yang tidak terkawal.

Dengan pendekatan, pemahaman dan penerimaan yang lebih baik dari semua pihak, pastinya golongan istimewa tersebut juga berpeluang untuk terus menikmati kehidupan yang bermakna dan dirahmati.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang