Sakan ikut trend makan makanan mentah. Awas! Salah pilih boleh undang bahaya
TOPIK keracunan makanan menjadi bualan ramai baru-baru ini berikutan kes kematian kanak-kanak dan seorang remaja disebabkan hal tersebut.
Berdasarkan kes, kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas makan telur dan bihun yang telah tercemar serta didapati berubah warna dan rasa.
Ini merupakan insiden yang amat menyedihkan kita semua dan berlaku tanpa kita sedari.
Bagaimanapun, bagaimana dengan pengambilan makanan yang diketahui ada risiko besar yang menanti.
Ini kerana sejak kebelakangan ini, pengambilan makanan mentah menjadi trend dalam kalangan masyarakat tempatan. Pelbagai hidangan terutama makanan laut dimakan secara mentah lebih-lebih lagi buat yang pertama kali ingin mencubanya.
Antaranya tiram mentah, salad udang dan daging separuh masak.
Pun demikian, tahukah anda, bukan semua makanan, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran boleh diambil secara mentah. Ini kerana, ia mengandungi bakteria sebelum dimasak.
Menurut Pegawai Dietetik SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Laila Fadhilah Omar, simptom yang mungkin dialami oleh seseorang yang keracunan makanan termasuklah cirit-birit, sakit perut atau kekejangan perut, demam, loya, dan muntah.
“Simptom seperti ini akan membuatkan pesakit mendapat dehidrasi yang teruk hingga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
“Malah, yang lebih membuatkan situasi menjadi lebih parah apabila keracunan makanan ini berlaku kepada golongan yang berisiko seperti kanak-kanak, orang tua, mereka yang mempunyai penyakit kronik atau wanita yang sedang hamil. Ini adalah kerana, golongan tersebut mempunyai tahap sistem imunisasi yang rendah,” katanya.
Tambah beliau lagi, mungkin ada dalam kalangan kita masih tidak sedar bahawa terdapat beberapa jenis bakteria yang boleh menjadi penyebab kepada keracunan makanan. Bakteria-bakteria ini tercetus daripada jenis makanan-makanan tertentu.
Antara bakteria yang biasa ditemui dalam makanan mentah termasuk Salmonella, Escherichia coli, Campylobacter sp, dan Vibrio cholerae.
Salmonella
Contoh makanan: Dalam telur mentah, telur yang tidak dimasak sepenuhnya, telur busuk, susu yang tidak tidak melalui proses pasteurisasi, daging dan ayam mentah
E-coli
Contoh makanan: ayam atau daging yang tidak dimasak sepenuhnya, buah atau sayur yang tidak dicuci bersih, susu yang tidak tidak melalui proses pasteurisasi, kebersihan diri (tidak mencuci tangan dengan baik selepas keluar dari tandas)
Campylobacter sp
Contoh makanan: ayam atau daging yang sudah dimasak tetapi tercemar (pencemaran silang antara makanan), air tercemar
Vibrio cholerae
Contoh makanan: ikan dan makanan laut (spesies kerang, tiram)
Diet makanan mentah
Dalam pada itu, anda jangan rasa terkejut ada sesetengah orang mengamalkan diet makanan mentah atau ‘Raw Foods Diet‘.
Memetik perkongsian dari Hello Doktor, RFD sudah wujud sekitar tahun 1800 lagi namun popularitinya masih tinggi sehingga ke hari ini.
Pun begitu, diet pemakanan ini hanya membenarkan proses penyediaan lain seperti kisar, rendam, cambah dan ekstrak asalkan ia tidak dipanaskan dengan haba.
Hampir sama dengan diet vegetarian, pengamal RFD juga banyak mengamalkan diet sayur-sayuran, buah-buahan dengan sedikit pengambilan daging haiwan.
Menurut Laila, terdapat kebaikan dan kekurangan bagi individu yang mengamalkan RFD ini, iaitu:
Kelebihan
Dapat mengekalkan nutrisi yang ada dalam makanan tersebut kerana sesetengah makanan akan hilang khasiat dan nutrisi apabila dimasak di bawah suhu yang terlalu panas. Contohnya sayur-sayuran dan ulam-ulaman.
Dapat membantu mengawal berat. Bahan campuran untuk penyediaan makanan mentah ini adalah kurang berbanding makanan yang masak. Oleh itu, ia dapat mengurangkan kalori atau lemak dalam makanan tersebut.
Contohnya perbezaan antara sayur goreng dengan ulam-ulaman. Sayur goreng mempunyai kandungan kalori dan lemak yang lebih tinggi dari sayur ulaman.
Kekurangan
Keracunan makanan boleh berlaku untuk orang yang mengamalkan diet seperti ini jika makanan tersebut tidak dibasuh dengan sempurna dan tidak disimpan dengan baik
Tambahan lagi, jika pengamal diet tersebut tidak mengamalkan kebersihan diri seperti tidak mencuci tangan sebelum dan selepas mengendalikan makanan, keluar dari tandas
Penyediaan makanan ini tidak bersih. contohnya, kawasan penyediaan makanan kotor, tiada tempat atau peralatan khas untuk mengendalikan makan tersebut
Papan pemotong dan pisau yang digunakan untuk sayur, buah, ayam dan daging adalah sama.
Oleh itu, demi keselamatan bersama, penting untuk kita mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang lagi.
Antara langkah yang disarankan oleh Laila iaitu:
- Setiap premis perlu memastikan pekerja menjalani Kursus Pengendalian Makanan dan lengkap vaksin thypoid untuk mencegah penyebaran bakteria tifoid.
- Pastikan tempat pengendalian makanan sentiasa bersih dan kemas untuk mengelakkan pencemaran silang (cross contamination).
- Pastikan cara penyimpanan makanan adalah betul. Jika disimpan dalam freezer atau chiller, pastikan suhunya betul dan sesuai.
- Masak makanan dengan betul dan pastikan suhu kepanasan yang tepat untuk mengelakkan makanan cepat basi.
- Makanan yang dihidang perlu ditutup rapi dan kemas.
- Ajar anak-anak dan keluarga untuk mengenal pasti makanan yang sudah tercemar melalui bau, rupa, dan rasa. Contohnya, makanan yang sudah berbau kurang menyenangkan, warna atau keadaan yang berubah (berlendir, berair, atau ada kulat), dan rasa yang sudah berubah (masam atau hanyir).
Sehubungan itu, individu berisiko seperti kanak-kanak, ibu hamil, warga emas, dan pesakit dengan sistem imun rendah harus mengelakkan makanan mentah.
Bagaimanapun, sebagai seorang muslim kita tidak boleh mengikut sahaja trend, sebaliknya diperhalusi mengikut panduan agama.
Ini kerana Islam menuntut penganutnya bukan sekadar makan makanan daripada sumber halal, tetapi juga yang baik dan bersih.
Menurut syarak, makanan halal adalah suci dari segi zat, sumber yang bersih, tidak memudaratkan tubuh serta memberi manfaat kepada kesihatan dan akal fikiran.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang