DI SEBALIK kesukaran yang dihadapi ketika dunia sedang dilanda wabak Covid-19, ada pula individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk ‘merembat’ face mask dan hand sanitizer di hospital.

Sudahlah ambil kemudahan disediakan oleh pihak hospital tanpa izin, dibawa pula balik ke rumah barang itu dan digunakan untuk tujuan peribadi.

Bukahkan perbuatan itu sama seperti mencuri juga? Walaupun bukan wang atau harta benda yang diambil, akan tetapi face mask dan hand sanitizer merupakan barang yang penting dan sangat berharga ketika ini.

Masakan tidak, sana sini orang mencarinya sebagai ikhtiar untuk meningkatkan aspek kebersihan diri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Malah, adakalanya barang berkenaan sukar didapati di pasaran gara-gara permintaannya yang cukup tinggi.

Apakah hukumnya mengambil hand sanitizer dan face mask dari hospital? Apa pandangan Islam tentang hal ini?

Sebagai orang Mukmin, kita dilarang untuk mengambil sesuatu yang bukan hak sendiri. Semua orang jelas tentang perkara ini.

Nampak macam remeh, tetapi jangan sesekali buat begitu walaupun kita sangat memerlukan barang tadi selagi tidak mendapat izin tuan punya barang atau digunakan pada tempat tidak sepatutnya.

Menjawab kepada persoalan tadi, sebenarnya tiada masalah jika kita menggunakan face masak dan hand sanitizer yang disediakan di wad-wad kerana ia sememangnya untuk kegunaan umum.

Akan tetapi, perbuatan membawa balik botol hand sanitizer dan beberapa helai face masak tersebut adalah perbuatan yang tidak dibenarkan. Kita dilarang sama sekali untuk berbuat demikian.

Bawa balik face mask dan hand sanitizer
JANGAN bersikap pentingkan diri bawa balik face mask dan hand sanitizer di hospital ke rumah kerana ia dilarang oleh agama Islam.

Ia berdasarkan kepada sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Jika salah seorang daripada kamu berjalan dan mendapati ada kambing dan jika ada tuannya, maka minta izin. Jika dia mengizinkan maka perahlah susunya dan minum. Jika tuannya tidak ada, maka panggillah sebanyak tiga kali. Jika dia manyahut, maka minta izin. Jika tidak, maka perahlah dan minum akannya tetapi jangan diambil susu tersebut untuk dibawa balik.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Sheikh Abdurrahman Mubarakfuri menyebut bahawa hadis itu dikhususkan untuk orang yang betul-betul memerlukan.

Bagaimanapun, kebanyakan ulama tidak membenarkan untuk memerah susu kambing tanpa izin tuannya kecuali jika orang itu betul-betul memerlukan dan dia tidak perlu menggantikannya menurut sebahagian pandangan.

Namun begitu, ada sebahagian para ulama lagi mengatakan, dia perlu menggantikannya semula. Cuma mereka tidak boleh membawanya pulang. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 4/518).

Melihat kepada situasi di hospital, face mask dan hand sanitizer disediakan untuk kegunaan umum sebagai satu langkah pencegahan bagi mengelakkan kuman dan sebagainya, namun ia bukanlah keizinan untuk dibawa pulang dan dijadikan sebagai barang peribadi.

Akan tetapi, apabila kemudahan itu diletakkan di hospital untuk kegunaan orang awam di situ, isu tentang keizinan tidak timbul.

Iklan

Yang menjadi masalah adalah jika kemudahan tadi dibawa pulang, sedangkan face mask dan hand sanitizer adalah milik hospital yang mana ia hanya diizinkan untuk digunakan ketika berada di hospital.

Adapun membawanya pulang tidak termasuk dalam klausa keizinan yang diberikan.

Jadi, jelaslah bahawa perbuatan mengambil dan membawa pulang hand sanitizer serta beberapa helai face mask adalah tidak dibenarkan kerana dianggap mengambil sesuatu yang dimiliki oleh pihak hospital.

Ia hanya terhad kepada keizinan yang telah ditetapkan iaitu untuk digunakan ketika berada di hospital.

Andai kata, ada pihak yang menyatakan bahawa hand sanitizer dan face mask sudah habis, ia sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil barang-barang tersebut yang sudah jelas dimiliki oleh pihak hospital.

Iklan

Kepada mereka yang mengambil dan membawa pulang, ingatlah setiap apa yang anda ambil akan dipersoalkan oleh ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “… (Akan ditanya juga) tentang hartanya daripada mana ia diperolehi dan ke mana disalurkan…” (Riwayat al-Tirmizi)

Jangan disebabkan perbuatan kita untuk kepentingan peribadi tadi sehingga boleh ‘menzalimi’ orang lain.

Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH sebaik-baik sandaran.

(Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri ke-465: Hukum Membawa Balik Face Mask dan Botol Hand Sanitizer yang Disediakan di Hospital, Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)