3 keadaan yang dibolehkan kita untuk ‘tipu sunat’

Tipu sunat
September 21, 2020
Nurulfatiha

BERBOHONG atau menipu amat dilarang sama sekali. Agama Islam juga menegah kita daripada berbuat demikian.

Namun begitu, istilah ‘tipu sunat’ atau ‘bohong sunat’ acap kali digunakan oleh segelintir orang. Tujuannya bagi melepaskan diri daripada suatu keadaan.

Barangkali ada yang terpaksa ‘tipu sunat’ untuk menyelamatkan keadaan daripada kekeruhan antara dua individu, ‘menyelamatkan’ diri daripada dikenakan tindakan dan seumpamanya.

Jika sudah namanya berbohong, apakah ‘tipu sunat’ juga dikira sebagai satu bentuk penipuan juga? Adakah dalam keadaan-keadaan tertentu kita dibolehkan untuk ‘tipu sunat’?

Bagaimana pula situasinya jika seorang suami berbohong kepada isterinya semata-mata mahu memujuknya? Ada orang yang kata tidak mengapa jika berbohong sunat kepada isteri.

Menurut pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, hukum berbohong atau berdusta pada asalnya adalah dilarang dan pada kebanyakan hukumnya adalah haram.

Begitupun, katanya, pada keadaan tertentu, hukum berbohong itu menjadi harus atau disebut sebagai berbohong yang dibenarkan syarak.

“Ketahuilah, berbohong yang diharuskan ini adalah pada ketika (ia) tidak memberi kesan melainkan dengan berbohong,” katanya menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Jelas Ustaz Azhar Idrus, terdapat tiga keadaan yang dibenarkan untuk kita berbohong. Misalnya, berbohong kerana mendamaikan manusia yang berbalah.

Tipu sunat
BERBOHONG dibenarkan seandainya ingin mendamaikan manusia yang berbalah.

Daripada Ummu Kalthum binti ‘Uqbah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Tiadalah dinamakan berdusta orang yang mendamaikan antara manusia, maka dia menyampaikan akan kebenaran atau berkata akan kebenaran.” (Riwayat Syaikhain)

Selain itu, Ustaz Azhari Idrus menambah, berbohong juga diharuskan ketika dalam peperangan. Begitu juga dalam keadaan suami berbohong kepada isterinya untuk kebaikan.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Yazid RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak halal berbohong melainkan pada tiga keadaan: Pertama seorang suami berbohong akan isterinya supaya suka isterinya dan kedua berbohong dalam peperangan dan ketiga berbohong supaya mendamaikan manusia.” (Riwayat at-Tirmizi & Abu Daud)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelas bahawa ia menjadi ‘dalil’ yang mengharuskan suami bercerita dengan perkara yang tidak benar kepada isterinya dengan tujuan supaya isterinya suka, terang beliau.

“Begitu juga harus atas isteri berdusta kepada suaminya kerana menyukakan (menggembirakan) hati suaminya.

“Apa yang dimaksudkan dengan berbohong kepada suami atau isteri itu adalah pada perkara yang bukan menggugurkan kewajipan dan mengambil hak atau harta.

“Jika suami berbohong kepada isteri sehingga suami tidak perlu menunaikan kewajipan umpamanya nafkah, maka berbohong di sini adalah haram.

“Seperkara, haram bagi suami berbohong kepada isterinya sehingga suami dapat harta isteri,” katanya.

Apapun, jangan sesekali gunakan alasan tipu sunat dengan tujuan yang salah. Usah disebabkan bohong sunat itu menyebabkan hubungan suami isteri jadi berantakan.

Sumber: Instagram uaioriginal

About Nurulfatiha

Biodata Penulis