SEGELINTIR orang gemar mengambil anak angkat sekalipun empunya badan belum berkahwin. Begitu juga dengan pasangan yang sudah berkahwin.

Barangkali seronok dan hidup terasa meriah dengan ragam kanak-kanak yang pelbagai. Apa jua alasannya, usah persiakan kebajikan anak angkat tersebut.

Sama seperti ibu bapa lain, tanggungjawab mendidik anak angkat itu juga terletak pada penjaganya.

Bukan setakat soal tempat tinggal, pakaian dan makanan sahaja yang perlu dititik beratkan, tetapi banyak lagi tanggungjawab yang perlu digalas.

Kadangkala disebabkan terlalu kasih kepada kanak-kanak tadi, ada ibu bapa angkat yang rela mengetepikan syariat ketika membubuh nama anak dengan berbintikan bapa angkatnya.

Barangkali individu itu khuatir anak tadi tahu status dirinya sebagai anak angkat, sekali gus mengundang kesedihan mereka.

Andai kata, kita memilih nama anak angkat dengan menggabungkan namanya dengan nama bapa angkatnya pula bagaimana? Umpamanya, Syarifah Nur Iqbal. Iqbal itu merupakan nama bapa angkatnya, tetapi diletakkan sekali pada nama anak angkat tersebut. Cuma ia tidak diletakkan binti di tengah-tengah nama itu.

Dari segi hukum, apakah pandangan agama Islam tentang perkara ini?

Menjawab persoalan itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, haram bagi umat Islam menisbahkan (bin atau binti) anak angkat kepada bapa angkatnya sebagaimana yang disepakati oleh para ulama.

DR SYED SHAHRIDZAN

ALLAH SWT berfirman: “Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 5)

Berdasarkan dalil itu, Dr Syed Shahridzan berkata, pemberian nama anak angkat dengan menggandingkan nama bapa angkatnya sekali, jelas merupakan helah yang boleh mengelirukan orang lain.

“Ia termasuklah kepada si anak yang ditipu oleh ayah angkatnya. Di sini jelas juga wujud unsur penipuan atau membawa kepada penipuan.

“Ketahuilah, penipuan di dalam Islam adalah haram hukumnya di sisi syarak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya pada hari ini sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh warganet menerusi aplikasi WhasApp miliknya.

Pendakwah itu menambah, kesan daripada penamaan tadi boleh menyebabkan masyarakat terkena tempiasnya. Masakan tidak, pemilihan nama itu menyebabkan orang sekeliling turut sama tertipu.

Beliau memberi contoh mudah untuk difahami. Umpamanya, nama Syarifah Nur Iqbal. Anak angkat tadi menyangka Iqbal itu nama sebenar bapanya. Sedangkan hakikatnya ia ialah namanya sendiri.

Nama anak angkat“Apabila ditanyakan perihal itu kepada si bapa, maka pasti bapa angkatnya pasti akan menjawab itu adalah nama ayah dan bukan namanya.

“Implikasi buruk akan berlaku apabila anak itu bersekolah dan cikgu bertanya, ‘Iqbal ni nama awak ke?’. Lalu si anak menjawab, ‘Bukan, ini nama ayah saya’.

“Begitulah seterusnya berlaku di mana-mana. Malah, penipuan akan terus berkesinambungan di tempat-tempat lain. Bahkan, semua akan menyangka bahawa si anak angkat itu adalah anak kandung kepada bapa angkatnya akibat kekeliruan yang ditimbulkan.

“Sesungguhnya, penipuan dan pembohongan itu dosa besar menurut para ulama dengan dalil-dalil yang jelas,” tegasnya.

Begitupun, seandainya nama Syarifah Nur Iqbah itu dibubuh menurut syariat Islam, ia perlu menepati beberapa syarat yang ditentukan, ujarnya.

Pertama sekali katanya, nama itu hendaklah tiada unsur penipuan. Si bapa wajib berterus terang kepada anak dan orang lain bahawa nama Iqbal itu bukan dinisbahkan kepada dirinya sebagai bapa angkat, tetapi nama anak itu sendiri. Sebagai contoh, Syarifah Nur Iqbal binti Azman (bapa kandung).

“Kedua, wajib si anak angkat itu dinisbahkan (bin atau binti) kepada bapa kandungnya, bukan kepada bapa angkat. Ia sama ada dari sudut lisan mahupun penulisan.

Nama anak angkat
PILIHLAH nama anak angkat mengikut panduan yang ditetapkan syariat dan tidak dinasabkan kepada bapa angkat.

“Begitu juga nama yang ditulis pada buku-buku sekolah anak itu. Jika tanpa disertakan ‘binti’ yang sebenar, ia akan menimbulkan kekeliruan sama ada kepada anak angkat itu ataupun orang luar,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Kepada mereka yang ada mengambil anak angkat, berhati-hatilah apabila memberikan nama anak. Jangan ambil jalan mudah dengan mengetepikan syariat yang ditetapkan oleh agama.

Siapa lagi yang mahu menjaga agama kita kalau bukan diri sendiri, bukan? Renungkanlah bersama. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita.

Sumber: Facebook Dr Syed Shahridzan Ben-Agil

Foto: Freepik