Lelaki, testosteron dan maruah: Bila kejantanan diuji!

No Image Caption
A
A
A

TESTOSTERON ialah hormon penting yang terdapat dalam tubuh lelaki dan wanita, tetapi bagi kaum lelaki, fungsinya jauh lebih besar. 

Hormon tersebut membantu membentuk ciri kelelakian seperti suara yang garau, pertumbuhan misai dan janggut serta kekuatan otot serta tulang. 

Selain itu, ia juga mempengaruhi kesihatan jantung, emosi dan kesejahteraan mental. 

Namun begitu, topik berkaitan testosteron jarang dibincangkan secara terbuka meskipun ia sangat penting bagi kesihatan seksual lelaki dan keupayaan mereka menjalani kehidupan yang berkualiti.

Perunding Urologi dari Pantai Hospital Melaka, Dr Christopher Ho Chee Kong, tampil dalam segmen Doktor & Anda untuk menjelaskan secara ilmiah dan mudah difahami mengenai peranan serta kesan testosteron terhadap lelaki.

No Image Caption

SOALAN 1: Bagaimana testosteron mempengaruhi tenaga, emosi dan prestasi seksual lelaki?

Menurut Dr Christopher, testosteron merupakan hormon utama yang memainkan peranan penting dalam penghasilan tenaga lelaki.

Di peringkat sel, ia merangsang metabolisme yang membantu tubuh menjadi lebih bertenaga. Ia turut menyokong pertumbuhan otot dan kekuatan tulang. 

Daripada sudut emosi pula, hormon tersebut mempengaruhi kestabilan perasaan melalui kesannya terhadap bahagian otak seperti korteks prefrontal. 

Manakala dalam aspek seksual, testosteron sangat penting kerana ia terlibat secara langsung dalam fungsi dan keinginan seksual melalui pengaruhnya terhadap hipotalamus dan sistem limbik dalam otak. 

Bagi lelaki, sekitar 90 peratus testosteron dihasilkan oleh testis, manakala bagi wanita pula, hormon berkenaan dihasilkan dalam kelenjar adrenal yang terletak dalam abdomen.

SOALAN 2: Apakah tanda-tanda awal penurunan hormon testosteron?

Dr Christopher menjelaskan bahawa testosteron biasanya berada pada tahap tertinggi sekitar usia 30-an dan mula menurun secara perlahan selepas itu. 

Dalam usia 40-an, penurunan ini biasanya tidak menimbulkan masalah serius. Namun, apabila hormon menurun ke tahap terlalu rendah, kebiasaannya antara usia 50-an hingga 60-an, pelbagai simptom boleh muncul. 

Antaranya termasuk mudah marah, kemurungan, peningkatan berat badan, kehilangan jisim otot dan bentuk badan yang tidak lagi tegap. 

Ciri kelelakian seperti misai dan janggut juga boleh menjadi semakin nipis. Penurunan testosteron turut memberi kesan kepada nafsu seks kerana hormon berkenaan memainkan peranan utama dalam bahagian otak yang mengawal keinginan dan fungsi seksual. 

Ia juga penting dalam mengekalkan kesihatan tisu zakar, khususnya untuk membolehkan ereksi berlaku secara normal. 

Apabila paras hormon itu terlalu rendah, keupayaan ereksi juga boleh terjejas.

Rawatan dan usaha meningkatkan testosteron secara sihat

Sekiranya seseorang disahkan mengalami paras testosteron yang rendah menerusi ujian darah, rawatan boleh diberikan untuk menaikkan semula parasnya ke tahap normal. 

Namun, paras hormon yang terlalu tinggi juga boleh membawa kesan sampingan, jadi matlamat rawatan adalah untuk mencapai keseimbangan. 

Antara bentuk rawatan yang ada termasuk ubat dalam bentuk pil, gel sapuan harian, dan suntikan hormon secara berkala. Pemilihan rawatan bergantung kepada tahap kekurangan dan keperluan individu.

Meskipun ubat mampu membantu, rawatan jangka panjang sebaiknya disokong dengan perubahan gaya hidup. 

Menurunkan berat badan ke tahap ideal dan bersenam secara konsisten seperti berjoging, berenang atau latihan kekuatan mampu merangsang peningkatan hormon secara semula jadi. 

Dr Christopher turut menekankan pentingnya pemakanan seimbang, terutama dengan pengambilan ikan yang kaya dengan asid lemak omega dan penggunaan minyak zaitun dalam masakan harian. 

Pengurusan stres juga sangat penting kerana tekanan yang berpanjangan boleh meningkatkan hormon kortisol yang akan mengganggu penghasilan testosteron. 

Tidur yang mencukupi selama tujuh hingga sembilan jam setiap malam amat diperlukan kerana hormon ini dihasilkan ketika tidur, terutamanya dalam fasa REM.

Dr Christopher turut berkongsi statistik yang membimbangkan iaitu hampir 60 peratus lelaki di Malaysia mengalami masalah disfungsi ereksi, namun ramai yang masih enggan tampil mendapatkan rawatan kerana rasa malu atau takut. 

Masalah ini tidak akan selesai jika terus dipendam. Langkah pertama untuk kembali sihat dan yakin ialah dengan berjumpa doktor. 

Usah malu untuk berbincang tentang kesihatan diri. 

Lelaki sejati bukan hanya kuat fizikal, tetapi juga berani mengambil tindakan untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang