Jangan abai rasa mencucuk & kebas di bahagian belakang, boleh jadi punca slipped disc!

Slipped disc atau cakera degenerasi ialah penyakit yang sering berlaku dalam kalangan orang ramai. Keadaan ini akan menjadi semakin teruk seiring dengan peningkatan usia, terutamanya selepas usia 40 tahun.
Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami rasa mencucuk seperti jarum atau kebas. Lama-kelamaan, kesakitan akan muncul di kawasan tertentu.
Jika tekanan berlaku pada saraf di tepi, kesakitan boleh merebak mengikut laluan saraf hingga ke kaki atau tapak kaki.
Pakar Neurosurgeri dari Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Kho Giat Seng, Patrick berkata, dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan kelemahan pada anggota badan yang terjejas.

Slipped disc bukanlah penyakit berjangkit, tetapi ia merupakan perubahan struktur cakera tulang belakang yang boleh memberi tekanan ke arah tertentu.
Jika keadaan ini berlarutan, tekanan tersebut boleh menjejaskan kawasan yang lebih besar dan tidak hanya terhad kepada satu tempat sahaja.
Bagaimana pesakit boleh melambatkan perkembangan penyakit ini?
Keadaan ini secara semula jadi akan menjadi semakin teruk. Itulah sebabnya ramai yang berusaha untuk melambatkan atau mengelakkannya.
Faktor gaya hidup memainkan peranan penting, terutama dalam pemakanan yang tinggi kandungan makanan pedas, berminyak dan bergoreng. Semua ini boleh mempengaruhi kesihatan tulang belakang.
Selain itu, postur badan juga amat penting. Cara kita duduk, berdiri dan mengangkat barang berat haruslah betul bagi mengurangkan risiko.

Tabiat tidak sihat seperti merokok dan pengambilan alkohol juga boleh menjadi faktor yang mempercepatkan kemerosotan keadaan ini.
Sukan juga penting, tetapi lebih kepada senaman yang sesuai. Tidak semestinya perlu melakukan sukan berat, cukup sekadar latihan ringan setiap hari selama 10 hingga 15 minit untuk meregangkan otot.
Yoga ialah pilihan yang sangat baik kerana ia membantu meregang dan menguatkan otot badan.

Namun, bagi mereka yang kurang selesa dengan yoga, senaman lain seperti berjoging, berbasikal atau berenang boleh dilakukan.
Cakera degenerasi boleh dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu:
1. Peringkat pertama – Cakera mula haus.
2. Peringkat kedua – Cakera mula kering.
3. Peringkat ketiga – Cakera mula membengkak akibat koyakan.
4. Peringkat terakhir – Cakera menjadi terlalu leper dan kehilangan fungsinya. Pada peringkat akhir, ia boleh menyebabkan kesakitan teruk kerana geseran antara tulang.
Bagaimana penyakit cakera degenerasi dirawat?
Pemeriksaan bagi pesakit yang mengalami sakit belakang bermula dengan penilaian simptom, termasuk lokasi kesakitan, sama ada ia merebak ke kaki serta kehadiran rasa kebas atau kelemahan.
Selepas pemeriksaan fi zikal, ujian pengimejan akan dilakukan secara berperingkat:
• X-ray – Langkah awal untuk menilai struktur tulang belakang.
• Imbasan CT – Digunakan bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai keadaan tulang.
• MRI – Kaedah terbaik untuk menilai tisu lembut, termasuk saraf dan cakera tulang belakang.
Pada peringkat awal, rawatan biasanya dimulakan dengan perubahan gaya hidup, termasuk fisioterapi. Ini ialah langkah pertama untuk mengurangkan simptom dan memperbaiki postur badan. Jika fisioterapi tidak mencukupi, doktor mungkin akan memberikan ubat tahan sakit untuk mengawal ketidakselesaan.
Jika masih tidak berkesan, rawatan seterusnya ialah suntikan steroid bagi mengurangkan keradangan di kawasan yang terjejas. Jika ini juga tidak membantu, prosedur radiofrequency boleh digunakan untuk ‘membakar’ saraf yang menyebabkan kesakitan.
Sekiranya semua rawatan ini gagal, barulah pembedahan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir.

Kebanyakan kes boleh dirawat dengan kaedah bukan pembedahan. Malah, ada pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan untuk menghilangkan kesakitan dan kembali menjalani kehidupan normal. Namun, rawatan awal amat penting bagi memastikan pemulihan lebih cepat dan berkesan.
Selain fisioterapi, pemilihan kasut yang sesuai turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko masalah tulang belakang. Wanita yang kerap memakai kasut tumit tinggi lebih cenderung mengalami masalah ini akibat postur badan yang tidak seimbang.
Bagi lelaki, pemakaian kasut sukan atau kasut bertapak yang menyokong lebih disarankan bagi mengelakkan tekanan berlebihan pada tulang belakang.
Slipped disc bukanlah penyakit berjangkit, tetapi ia melibatkan perubahan struktur cakera tulang belakang yang boleh memberi tekanan kepada saraf di sekitarnya.
Jika tidak dirawat, tekanan ini boleh merebak ke kawasan yang lebih luas, menyebabkan kesakitan yang lebih teruk dan menjejaskan pergerakan harian.
Oleh itu, rawatan awal dan langkah pencegahan yang betul amat penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang