Ketengahkan hasil canting banduan, Bkay Nair bakal hasilkan filem dokumentari & bawa sari batik ke UNESCO
DALAM usaha mengangkat warisan tekstil negara, pendekatan inovatif diterjemahkan menerusi kolaboratif terbaharu dalam dunia fesyen iaitu sari dan batik.
Pakaian tradisional kaum India yang dihasilkan daripada tekstil batik itu gabungan dua elemen warisan budaya yang cukup bermakna. Lebih menarik lagi, ia dipersembahkan menerusi pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024).
Berlangsung pada Sabtu lalu, MHS2024 mengetengahkan konsep 6 Yards of Beauty, sekali gus menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.
Pada masa sama, peragaan pakaian tradisional India yang dihiasi dengan corak batik itu bakal menonjolkan identiti negara. Itu merupakan satu kelainan yang memberi penekanan terhadap keunikan tekstil tempatan dalam pentas fesyen global.
SinarPlus berkesempatan menemu bual Presiden Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PPPFM), Bkay Nair yang bertanggungjawab dalam usaha menggabungkan elemen menarik dalam pakaian tradisonal masyarakat majmuk di negara ini.
Bukan itu sahaja, beliau turut mendapatkan hasil tangan batik daripada banduan di penjara negara ini.
Menurut Bkay, kerja tangan batik yang dihasilkan oleh mereka mempunyai nilai seni yang sangat tinggi dan ini menambahkan lagi tarikan kepada pameran kali ini.
Dengan melibatkan mereka, pemilik nama sebenar, Tryambikay Vengades Nair bukan sahaja memberi penghormatan kepada seni batik, tetapi juga memberi sokongan kepada golongan yang kurang bernasib baik, sekali gus memberikan mereka peluang untuk menonjolkan kemahiran seni yang luar biasa.
“Pemilihan batik sebagai tekstil utama dalam pertunjukan fesyen MHS2024 bukanlah satu keputusan yang diambil secara sembarangan. Batik, dengan pelbagai corak dan warna yang mempesona, mampu menghasilkan pelbagai jenis pakaian dan potongan fesyen yang kreatif.
“Fesyen tidak lagi hanya terhad kepada pakaian tradisional, tetapi batik kini semakin diterima dalam rekaan moden yang boleh digayakan dalam pelbagai majlis, baik formal mahupun santai.
“Dalam konteks ini, saya dan pereka lain menampilkan pelbagai rekaan seperti baju, gaun, dan tentu sekali, sari, yang boleh digunakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial,” ujarnya.
Sentuhan tangan
Mengulas lanjut mengenai corak dan pemilihan warna untuk satu-satu pakaian, Pengarah Bkay Nair Resources itu mengakui semuanya terletak pada kreativiti dan sentuhan tangan daripada banduan sendiri.
“Untuk setiap rekaan, saya serahkan sepenuhnya kepada mereka mengikut sentuhan dan kreativiti masing-masing,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan perancangan untuk menghasilkan sebuah filem dokumentari penghasilan batik di Malaysia. Selain itu, beliau juga mahu mendekati pencanting batik di Pantai Timur dan mengetengahkan mereka yang menghasilkan batik di Institut Kemahiran Belia Negara dalam usaha memperluas lagi keunikan warisan negara dan memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang.
Baginya, satu penerbitan mengenai dunia batik dan mereka yang mahir mengenai seni tekstil itu yang digelar pembatik akan dihasil sekitar tahun depan.
"Saya dan pasukan merancang untuk menerbitkan sebuah dokumentari dengan menampilkan pembatik di seluruh negara serta bercerita mengenai tekstil ini.
"Banyak kisah menarik mengenai batik termasuk disiplin menghasilkannya, rekaan dan jenis serta warna yang digunakan akan dikongsikan.
"Malah ada yang kita sendiri tidak tahu seperti eksperimental batik yang dihasilkan mengikut mood tukang canting batik atau pembatik itu sendiri serta bahan organik yang digunakan untuk lukisan tekstil," katanya.
Bkay yang juga model dan pereka fesyen berkata demikian pada MHS2024 yang berlangsung Sabtu lalu menampilkan pelbagai koleksi batik.
Fokus utama pertunjukan fesyen yang diadakan itu ialah menampilkan 33 sari dari tekstil batik yang mana 15 rekaan (My Pride) adalah hasil canting tangan banduan daripada empat penjara Malaysia iaitu Marang, Pangkalan Cepur, Kajang, dan Machang.
Tambahnya, pihaknya juga akan memajukan sari batik ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam usaha mengiktiraf dan merekodkan tekstil identiti Malaysia itu.
"Saya mahu supaya UNESCO mengiktiraf sari yang diperbuat dari tekstil Malaysia iaitu batik menggunakan seni Canting tangan dan juga mesin.
"Untuk sari batik canting tangan juga eksklusif di mana hanya satu rekaan dihasilkan bagi satu sari," katanya.
70 rekaan eksklusif
Terdahulu pada majlis berkenaan, 70 rekaan eksklusif daripada sembilan pereka Malaysia, dengan 33 daripadanya ialah sari batik dipersembahkan.
Empat anugerah iaitu Anugerah Visi Muda (Sharleen David), Anugerah Keteguhan dalam Rekaan (My Pride), Anugerah Corak Inovatif Terbaik (Munir - Dimu Designs) dan Anugerah Warisan Budaya (Linda Isa) turut disampaikan dalam menghargai mereka mengajar tekstil tempatan.
Bintang filem Ratu The Movie itu turut memberitahu, selain memperkenal batik ke pentas fesyen yang lebih komersial, ia juga membuka ruang dan peluang perniagaan serta pendapatan kepada mereka yang terlibat dalam industri ini.
“Dengan peningkatan permintaan terhadap produk batik, pertunjukan fesyen ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.
“Pada masa sama, ia memberi penghargaan kepada pereka tempatan melalui anugerah pereka terbaik dalam menghargai usaha mereka mengangkat warisan tekstil tempatan sekali gus mendorong mereka untuk terus berinovasi dalam memperkenal batik ke pentas fesyen antarabangsa,” jelasnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang