Minions warnai susu pisang & aiskrim Magnolia, produk edisi terhad yang buat ramai Teruja!

MINIONS kembali menghiburkan, kali ini dalam bentuk susu pisang & aiskrim!
ANIMASI popular, Minions kini tampil dengan gaya berbeza, bukan di layar perak, tetapi di rak-rak pasar raya.
Bersama F&N MAGNOLIA, karakter comel berwarna kuning itu ‘menghiasi’ produk tenusu dalam bentuk susu pisang dan aiskrim.
Pendekatan tersebut bukan sahaja menceriakan suasana musim persekolahan, tetapi turut menambahkan keseronokan ketika menyediakan bekalan makanan anak ke sekolah atau untuk dinikmati seisi keluarga di rumah.

Menariknya, produk edisi terhad itu tampil dengan rekaan pembungkusan Minions yang ceria, sekali gus menghidupkan kembali kenangan dan keterujaan terhadap watak yang cukup sinonim dengan gelagat lucu dan cinta terhadap pisang.
Kolaborasi eksklusif itu memperkenalkan produk tenusu edisi terhad yang bukan sahaja comel dari segi pembungkusan, malah enak dan sesuai dinikmati seisi keluarga. Susu berperisa pisang dan aiskrim dengan tema Minions kini boleh dimiliki di seluruh negara bermula 1 Jun 2025.
Produk utama yang menjadi tumpuan ialah F&N MAGNOLIA Banana Milk UHT, susu berkrim yang dibalut dengan rekaan ceria menampilkan karakter Minions.
Tersedia dalam dua saiz iaitu 1 liter dan pek 6 untuk saiz 200ml, ia sangat sesuai dijadikan bekalan ke sekolah, snek selepas waktu belajar atau minuman ringan sewaktu berehat di rumah.
Lebih menarik, F&N MAGNOLIA turut memperkenalkan produk tenusu lain seperti 100 peratus Fresh Milk dan Chocolate Milk dalam pek enam yang turut menampilkan tiga rekaan eksklusif Minions.
Bagi penggemar pencuci mulut, aiskrim Neapolitan dan Vanilla dalam saiz tub 1.4 liter juga turut tampil dengan wajah baharu berinspirasikan Minions.
Ketua Pegawai Jenama & Komersial Fraser and Neave, Ronnie Teo berkata, kolaborasi itu diadakan bagi menyemarakkan suasana cuti sekolah dengan sesuatu yang menyeronokkan serta mencetus rasa nostalgia.
“Kami bawakan lebih keceriaan dengan kolaborasi Minions, penuh fun dan nostalgia, khas untuk musim cuti sekolah ini,” katanya.
Mencipta momen kecil
Menambahkan lagi kemeriahan, F&N MAGNOLIA turut menganjurkan peraduan nasional bersempena kempen ini. Dengan setiap pembelian minimum RM10 produk susu F&N MAGNOLIA edisi Minions, pelanggan berpeluang menyertai peraduan yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025.
Sebanyak 46 pemenang akan dipilih setiap minggu untuk membawa pulang pelbagai hadiah eksklusif termasuk Backpack Minions Kulit Premium bernilai RM1,200 dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan di beberapa pusat membeli-belah AEON terpilih. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk permainan interaktif “Catch the Banana” dan peluang mencuba nasib di mesin ‘blind box’ bersaiz gergasi dengan pembelian produk F&N MAGNOLIA Fresh Milk UHT.

Pelanggan yang membuat pembelian minimum RM40 boleh menyertai cabutan hadiah dari vending machine istimewa, manakala pembelian RM20 melayakkan mereka menyertai permainan interaktif untuk memenangi hadiah menarik seperti beg, bekas makanan, payung dan banyak lagi barangan eksklusif Minions.
Keseluruhannya, kolaborasi antara F&N MAGNOLIA dan Minions bukan sahaja berjaya menarik minat kanak-kanak, malah membangkitkan keterujaan dalam kalangan golongan dewasa yang membesar dengan filem animasi popular tersebut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang