'Berjaya atau gagal, bersujud syukurlah kepada ALLAH'

Berselawat
March 5, 2020
Oleh Nurulfatiha

AWAL pagi tadi, pasti ramai ibu bapa dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdebar menantikan keputusan peperiksaan penting itu.

Apa tidaknya, bagi kebanyakan orang, keputusan SPM itu bakal mencorakkan hala tuju mereka selepas ini.

Jika baik keputusannya, maka cerahlah masa depan mereka. Andai kata menerima keputusan kurang cemerlang akan dianggap sebagai kurang berjaya. Begitulah tanggapan segelintir orang.

Namun, apa jua keputusan yang diterima, bukalah hati dan minda kita untuk menerimanya dengan berlapang dada. Tentu ada tersirat sesuatu di sebalik keputusan berkenaan yang hanya diketahui oleh Sang Pencipta.

Dalam hal ini, pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid menitipkan pesanan kepada ibu bapa dan calon SPM menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.

Jom kita ikuti apa nasihat beliau.

Hari ini, keputusan SPM. Berjaya atau gagal, bersujud syukurlah kepada ALLAH.

Iklan

Buat ayah, ibu dan guru...

Apa pun keputusan anak/pelajar, terima dengan hati terbuka. Berjaya atau tidak, masih tetap berikan pelukan dan ciuman kepada mereka.

Jika berjaya, ucapkan tahniah. Jika belum berjaya, berilah harapan dan peluang lain untuk berjaya. Raikan usaha mereka bersungguh-sungguh.

Jika mungkin mereka agak nakal, tegurlah dengan berhemah. Nasihatlah dengan kata-kata yang lunak. Kalau mungkin mereka tidak berjaya akademik, sekurang-kurangnya akhlak dan ibadah mereka membahagiakan dengan sebab nasihat serta teguran berlemah lembut.

Iklan
SPM
TERIMALAH keputusan SPM dengan hati yang berlapang dada. -Foto: Bernama

Buat anak-anak SPM...

Apa pun keputusan, terima dengan reda. Segala keputusan bergantung kepada usaha kita dan izin daripada ALLAH.

Kalau mungkin kita sudah berusaha, tetapi jika ALLAH tidak izinkan, bukan sebab kita gagal, tetapi ALLAH simpan kejayaan kita untuk diberikan pada waktu yang lebih istimewa.

Ucapkan terima kasih kepada semua guru dan ayah ibu. Hilang penat lelah guru yang mengajar kita bertahun-tahun cukup dengan penghargaan berupa ucapan terima kasih. Apatah lagi, diberikan sedikit hadiah mewakili perasaan kasih kita kepada mereka.

Yang paling penting, berjaya atau gagal, kembalikan kepada pencipta kejayaan dan kegagalan tersebut. Buatlah sujud syukur untuk-NYA yang mengizinkan kita hidup hingga ke hari ini. Berdoalah pula untuk kejayaan di akhirat nanti.

Sumber: Facebook UBF - Bakhtiar Fitri Hj Abdul Hamid

About Nurulfatiha

Biodata Penulis