SEJAK kebelakangan ini, peningkatan kes harian Covid-19 mengundang kebimbangan ramai.

Perkembangan situasi semasa itu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dan kawasan seperti Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Gelombang menakutkan tersebut ibarat sebuah permainan video yang menyaksikan setiap tahap, pasti terdapat cabaran dan berbeza pula situasinya.

Sama juga dengan pandemik Covid-19. Dalam usaha mengekang penularan virus itu, kita seharusnya patuh pada arahan kerajaan.

Sudah tentu segala yang direncanakan oleh pemimpin negara, telah dirancang dan diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai sudut dan risiko.

Justeru, janganlah kita terus mengeluh dan mengkritik tindakan yang telah mereka lakukan. Ketahuilah, virus ini bukan sahaja melanda Malaysia malah melibatkan hampir seluruh penduduk dunia.

Apa yang perlu kita lakukan adalah terus berdoa dan yakin kepada ketentuan MAHA PENCIPTA yang telah menetapkan segala apa yang berlaku di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya percaya kepada takdir itu juga adalah salah satu daripada Rukun Iman iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya kamu ditimpa suatu musibah, janganlah kamu mengatakan ‘kalaulah aku melakukan itu dan ini‘, akan tetapi katakanlah ‘takdir (ketentuan) ALLAH dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi‘.” (Riwayat Muslim)

Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah patuh kepada arahan pemerintah selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Sentiasalah mematuhi panduan atau prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk sama-sama memerangi virus Covid-19 daripada terus merebak.

Ujian Covid-19
SENTIASALAH mematuhi panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi membendung wabak Covid-19.

Saling mengingati

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam suatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada kitab ALLAH (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-NYA, jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisa, ayat 59)

Iklan

Justeru, kita jangan mudah panik dan kelam-kabut dalam menghadapi musibah yang melanda dunia sekarang.

Sebaliknya, umat Islam perlu saling mengingati antara satu sama lain agar patuh dengan segala arahan pemerintah dan pihak berkuasa.

Selain itu, janganlah pula kita menyebarkan berita atau maklumat yang belum pasti kesahihannya.

Pada masa sama, sentiasa memakai pelitup muka, mencuci tangan dan pastikan diri tidak berada di tempat yang sesak agar tidak bersentuhan dengan orang lain yang kita sendiri tidak tahu keadaan diri mereka.

Paling penting, pastikan setiap daripada kita mengambil tahu apa yang sedang berlaku di luar sana dan menjaga pergerakan dalam melaksanakan suatu urusan.

Kepada para peniaga, bersabarlah atas dugaan dan ujian ini kerana ALLAH SWT akan memberi ganjaran yang baik kepada mereka yang bersabar.

Iklan

Sama-samalah kita berdoa agar individu yang terkesan akibat PKPB dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah sebagai balasan kerana bersabar atas apa yang berlaku.

Kepada umat Islam sekalian, apa kata kesempatan masa sepanjang tempoh PKPB digunakan sebaiknya bagi memperbaiki segala amal kebaikan kita demi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT sekali gus menjadi insan yang bertakwa di sisi-NYA.

Ujian Covid-19

Begitupun, usahlah kita ketepikan tanggungjawab sebagai majikan. Janganlah kita menganiaya pekerja atau kakitangan dan sentiasa bertolak ansur demi kebaikan dan kepentingan bersama.

Ingatan khas kepada para pekerja pula, berikanlah kerjasama dengan sebaiknya dan patuhlah segala peraturan yang telah ditetapkan.

Sekali lagi diingatkan, ujian wabak yang diturunkan oleh YANG MAHA ESA tidak seharusnya disebut sebagai bala, sebaliknya ia adalah ujian besar daripada ALLAH SWT yang mahu manusia lebih berfikir.

Justeru, janganlah kita saling menuding jari dan mencari kesalahan antara satu sama lain kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Apa-apa pun, teruskan berdoa dalam apa jua keadaan agar pandemik Covid-19 dapat dihapuskan dan dilenyapkan serta-merta di atas muka bumi ini.

Akhir kalam, renungkanlan firman ALLAH SWT: “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin ALLAH dan barang siapa yang beriman kepada ALLAH, nescaya DIA akan memberi petunjuk kepada hatinya dan ALLAH MAHA MENGETAHUI segala sesuatu.“ (Surah at-Taghabun, ayat 11)

***Artikel ini ditulis oleh Rafiuddin Mohd Yusof, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor

Foto: Bernama