Bila lelaki pendam emosi: Kuat di luar, luka di dalam
APABILA menyebut soal kesihatan mental, ramai masih menganggap ia topik yang sukar untuk dibincangkan, terutamanya dalam kalangan lelaki.
Isu ini sering disambut dengan keengganan, malah ada yang memilih untuk menafikan perasaan sendiri kerana takut dilihat lemah.
Ahli Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan Universiti IMU, Dr. Serena In menjelaskan, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar dalam masyarakat Malaysia.
Ramai lelaki membesar dengan kepercayaan bahawa menunjukkan emosi atau meminta pertolongan adalah tanda kelemahan.
Sedangkan pada hakikatnya, ia sebahagian daripada sifat manusia yang normal.
“Wanita biasanya lebih terbuka dan mudah berkongsi perasaan dengan rakan. Tetapi lelaki pula sering diajar untuk kekal tabah, kuat dan tidak beremosi.
“Harapan ini akhirnya menjadi pegangan dalaman, malah sejak kecil lagi mereka diberi tanggapan bahawa menunjukkan emosi adalah sesuatu yang memalukan,” jelasnya.
Apabila seseorang lelaki gagal memenuhi harapan untuk sentiasa kelihatan kuat, mereka boleh mengalami tekanan yang dikenali sebagai masculine discrepancy stress, tekanan akibat tidak mampu menepati jangkaan terhadap maskuliniti.
Tekanan sebegini bukan sahaja menambah beban emosi, malah boleh menjejaskan kesejahteraan hidup secara keseluruhan.
Data turut menunjukkan trend yang membimbangkan. Pada tahun 2023, dianggarkan satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan lebih dua kali ganda berbanding angka tahun 2019.
Keadaan itu menggambarkan bahawa tahap kesihatan mental rakyat semakin merisaukan, khususnya dalam kalangan lelaki.

Memikul beban tambahan
Dr. Serena menjelaskan, lelaki turut memikul beban tambahan dalam kehidupan seharian, antaranya waktu kerja panjang, tuntutan keluarga dan tekanan kewangan.
Lelaki sering dilihat sebagai pencari nafkah utama, dan apabila berdepan kesukaran ekonomi, perasaan tidak mencukupi mudah timbul.
Keadaan tersebut sering diperburuk oleh pengaruh media sosial yang menonjolkan gaya hidup ideal serta kejayaan palsu yang sukar dicapai.
Akibatnya, ramai lelaki berasa gagal tanpa menyedari bahawa tekanan yang mereka hadapi semakin menekan emosi sendiri.
Ramai juga pandai ‘berlakon’ seolah-olah semuanya baik-baik sahaja. Mereka tahu apa yang perlu dikatakan, bagaimana harus bertindak dan menyembunyikan pergolakan dalaman di sebalik wajah tenang.
Tanda-tanda gangguan kesihatan mental dalam kalangan lelaki tidak selalu jelas.
Namun, antara petanda yang boleh diperhatikan ialah perubahan tingkah laku dan emosi seperti mudah marah, cepat naik angin atau baran tanpa sebab.
Ada juga yang melampiaskan tekanan dengan tingkah laku berisiko seperti penyalahgunaan alkohol, memandu melulu, atau ketagihan terhadap kerja dan aktiviti ekstrem.
Dalam situasi ini, ahli keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan penting untuk memberi sokongan.
Langkah pertama ialah mendengar dengan penuh perhatian.
“Lelaki jarang meluahkan emosi secara terus, tetapi mereka mungkin memberi petanda melalui ungkapan seperti ‘rasa kosong’ atau ‘tak ada semangat’.
“Oleh yang demikian, luangkan masa bersama mereka kerana kehadiran fizikal kadangkala lebih bermakna daripada kata-kata.
“Jadi ajakan untuk minum bersama atau bermain sukan mungkin lebih mudah diterima berbanding ajakan untuk berbual tentang perasaan,” kongsi pakar itu lagi.

Selain itu, tawarkan bantuan untuk mendapatkan rawatan profesional sekiranya perlu.
Dr. Serena turut menambah, kesihatan mental perlu dijaga sebagaimana kesihatan fizikal.
“Jika tubuh tidak sihat kita akan berjumpa doktor, maka apabila fikiran atau emosi terganggu, berjumpalah kaunselor atau ahli terapi.
“Langkah mudah seperti berbual dengan rakan, bersenam secara teratur dan mendapatkan rehat yang cukup boleh membantu mengurangkan tekanan,” ujarnya lagi.
Kesimpulannya, menjadi kuat bukan bermakna menafikan kelemahan, tetapi berani mengakui bahawa kita juga memerlukan bantuan.
Minda yang sihat adalah asas kepada kesejahteraan hidup, dan menjaga kesihatan mental bukan tanda lemah, sebaliknya lambang keberanian untuk terus hidup dengan lebih seimbang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
