HABSAH HASSAN merupakan satu nama yang cukup gah dalam dunia seni tanah air. Pada era 1980-an hingga 1990-an, penyanyi-penyanyi terkenal sememangnya mencari sentuhan beliau untuk menulis lirik lagu mereka.

Masakan tidak, rata-rata hasil bait-bait puitis yang dinukilkan Habsah atau mesra dengan panggilan Kak Chah pasti popular, diminati ramai dan menjadi malar segar sehingga kini.

Antara penyanyi-penyanyi terkenal tanah air yang pernah menyanyikan lagu dengan lirik ditulis olehnya adalah  Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dengan lagu Merisik Khabar, Zaiton Sameon (Menaruh Harapan), Aishah (Cinta Beralih Arah), Spring (Butakah Cinta?) Jamal Abdilllah (Antara Yakin dan Curiga), Datuk Siti Nurhaliza (Dialah Di Hati) dan ramai lagi.

Habsah Hassan

Setakat ini, Kak Chah telah menulis 1,300 buah lirik lagu termasuk lagu bertemakan kenegaraan, nasyid dan korporat.

Apa yang dilakukan oleh Kak Chah sekarang? Berkongsi perkembangan terkininya, beliau ketika dihubungi SinarPlus berkata, dirinya masih aktif melakukan kerja di belakang tabir untuk program-program televisyen kendalian dua syarikatnya Directors Team Pte Ltd dan Serangkai Filem.

Habsah Hassan

Beliau bertindak sebagai Pengarah Urusan, penulis dan penerbit. Aktiviti dalam bidang penerbitan telah menjadi kerjayanya sejak berhenti dari RTM pada tahu 1984 setelah berkhidmat selama 11 tahun. Menulis lirik merupakan hobi yang dicintainya.

Beliau berterus-terang bahawa tawaran untuk menulis lirik semakin kurang kini.

Tidak terkesan dengan senario tersebut, beliau bersyukur kerana masih diberi kesempatan oleh ALLAH SWT menjalankan kerja-kerja produksi meskipun tawaran dari stesen TV hanya datang sekali sekala.

Habsah Hassan

“Walaupun langkah agak terbatas kerana wabak Covid-19, hidup mesti diteruskan. Kerja-kerja produksi Directors Team Pte Ltd Singapore masih berjalan seperti biasa dengan kru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kami baru selesai menerbitkan sebuah rancangan sitcom untuk SURIA, stesen televisyen Singapura.

“Selain itu, Serangkai Filem ketika ini sedang berada di peringkat praproduksi menyiapkan satu program bual bicara bertajuk Pentas Seni yang dihoskan oleh Fikri Ibrahim untuk siaran di RTM,“ ujarnya.

Pengalaman

Penulis teruja berbicara bersama Kak Chah, seorang figura yang masih berpengaruh dalam bidang seni. Katanya, kejayaan yang dikecapinya dulu bukanlah melalui jalan yang mudah.

Habsah Hassan

Bercerita lanjut, beliau berkata, sebenarnya bakatnya dalam bidang penulisan dikesan ketika dirinya masih di sekolah rendah, tetapi mula serius sewaktu berusia 15 tahun.

Bermula dengan sajak, skrip drama radio, Kak Chah juga menulis cerpen yang pernah disiarkan di beberapa majalah seperti Wanita dan Dewan Sastera serta beberapa akhbar tempatan.

“Skrip drama radio saya ketika itu sudah mula mendapat tempat dan disiarkan di Radio Singapura mulanya dan kemudian di Radio Malaysia,“ katanya sambil mengakui kebolehannya telah digilap oleh bapanya yang juga seorang anggota polis marin yang aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan kebudayaan di Singapura.

Habsah Hassan

Kak Chah yang kini sedang meniti usia 71 tahun berkata, beliau seorang yang gemar mendengar radio.

“Sewaktu lulus peperiksaan tingkatan 3, arwah ibu menghadiahkan saya sebuah radio transistor. Itulah gajet yang saya bawa ke mana-mana sahaja, waima sedang memasak, membasuh pinggan atau sedang menggosok pakaian dek kerana tidak mahu terlepas rancangan drama dan mendengar lagu-lagu kegemaran saya.

Iklan

“Saya rasa sangat bertuah kerana selepas itu, orang tua saya menghadiahkan pula sebuah mesin taip. Keseronokan itu saya terjemahkan melalui penulisan. Tidak sangka, skrip drama bertajuk Hati Si Cacat diterima untuk rancangan radio di Singapura berdurasi selama 45 minit. Beberapa tahun selepas itu, karya saya diterima pula di RTM. Syukur, saya mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi, tetapi sangat peka dan memahami minat saya,“ kata nenek kepada 10 cucu itu.

Habsah Hassan

Selain dikenali sebagai penulis lirik, mungkin ramai yang terlupa, Kak Chah juga merupakan penulis skrip filem. Kesemua skrip filem keluaran syarikatnya ditulis oleh beliau sendiri, sementara untuk filem Ali Setan, beliau bertindak sebagai penyunting.

Bercerita tentang muzik hari ni, Kak Chah menzahirkan pendapatnya.

“Tidak dapat dinafikan lagu-lagu zaman sekarang memang mudah dan cepat ‘meletup‘ ikut istilah budak-budak sekarang, nama pun ‘meletup‘, selepas itu, apa jadi?

“Ada lagu yang bagus dan punya potensi bertahan lama, namun kebanyakannya seperti cantiknya bunga api di angkasa, keindahanya hanya seketika saja, selepas itu orang lupa.

“Bagi Kak Chah, berkaryalah dengan hati agar dapat lahirkan hasil yang indah yang akan bertahan menjadi lagu-lagu malar segar. Karya yang begitu lah yang akan menjamin pendapatan royalti berpanjangan,“ pesannya.

Iklan

PROFIL

Nama: Habsah Hassan

Umur: 71 tahun

Asal: Johor

Kerjaya: Pengarah Urusan, Penerbit & Penulis Serangkai Holdings Sdn Bhd dan Director‘s Team Pte Ltd Singapore

Antara pencapaian:

  • Anugerah Cakera Emas WEA Recording Company (kini dikenali Warner Music) (1984)
  • Pemenang wanita pertama Lirik Terbaik Muzik-Muzik (1987)
  • Pemenang Skrip Terbaik Festival Filem Malaysia (1991)
  • Anugerah MACP Lirik Terbaik Tahun 1980-an (2006)
  • Anugerah Galakan DBP Lirik Wajah (2006)
  • Anugerah Penulis Lirik Pendapatan Terbanyak MACP (2016)
  • Antara lagu-lagu yang pernah memenangi anugerah: Menaruh Harapan, Ku Kehilanganmu, Merisik Khabar, Dir, Cinta Beralih Arah, Wajah, Pulangkan, Ku Seru dan Warkah Buat Laila.