Suami hidap sakit saraf, suri rumah nekad jual kek jeli 3D raih pendapatan lumayan
Suami hidap sakit saraf, suri rumah nekad jual kek jeli 3D raih pendapatan lumayan
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah yang sesuai digambarkan kepada seorang suri rumah ini.
Maryam Ismail, 33, nekad memulakan perniagaan bakeri dari rumah selepas suaminya yang bekerja sebagai seorang jurutera menghadapi komplikasi kesihatan menyebabkan sukar buatnya untuk terus bekerja seperti biasa.
Siapa sangka pada mulanya hanya untuk bantu kewangan keluarga yang mana ketika itu suaminya kerap warded akibat masalah saraf (Cervical And Lumbar Facet Syndrome), kini ia menjadi sumber pendapatan utama.
Situasi yang dihadapi Maryam sehinggakan dia memulakan perniagaan bakeri dengan jenama D’hauz Kukiez & Bakery (DKB).
Baca juga Dulu pengacara TV, sekarang bekerja dari rumah, Nisa Aznan puas berniaga
Penubuhan syarikat itu bermula pada September 2019 kemudian secara sedikit demi sedikit ia dikembangkan.
Pada asalnya, Maryam hanya mengambil tempahan melibatkan kek perkahwinan, kek kawan dan sebagainya namun selepas mengikuti kursus ringkas pembuatan kek jeli 3D, dia mula meneroka bidang baharu.
Katanya, dia mengikuti kelas kek jeli 3D selama satu hari di Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor pada tahun 2016, sebelum mengasah kemahiran dengan berpandukan video YouTube dan juga latihan amali.
"Bermula daripada itu, saya mula tertarik dengan kek jeli ini, jadi saya banyak menghabiskan masa melatih diri dan menonton pelbagai video YouTube, khususnya daripada China dan Vietnam kerana kek ini popular di sana.
"Beberapa bulan selepas itu, saya mula yakin untuk mengambil tempahan dan daripada seorang rakan yang menempah, tempahan makin meningkat dan sejak 2017 saya dan suami telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kami.
"Teknik yang digunakan untuk membuat kek ini adalah secara suntikan di mana setiap corak dan warna yang dilakar adalah melalui teknik suntikan, jika coraknya banyak dan rumit maka tempoh pembuatannya adalah lebih lama," ujarnya.
Baca juga Laku keras musim PKP jualan cecah 1 juta, Adila mula jual cheese tart dari ceruk dapur
Tambah Maryam, pada mulanya dia mengambil tempoh sehingga dua atau tiga jam untuk menyiapkan satu kek jeli 3D bersaiz kecil, namun setelah memahirkan diri, dia mampu menyiapkan sebuah kek jeli 3D dalam tempoh kira-kira 30 minit.
"Syukur Alhamdulillah, walaupun pembuatan kek jeli ini masih kurang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, namun sudah semakin ramai orang yang berminat untuk mendapatkannya.
"Maklum balas yang saya terima daripada pelanggan adalah mereka teruja apabila mendapat tahu ada pembuat kek jeli 3D Muslim kerana majoriti mereka yang menjual kek seperti ini adalah individu bukan Muslim," ujarnya yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia.
Kek jeli 3D yang dijual bermula pada harga serendah RM65 dan boleh mencecah sehingga RM300 bergantung kepada saiz dan kesukaran rekaan yang dimahukan pelanggan.
Sementara itu, suaminya, Mohd Farkhan Yahya, 38, pula memberitahu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang jurutera pada tahun 2022 bagi membantu perniagaan yang dijalankan isterinya secara sepenuh masa.
"Ketika itu, saya juga menghidap penyakit saraf, menyebabkan saya terpaksa kerap bercuti kerana masalah kesihatan, jadi setelah berbincang dengan isteri, saya buat keputusan untuk berhenti kerja.
"Bermula daripada itu, kami fokus kepada menjalankan perniagaan ini dengan memfokuskan pemasaran sepenuhnya melalui platform media sosial.
"Alhamdulillah sambutan menggalakkan di mana sehingga kini, kami menerima secara purata tidak kurang 100 tempahan kek jeli 3D," katanya yang berharap untuk memiliki premis dan pekerja sendiri bagi melebarkan perniagaan mereka pada masa depan.
Ujar Maryam lanjut, dia amat bersyukur atas sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
"Sambutan sangat menggalakkan lagi-lagi pada musim cuti sekolah dan cuti-cuti perayaan. Hampir setiap hari permintaan untuk 3d jelly dan desert lain penuh. Tapi di waktu lain, turun naik permintaan tu adalah biasa.
"Kami sentiasa upgred design 3d jelly dan menambah menu-menu dalam desert keluaran kami. Selain itu pelanggan juga boleh customize design yang mereka inginkan mengikut cita rasa mereka," katanya.
Sudah menjadi adat hidup orang bisnes, tepaksa mengharungi cabaran dugaannya, begitu juga Maryam dan suami.
"Cabaran besar kami adalah kami mulakan bisnes dengan duit simpanan kami tanpa membuat mana-mana pinjaman sehingga ke hari ini. Jadi, segala keuntungan sedikit demi sedikit kami laburkan kepada modal untuk mengembangkan bisnes.
"Pernah juga lalui pengalaman pahit ditipu customer tanpa membuat pembayaran penuh, ada kalanya customer cancel order last minute. Lebih diuji lagi di saat berniaga dalam situasi pandemik Covid-19.
"Last minute cancel order dan kita terpaksa close bisnes untuk kuarantin akibat terkena jangkitan selama seminggu itu membuatkan sale kami drop. Lebih dahsyat diduga jangkitan Covid-19 dua kali berturut dalam tempoh yang singkat. Bila reserve cash masih kecil macam kami memang bila ditimpa dugaan macam tu rasa nak berhenti dan stop dari bisnes.
"Tapi, itulah sumber pendapatan kami dan baik atau buruk qadha ALLAH itulah yang wajib kami terima dengan reda dan pasti ia adalah yang terbaik buat kami ia tak lebih dari sebuah asam garam dalam perniagaan yang kami harus tempuhi untuk bergelar usahawan berjaya kelak," tutur Maryam.
Selain itu, Maryam dan suami turut memastikan diri mereka sentiasa bermotivasi dan bersemangat.
"Menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan secara automatik akan memotivasikan kita dalam setiap langkah kita lalui. Kalau tidak bersemangat dan termotivasi maka hilanglah sumber pendapatan kami sekeluarga.
"Namun kami tidak nafikan ada kala semangat itu merundum maka di sinilah indahnya sebuah perniagaan yang dikelolakan suami isteri bersama, kerana di situlah akan wujudnya usaha saling menguatkan dan memotivasikan antara satu sama lain.
"Di saat saya down suamilah yang akan menguatkan dan di saat dia pula yang down sayalah yang akan menguatkanya. Di samping itu kami memiliki cita-cita yang tinggi antaranya adalah untuk berbakti kepada kedua orang tua kami itu jugalah yang banyak mendorong kami untuk kekal spirit dan kuat menghadapi segala onak duri dalam perniagaan," ujarnya.
Baca juga Minat mekap, tampil bergaya cetus Noorain Seman keluarkan produk kosmetik, suplemen
Sementara itu, Maryam turut menitipkan pesanan buat wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan.
"Untuk menjadi seorang usahawan memang memerlukan kecekalan dan ketabahan. Kita tak kan pernah tahu ujian dan dugaan yang bakal menimpa. Ada kala kita merasakan manisnya perniagaan itu dapat diraih dengan mudah namun ada kala kita merasakan lelahnya sebuah perniagaan untuk dibangunkan.
"Ya itulah realiti yang akan dihadapi setiap usahawan kerana itu sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan penting sekali kita persiapkan diri dengan kecekalan dan ketabahan selain dari yang paling utama adalah tawakal kita kepada ALLAH yang maha pemberi rezeki dalam setiap usaha dan ujian yang datang melanda kerana rezeki itu semata-mata dari ALLAH bukan selainNya," katanya mengakhiri perbualan bersama SinarPlus.
Untuk tempahan;
- WhatsApp 0137465820
- Ig: www.instagram.com/dhauz_kukiez (@dhauz_kukiez)
- Fb: www.facebook.com/dhauzkukiez (@dhauzkukiez)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang