BEBERAPA hari lalu kita dikejutkan dengan beberapa kejadian kesan daripada penagihan dadah.

Anak membelasah bapa tiri, pemuda mengelar leher ibu hingga putus kepala dan wanita memandu melulu merempuh kenderaan berlaku hanya selang beberapa hari.

Ia amat menggerunkan dan ekstrem hingga tidak dapat dijangkau akal. Segalanya dilakukan di luar kewarasan tatkala dadah dan kesan ketagihan menguasai diri.

Dadah memberikan kesan psikologi rasa seronok dan khayal seolah tidak berpijak di alam nyata. Pada masa yang sama penagihnya hilang kawalan diri dan pemikiran hingga tanpa segan-silu melakukan perkara yang mengaibkan serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

Baca juga: Warganet Bengang, Pemuda Tergamak Belasah Bapa Tiri Tak Dapat Duit Beli Dadah

 

Baca juga: Angkara Dadah! Leher Ibu Tiri Putus Ditetak Anak, Ini Kejadiannya

Baca juga: Kronologi Kejadian Kereta Dipandu Melulu Rempuh Kenderaan, Rupanya Wanita Lalok Hidu Gam

Sekiranya bekalan dadah tidak diperolehi, mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi hingga terdorong melakukan pelbagai perbuatan jenayah kerana cuba mengatasi rasa gian.

Rasa ketagih berterusan memungkinkan gangguan mental dan hilang pertimbangan waras. Penagih terdorong melakukan sesuatu tidak masuk akal yang berlawanan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat. Malah tubuh pula tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan tidak dapat dipulihkan.

Dadah adalah satu-satunya masalah sosial paling rumit yang sedang dihadapi yang berakar umbi dalam masyarakat. Justeru, sama-samalah mengambil langkah waspada agar kita dan keluarga terhindar daripadanya.

Perkara pertama ialah ambil tahu tentang dadah dan bagaimana ia boleh ‘memasuki’ ke dalam rumah serta mengenal pasti tanda-tanda mencurigakan. Usah terpedaya dan diperbodohkan!

Baru-baru Public Health berkongsi peringatan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Selangor kepada ibu bapa tentang sejenis botol yang digunakan untuk menghisap dadah jenis ‘batu’, ‘syabu’, ‘ice’ atau ‘kaca’.

“Kalau terjumpa dengan penyedut minuman berisi bahan seakan-akan ‘garam’ atau ‘gula’ atau penyedut minuman yang dipotong-potong kosong dalam bilik anak-anak, sila soal siasat anak anda ya.

“Jangan pulak percaya kalau anak beritahu ia adalah projek sains sekolah atau ubah suai botol.

“Jika ada yang terjebak, usah ditunggu keadaan teruk barulah dirawat. Mencegah lebih baik dari mengubati,” titipnya.

Malah turut dikongsi tanda pengambilan syabu ialah tidur malam selama dua hingga tigahari.

“Kesannya otak anak-anak akan rosak dalam masa yang singkat. Ia boleh menyebabkan mereka menjadi tidak waras. Dadah sintetik ini nampak biasa-biasa tetapi berbahaya,” katanya.

Penyalahgunaan dadah tidak mengira warna kulit mahupun agama. Justeru, sebagai individu dan anggota masyarakat jauhilah najis ini. Usah cuba-cuba kerana ia mampu menjerat dengan menyebabkan ketagihan.

Tiada kebaikan yang diperolehi daripada dadah kecuali membinasakan. Teguhkan hati, ingatlah impian, amanah, masa depan dan insan yang tersayang.

Si Bibir Merah: Dari mana sumber bekalan dadah yang didapati penagih? Adakah ia berpunca daripada berleluasanya rasuah? Renung-renungkan…

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: Pusat Racun Negara, My Health KKM, AADK via Public Health Malayisa