Terlalu rindu arwah ibu, jemaah wanita rebah 3 kali di pangkuan Ustazah Asma’ Harun usai saie
TERLALU merindui arwah ibu, jemaah wanita rebah tiga kali. Demikian perkongsian Ustazah Asma’ Harun, pendakwah wanita yang cukup terkenal dan disegani selepas melakukan saie.
Pendakwah ini kerap menyampaikan ilmu bukan sahaja di kuliah-kuliah agama tetapi juga di platform media sosial seperti di Facebook dan YouTube.
Perkongsian ilmu secara langsung di media sosial menjadikan nama Ustazah Asma’ sering disebut-sebut kerana beliau mengajak ke arah kebaikan.
Selain berceramah, menghasilkan beberapa judul buku bacaan umum, Ustazah Asma’ turut menyertai trip umrah dan haji. Dalam satu perkongsian di Facebooknya, Ustazah Asma’ ada bercerita tentang pengalamannya berhadapan dengan jemaah yang rebah ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah.
Baca juga: Seiring usia, Ustazah Asma’ dedah 39 kisah tentang diri raih ribuan doa
“ALLAH… Mak… Mak… Allahu Akbar, 3 kali jemaah wanita ini rebah atas pangkuan saya dan beberapa jemaah wanita lain.
“Sebaik selesai ibadah saie, tujuh kali ulang alik sejauh lebih kurang 3.5 kilometer (km), setibanya di Bukit Marwa, beliau pada awalnya stabil dan memeluk saya dengan kuat sambil memberitahu bahawa umrah yang dilakukan ini untuk Allahyarham ibu.
“Saya cuba menyejukkan hatinya dengan berulang kali memberitahu bahawa, “Insya-ALLAH, kita berdoa dan bersangka baik bahawa pahala umrah ini telah membahagiakan arwah ibu beliau hingga alam barzakhnya bercahaya dan ibarat taman syurga, insya ALLAH tak lama lagi akan berkumpul kembali di syurga,” cerita Ustazah Asma.’
Menurut Ustazah Asma’ setelah selesai mengerjakan saie, kaki wanita itu seolah tidak lagi berdaya walau sedikit pun. Badannya juga lemah longlai. Lidahnya tidak henti-henti menyebut, ALLAH.. mak.. mak.. mak.. dengan air mata yang bercucuran.
“Boleh jadi sepanjang perjalanan bermula dengan tawaf dan saie, ingatan dan hatinya sarat rindukan arwah ibunya yang tidak terbendung lagi. Pengalaman sendiri, setiap kali melakukan ibadah badal umrah buat arwah ayah memang akan terasa sangat berat dan sayu, sepanjang tawaf dan saie seperti terbayang-bayang wajah arwah dengan senyuman dan suara memanggil nama kita,” jelas Ustazah Asma’ lanjut.
Jelas Ustazah Asma’ lagi, jemaah wanita itu berusia sekitar 62 tahun. Beliau adalah anak yang direzekikan untuk menjaga ibunya sehingga kembali ke pangkuan Iahi sekitar empat tahun yang lalu.
Baca juga: Wanita keliru bab inai celup dan sah solat, Ustazah Asma’ kongsi penerangan lengkap
“Saat itu arwah ibunya berusia sekitar 80 tahun lebih. Suaminya juga telah meninggal dunia sebelum ibu tercinta. Begitulah yang diceritakan oleh adik dan kakaknya yang juga turut sama dalam jemaah umrah kali ini.
“Akhirnya kerana ketidakmampuan beliau berjalan bahkan untuk berdiri pun tidak mampu, lalu wanita ini ditolak dengan kerusi roda hingga ke bilik. Begitulah antara kisah sayu yang berlaku ketika menunaikan ibadah umrah,” jelas Ustazah Asma'.
Akui Ustazah Asma’ lagi, sebenarnya banyak kisah syahdu yang berlaku ketika beliau menyertai trip mengerjakan umrah. Kebanyakan jemaah yang menyertai trip umrah majoriti terdiri daripada mereka yang berusia dan uzur. Masing-masing sarat dengan pengalaman hidup yang pahit dan manis.
Diharapkan dengan perkongsian Ustazah Asma’ ini dapat dijadikan iktibar agar dapat dijadikan panduan bersama. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik di dunia dan di akhirat.
Baca juga: Trend “Unboxing by Husband” merosakkan, mulakan hidup berumah tangga dengan perbuatan maksiat
Kredit: Ustazah Asma’ binti Harun
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang