Lapar lewat malam? Hati-Hati, doktor ini dedah sebab elak makan selepas pukul 8, boleh undang risiko penyakit jantung
KESIHATAN jantung sering kali dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, kolesterol, dan gaya hidup tidak aktif.
Salah satu aspek yang sering diabaikan tetapi sangat berbahaya adalah tabiat makan lewat malam.
Kajian dan pandangan pakar menunjukkan amalan itu bukan sahaja mengganggu pola tidur, malah boleh meningkatkan risiko penyakit jantung secara senyap.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism (2017) mendapati, makan lewat malam menyebabkan peningkatan tekanan darah sepanjang malam serta mengganggu kawalan glukosa dalam darah, dua faktor utama yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan, amalan makan malam selepas pukul lapan malam boleh mengganggu fungsi jantung.
“Makan malam seeloknya sebelum pukul 8 malam kerana jantung memerlukan rehat. Jika kita makan lewat malam, sistem penghadaman akan bekerja ketika tubuh sepatutnya dalam mod rehat. Ini memberi tekanan kepada jantung,” jelas beliau.
Tubuh manusia berfungsi mengikut ritma sirkadian, iaitu jam biologi semula jadi yang mengawal pelbagai fungsi fisiologi termasuk tidur, tekanan darah dan metabolisme.
Apabila kita makan lewat malam, proses pencernaan akan terus berlaku dan ini mengganggu keseimbangan hormon serta tekanan darah, yang sepatutnya menurun pada waktu malam.
Makan ketika tubuh tidak aktif boleh menyebabkan makanan tidak digunakan sebagai tenaga dan disimpan sebagai lemak, terutamanya di bahagian perut.
PETUGAS KESIHATAN
Lemak viseral itu mempunyai kaitan langsung dengan penyumbatan salur darah dan kolesterol tinggi, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.
Menurut kajian oleh Obesity Reviews (2019), pengambilan makanan tinggi kalori pada waktu malam boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes jenis 2 dan penyakit jantung koronari.
Dalam pada itu, Dr Afif turut menasihati golongan yang bekerja waktu malam supaya lebih berhati-hati.

“Pekerja syif pendek seperti petugas kesihatan mengalami gangguan tidur yang kerap.
“Tidur yang tidak mencukupi dan tidak berkualiti menyebabkan peningkatan hormon kortisol (hormon stres), sekali gus menyumbang kepada risiko keradangan dalaman dan darah beku yang menjadi faktor penyebab utama serangan jantung.
“Syif pendek ini mengganggu waktu tidur dan pola makan. Keletihan kronik boleh menyebabkan prestasi menurun, kemurungan, insomnia bahkan serangan jantung,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau turut menasihati supaya masyarakat mengubah gaya hidup dengan memastikan pengambilan makanan lebih awal dan memilih sajian yang kurang kalori serta tinggi serat jika diperlukan sebelum tidur. Sebagai contoh, sup sayur, buah naga, susu dan sebagainya.
“Kita berusaha untuk sihat kerana itulah harta paling berharga. Duit banyak pun tidak guna bila sudah sakit. Maka, cegahlah sebelum parah,” katanya.
Antara tip praktikal yang disarankan:
- Makan malam sebelum jam 8 malam.
- Pilih makanan rendah lemak dan mudah hadam seperti sup sayur, ikan kukus atau buah-buahan berserat.
- Elakkan minuman berkafein atau makanan bergula tinggi pada waktu malam.
- Bagi pekerja syif, pastikan makan tiga hingga empat jam sebelum habis syif dan elakkan makan ‘berat’ sejurus sebelum tidur.
- Makan lewat malam bukan sekadar tabiat kecil, ia boleh menjadi pencetus kepada gangguan fisiologi yang berpotensi membawa maut.
Dengan amalan pemakanan yang lebih teratur dan kesedaran tentang ritma tubuh, risiko penyakit jantung boleh dikurangkan secara signifikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
