Jangan sangka semua minyak zaitun selamat, ini kisah sebenar EVOO!

Minyak zaitun bukan sekadar pelengkap hidangan sihat. Tapi dalam Malaysia Olive Oil Summit 2025 yang baru berlangsung, ramai yang mula buka mata.
Rupa-rupanya ada minyak zaitun yang tak selamat dimakan walaupun dilabel sebagai extra virgin. Acara ini merupakan hasil kerjasama antara Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Olive Jardin Sdn. Bhd., yang berjaya menghimpunkan semua pihak penting dalam industri minyak zaitun, daripada pengeluar, pengguna, ahli akademik, penyelidik, sehinggalah pihak berkuasa kesihatan.
Idea asal sidang kemuncak itu tercetus daripada kajian penyelidikan mengenai manfaat kesihatan minyak zaitun yang dijalankan bersama oleh pasukan Fakulti Perubatan UniSZA dan Olive Jardin pada tahun 2024.
Kajian itu diketuai oleh Dr Noor Azlina Abu Bakar selaku Principal Investigator (PI), dengan kerjasama rapat Ketua Jabatan R&D Olive Jardin, Dr Suhana Samat.
Mereka menilai tiga variasi minyak zaitun yang dijual sebagai extra virgin olive oil (EVOO), termasuk produk keluaran Olive Jardin sendiri iaitu Zouitina Prestige (ZPEVOO).
Namun, hasil kajian yang dibentangkan dalam sidang kemuncak tersebut mendedahkan sesuatu yang mengejutkan.

Salah satu daripada tiga sampel minyak zaitun tersebut yang turut dilabel sebagai EVOO sebenarnya tidak menepati piawaian yang ditetapkan oleh International Olive Council (IOC).
Meskipun tiga parameter utama dalam analisis fizikokimia menunjukkan bacaan dalam julat EVOO, bacaan lain pula gagal. Malah, apabila dihantar ke makmal di Sepanyol untuk ujian organoleptik (bau, rasa dan tekstur), sampel berkenaan diklasifikasikan sebagai Lampante Olive Oil (LOO), iaitu minyak zaitun gred rendah yang tidak selamat dimakan secara langsung.
Menurut Dr Noor Azlina, “Isu ini bukan perkara baharu di peringkat global. Banyak laporan sebelum ini menyentuh tentang pemalsuan label minyak zaitun.
"Tapi bila berlaku dalam pasaran tempatan, kita perlu beri perhatian lebih serius kerana ia melibatkan kesihatan pengguna.” Jelasnya lagi, LOO sebenarnya perlu diproses menjadi refined olive oil (ROO) terlebih dahulu sebelum boleh dimakan. Tapi jika ia dijual terus kepada pengguna dengan label EVOO, ia jelas satu bentuk penipuan yang boleh memberi risiko kesihatan.
Dalam masa sama, sidang kemuncak berkenaan turut menyerlahkan dapatan penting dari sudut kesihatan. Minyak zaitun perahan dara tulen (EVOO) terbukti memberi manfaat besar kepada kesihatan, terutamanya dari segi mengawal tekanan darah, membantu kesihatan jantung dan mengurangkan radang dalam badan.
Tapi jika pengguna tersalah pilih dan terbeli minyak zaitun gred rendah seperti LOO, mereka sebenarnya terdedah kepada risiko kesihatan yang tak disedari.

Malaysia Olive Oil Summit 2025 turut menyaksikan pembentangan hebat daripada panel-panel berpengalaman. Antaranya ialah Datuk Dr Haji Anhar Haji Opir yang menyampaikan pandangan dari sudut agama mengenai minyak zaitun, Profesor Dr Harmy Mohamed Yusoff yang membincangkan manfaat kesihatan EVOO secara saintifik, dan Dr Noor Azuin Suliman yang mengupas kesan pengambilan LOO berdasarkan kajian terkini UniSZA. Dr Suhana Samat pula memberi penerangan menarik tentang cara mengenal pasti tekstur, aroma dan rasa minyak zaitun dari tuaian awal dan lewat.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Olive Jardin, Muhd Shakir As-Salam, wakil-wakil institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjadikan sidang kemuncak ini medan perbincangan yang menyeluruh dan penuh impak.
Pihak penganjur berharap agar pendedahan ini dapat membuka ruang kepada kesedaran yang lebih besar dalam kalangan pengguna tempatan tentang kepentingan memilih minyak zaitun berkualiti tinggi, di samping mendesak pihak industri untuk lebih telus dalam pemasaran produk.

Sebagai penutup, penganjur menyatakan bahawa mereka mahu Malaysia Olive Oil Summit menjadi pemangkin kepada perubahan. Tidak hanya dari segi kesedaran pengguna, tetapi juga tindakan bersepadu oleh pihak berkaitan untuk meningkatkan pemantauan, menyokong penyelidikan berterusan dan menjadikan pasaran minyak zaitun di Malaysia lebih selamat serta dipercayai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang