Mood dari normal jadi terlampau sedih walaupun hal kecil. hati-hati, mungkin sebab bipolar!

No Image Caption
A
A
A

GANGGUAN bipolar merupakan salah satu masalah kesihatan mental yang signifikan di peringkat global dan nasional.

Di seluruh dunia, dianggarkan sekitar 40 juta orang hidup dengan masalah tersebut.

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015, satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas menghadapi masalah mental.

Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa 2.3 peratus orang dewasa dan 9.5 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah mental.

Walaupun data khusus mengenai prevalensi gangguan bipolar di negara ini mungkin terhad, statistik global menunjukkan bahawa gangguan tersebut mempengaruhi sekitar satu hingga tiga peratus populasi dunia.

Peningkatan kesedaran dan pemahaman mengenai isu berkenaan adalah penting untuk memastikan individu yang terjejas menerima sokongan dan rawatan yang sewajarnya.

Pakar Psikiatri di Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC), Dr Hijaz Ridzwan ketika ditemu bual SinarPlus menyifatkan gangguan bipolar sebagai gangguan yang melibatkan perubahan mood yang ketara.

No Image Caption

Ia dicirikan oleh perubahan drastik antara episod depresi, iaitu kemurungan yang mendalam dan episod mania, yang mana seseorang mengalami mood yang terlalu gembira atau marah.

Dalam kes tertentu, gangguan bipolar juga boleh melibatkan gejala psikosis seperti delusi dan halusinasi, terutamanya dalam fasa mania yang teruk.

“Bipolar berbeza dengan Skizofrenia yang mana gejala utama adalah gangguan yang berkaitan dengan psikosis. Pesakit mungkin mengalami halusinasi seperti mendengar suara atau mengalami delusi.

“Namun, gangguan bipolar lebih tertumpu kepada perubahan mood yang ekstrem, sama ada terlalu gembira atau terlalu sedih,” kata beliau.

Tidak sedar perubahanPerubahan mood ini boleh berlaku dalam episod tertentu, tetapi tidak semestinya selepas kemurungan individu terus menjadi gembira.

Ia tidak mengikut corak yang tetap. Seseorang boleh berasa sedih, kemudian kembali stabil dan seterusnya mengalami kemurungan semula sebelum beralih ke episod mania.

Dalam kebanyakan kes, individu dengan masalah berkenaan tidak menyedari perubahan mood mereka ketika berada dalam episod mania atau depresi.

Namun, apabila mereka melihat kembali tingkah laku atau mengenal pasti tanda-tanda tertentu yang pernah dibaca atau pelajari, mungkin mula menyedari perubahan yang berlaku.

“Diagnosis gangguan bipolar biasanya dibuat selepas pemeriksaan pakar psikiatri.

“Ada juga individu yang mendapatkan diagnosis kerana dorongan keluarga atau akibat tingkah laku mereka semasa episod mania.

“Contohnya, kerana mereka terlalu bersemangat atau terlalu high, mereka mungkin mengganggu ketenteraman awam sehingga dilaporkan kepada pihak berkuasa,” jelas Dr Hijaz lagi.

Situasi seperti itu sering menjadi pencetus untuk seseorang mendapatkan rawatan.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang itu mendapat gangguan bipolar, antaranya:

  • Genetik - Jika terdapat ahli keluarga yang menghidap bipolar, risiko keturunan untuk mengalami gangguan ini adalah tinggi.
  • Tekanan hidup - Mengalami stres yang berpanjangan atau tidak dapat mengurus tekanan dengan baik boleh menjadi pencetus.
  • Gangguan tidur - Tidur yang tidak teratur atau kurang tidur boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan mood.
  • Penyalahgunaan dadah dan alkohol - Penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan alkohol boleh meningkatkan risiko bipolar, terutama jika digabungkan dengan faktor lain.
  • Faktor multifaktorial - Biasanya bukan satu faktor sahaja yang mencetuskan bipolar, tetapi gabungan beberapa faktor seperti tekanan tinggi, gangguan tidur dan penyalahgunaan bahan terlarang.

No Image Caption



Gangguan depresi


Bagi pesakit yang berada dalam fasa mania, mereka mengalami kegembiraan yang berlebihan atau kemarahan yang melampau.

“Biasanya, mania datang bersama tenaga yang berlebihan, menyebabkan mereka bercakap dengan banyak, mempunyai pelbagai idea dan mahu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa,” ungkap Dr Hijaz.

