INDUSTRI fesyen baik di peringkat lokal mahupun global sentiasa berkembang mengikut trend semasa. Boleh dikatakan pada setiap era, pasti diterapkan sekurang-kurangnya satu gaya signatur.

Pun begitu, pada tahun ini sebahagian besar pencinta fesyen menzahirkan ‘kedukaan’ sukar melaram dek situasi pandemik Covid-19 yang melanda.

Nampaknya, keluhan itu mendapat respons, sekali gus menyuntik idea dalam kalangan pemain industri.

Kebanyakan jenama tempatan nampaknya mengambil inisiatif tampil menghasilkan koleksi fesyen konsep modest (sederhana dan sopan), seiring dengan kesuraman situasi hari ini.

Biarpun tanpa tatahan batu permata atau sarat perincian, namun seleksi busana rekaan terbabit masih tampak cantik, anggun dan elegan digayakan.

Seri penampilan wanita yang menyarungkan pakaian gaya sederhana dan sopan pula lebih menyerlah apabila dipraktikkan konsep suai padan bersama aksesori pilihan.

Justeru, kepada kaum Hawa yang sedang mencari fesyen modest menarik dan dijual pada harga berpatutan, usah bimbang.

Segmen Indeks Fesyen pada minggu ini berkongsi lima jenama tempatan yang menawarkan variasi gaya modest.

1 Naelofar (Instagram: @naelofar)

Selepas dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2009/2010, pelakon dan pengacara, Neelofa terus mengorak langkah dalam bidang seni.

Tatkala namanya berada di puncak populariti, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengambil keputusan berhijab pada hari kedua Ramadan tahun 2014.

Bertitik tolak daripada penghijrahan tersebut, wanita berusia 31 tahun itu yang kini sudah berniqab komited mengubah stereotaip wanita bertudung juga boleh berfesyen mengikut trend semasa.

Justeru, selepas lima tahun penubuhan, Naelofar Hijab tampil dengan identiti baharu menggunakan nama Naelofar pada tahun ini.

 

fesyen neelofa“Matlamat utama penjenamaan semula (Naelofar Hijab kepada Naelofar) adalah untuk memperkasakan golongan wanita dalam membuat keputusan dan bijak memilih pakaian Muslimah sejajar dengan misi #GoFar.

“Ini termasuklah, menyuntik inspirasi kepada wanita supaya sentiasa yakin dalam menyarungkan busana dan hijab pilihan,” katanya.

Naelofar menawarkan koleksi tudung dan pakaian sedia pakai berkualiti premium pada harga mampu milik.

Terkini, beliau turut mempelbagaikan perniagaannya dengan memperkenalkan sejadah dan telekung eksklusif yang difahamkan mendapat sambutan cukup hangat.

2 FashionValet (Instagram: @fashionvaletcom)
Tahun ini genap sedekad FashionValet beroperasi sebagai laman web fesyen yang menawarkan seleksi jenama label popular Asia.

Label tersebut diasaskan oleh usahawan, personaliti dan blogger muda, Datin Vivy Yusof bersama suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar.

Pada peringkat permulaan, FashionValet bermula dengan 10 jenama sahaja, namun kini berkembang dengan lebih 300 label fesyen terdiri daripada pakaian, tudung, kosmetik, tas tangan dan kasut.

Iklan

fesyen vivyJika singgah ke Instagram @fashionvaletcom yang mempunyai 728,000 jumlah pengikut itu, pembaca SinarPlus berpeluang membelek satu persatu fesyen konsep modest yang ditawarkan.

Selain ke pejabat, busana variasi jenama tersebut padan digayakan ketika bersantai bersama teman, menghadiri majlis minum petang ataupun ke kuliah.

3 Lilit Woman (Instagram: @lilit_woman)

fesyen scha
Kehadiran jenama tersebut dalam industri tempatan memberikan wanita lebih banyak pilihan gaya fesyen terkini.

Produk Lilit Woman yang dijual dalam perniagaan e-dagang terkemuka, Fashion Valet sentiasa bekerjasama dengan selebriti popular seperti Scha Alyahya dan Izara Aishah untuk kempen khas.

Menariknya, koleksi pakaian keluaran label berkenaan bukan sahaja ideal digayakan wanita tidak bertudung, malah kelihatan sopan membaluti tubuh para hijabis moden.

Dalam setiap koleksi dihasilkan, Lilit Women akan memastikan ia bersesuaian dengan wanita pelbagai latar belakang, karier dan saiz bentuk badan. Harganya pun berpatutan.

4 Bokitta (Instagram: @bokitta_lovers)

Iklan

fesyen bokitta
Sebelum ini jenama daripada Beirut, Lubnan itu popular dengan koleksi tudung segera (instant) yang hadir dalam potongan dan rekaan tersendiri.

Namun begitu, memahami kehendak hijabis moden yang lebih cenderung mencari tudung dan pakaian konsep ringkas dan stailo di bawah satu bumbung, maka Bokitta tampil menawarkan pakaian konsep Ready To Wear (RTW).

Koleksi busana yang direka dalam pelbagai warna, desain dan potongan tersebut cantik disuai padan bersama hijab Bokitta motif flora nuansa terang atau pastel.

Sementara itu, material yang digunakan pula bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.

5 Locka (Instagram: @locka.my)


Butik Locka yang beroperasi di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor diasaskan oleh Shukri Shari berusia 30 tahun.

Istimewa mengenai jenama tempatan itu ,produk fesyennya direka dan dihasilkan di kilang sendiri di Malaysia. Ia tidak dibeli daripada pihak ketiga atau diimport dari luar negara.

Kesemua pakaian yang ditawarkan berkonsepkan dres labuh, blaus dan jumsuit RTW rekaan minimalis, namun moden dan elegan. Fabrik motif flora dalam seleksi rona menjadi pilihan kerana menyuntik mood ceria dan santai.