PENDAKWAH Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da'i Fuad mengingatkan seluruh umat Islam supaya jangan mengundang kemurkaan ALLAH SWT ketika mencari rezeki.

Teguran itu lebih mengarah kepada pengasas produk yang dilihat cenderung menggunakan instrumen pemasaran yang keterlaluan dan tidak patuh syariah sejak kebelakangan ini. Ujar beliau, sememangnya pendapatan yang dicari itu halal, namun tiada keberkatan ke atasnya.


“Dalam hal ini, apabila ditegur, jangan pula kata ‘jangan buat kerja Tuhan dalam menghukum rezeki kami‘. Kita perlu faham ayat ‘di antara buat kerja Tuhan ataupun berhukum dengan hukum Tuhan‘. Ia merupakan dua perkara yang berbeza.

“Saya beri contoh, hukum solat adalah wajib dan ia ketetapan daripada ALLAH. Jadi, adakah ustaz yang mewajibkan pelajarnya supaya bersolat, ustaz tersebut mengambil kerja ALLAH?

“Tidak...ustaz itu sedang menegakkan suruhan ALLAH. Justeru, nasihat saya, kalau kita tidak mampu untuk (menegakkan) suruhan-NYA, jangan kita menjadi orang yang merendahkan perintah-NYA,“ tegasnya.

Iklan

Kepada Sinar Islam Plus, Dai Fuad berkata, rezeki yang dicari akan menjadi sebahagian daripada darah daging dalam badan kita, selain mendatangkan barokah (nikmat atau keberkatan) dalam hidup.

Iklan

Baca juga Jangan mengeluh ketika mencari rezeki. Segala usaha akan diberi ganjaran yang besar daripada ALLAH SWT


Imam Ghazali, bahkan sebahagian ulama seperti Imam Nawawi juga menyatakan, barokah adalah kebaikan yang banyak, lagi abadi.
Firman ALLAH SWT dalam Surah as-Saba, ayat 36: “Katakanlah, sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang DIA dan menyempitkannya (bagi siapa yang DIA kehendaki) tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui berkenaan dengannya.“

Dalam memperkatakan tentang barokah, saya ingin memberi contoh mudah. Katakan gaji seorang itu berjumlah RM1,500 hingga RM1,800, tetapi beliau telah memberi manfaat kepada keluarga di kampung, dapat bersedekah kepada saudara Islam di Palestin dan Syria, malah kepada orang miskin yang kita tidak kenal pun dapat merasai titik peluhnya. Itulah yang diertikan dengan keberkatan,“ jelasnya.

Sebelum menutup tirai bicara, agamawan tersebut mengingatkan kepada semua bahawa cara kita mendapatkan rezeki penting bagi mencapai titik keberkatan.

“Cuba bayangkan jika ia daripada sumber haram, ia boleh menjadikan hati kita keras. Kita juga tertanya-tanya kenapa keluarga porak-peranda, anak-anak gagal dalam pelajaran dan isteri tidak mendengar kata?

Hakikatnya, makanan yang kita makanlah yang akan menjadikan siapa diri kita. Jika kita makan daripada sumber yang bersih, maka selamatlah. Jika bertentangan, natijahnya amat mengecewakan. Oleh itu, carilah rezeki yang halal, lagi berkat. Sekalipun badan dan otak penat, tetapi ia sangat berbaloi,“ nasihatnya.