Disebabkan lonjakan tenaga tersebut, mereka juga mungkin tidak rasa perlu untuk tidur.

Dalam sesetengah kes, individu dengan bipolar juga boleh mengalami gejala psikosis seperti mendengar suara atau mengalami delusi.

Sebagai contoh, mungkin ada yang percaya bahawa mereka mempunyai kuasa luar biasa atau mendapat 'wahyu' dari Tuhan. Keadaan itu dikenali sebagai delusi dan ia boleh berlaku dalam fasa mania.

Secara umumnya, terdapat dua jenis gangguan bipolar:

  • Bipolar I - episod mania yang teruk dan berkemungkinan memerlukan rawatan di hospital.
  • Bipolar II - episod hipomania yang lebih ringan tanpa gejala psikosis.

Individu dengan Bipolar II mungkin mengalami kegembiraan atau kemarahan yang ketara, tetapi tidak sampai memerlukan rawatan di hospital.

“Selain itu, mereka tidak mengalami gejala psikosis seperti mendengar suara atau mengalami delusi.

“Sekiranya gejala psikosis wujud, diagnosis akan diklasifikasikan sebagai Bipolar I secara automatik,” tambah pakar itu lagi.

Dari segi rawatan pula, individu dengan Bipolar I biasanya perlu mengambil ubat sepanjang hayat.

Ini adalah kerana risikonya yang lebih tinggi, termasuk kehilangan kawalan diri dan membawa kepada keperluan rawatan di hospital.

Bagi individu dengan Bipolar II, rawatan juga disarankan untuk jangka panjang.

Namun, dalam sesetengah kes, mereka mungkin memilih untuk tidak mengambil ubat sekiranya keadaan mereka tidak terlalu teruk.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit Bipolar II yang perlu menjalani rawatan farmakologi secara berterusan, bergantung kepada tahap keparahan gejala mereka.

No Image Caption



Pencetus mood

Selain rawatan farmakologi, gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam menguruskan isu tersebut, terutama dalam aspek tidur dan rutin harian.

Salah satu terapi khusus untuk gangguan bipolar ialah Interpersonal and Social Rhythm Therapy (IPSRT).

Konsep utama dalam terapi tersebut adalah memastikan kehidupan individu dengan bipolar lebih terstruktur.

Ini termasuklah menerusi penyediaan jadual tidur, waktu bekerja dan waktu makan.

Jika rutin berkenaan tidak dijaga dan dipandang serius, ia boleh mencetuskan episod bipolar.

Disebabkan itulah, individu atau pesakit yang terbabit dengan bipolar tidak digalakkan bekerja dalam persekitaran yang tidak mempunyai jadual tetap, seperti kerja syif atau pekerjaan yang memerlukan mereka berjaga pada waktu malam.

Ini adalah kerana, kekurangan tidur boleh menjadi pencetus utama perubahan mood.

Waktu tidur pentingDengan kata lain, tidur memainkan peranan penting dalam pengurusan bipolar bagi mengelakkan episod mania atau kemurungan daripada berlaku.

“Dari segi pemakanan, tiada diet khusus untuk pesakit bipolar, tetapi pemakanan yang seimbang tetap penting dan perlu dititikberatkan baik oleh individu yang bermasalah mahupun ahli keluarga pesakit terbabit.

“Kekurangan nutrisi atau masalah kesihatan lain seperti gastrik juga boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan individu dan berpotensi mencetuskan episod bipolar.

“Secara keseluruhannya, penjagaan kesihatan fizikal dan mental adalah kunci utama dalam mengawal gangguan bipolar dan mengurangkan risiko perubahan mood yang ekstrem,” jelasnya lagi.

Oleh yang demikian, penting untuk semua tahu bahawa gangguan bipolar adalah masalah mood, bukan kecelaruan identiti.

Ia melibatkan episod perubahan mood yang berbeza dan memerlukan rawatan yang menyeluruh, termasuk pengambilan ubat, terapi serta sokongan daripada keluarga dan masyarakat.

Dalam kehidupan bermasyarakat, apabila melihat seseorang berkelakuan pelik sama ada di hadapan kita, semasa memandu, atau di platform dalam talian, jangan cepat menjatuhkan hukum.

Sokongan dan pemahaman daripada semua pihak penting dalam membantu individu terbabit dalam menguruskan keadaan tersebut dengan lebih baik.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang