Guna tisu basah ketika istinjak? Hati-hatilah kerana ia masih dikira menanggung najis

July 19, 2020
Oleh Nurulfatiha

DI negara kita, kebanyakan tandas awam turut disediakan dengan kemudahan paip untuk memudahkan kita.

Namun jika ke luar negara, sesetengah tempat tidak menyediakan kemudahan paip. Jadi, agak sukar untuk kita bersuci selepas melepaskan hajat.


Disebabkan itulah kadangkala ada orang yang akan sediakan air dalam botol siap-siap untuk kegunaannya.

Akan tetapi, ada juga individu yang lebih selesa menggunakan tisu basah (wet tissue) untuk dijadikan alat istinjak.

Bukankah Islam mengajar kita menggunakan benda yang keras dan kesat untuk beristinjak jika tiada air? Bagaimanakah statusnya jika tisu basah dijadikan sebagai alat untuk beristinjak?

Iklan

Menurut Mazhab Syafie, beristinjak dengan menggunakan tisu basah menurut kaedah istinjak selain daripada air mutlak adalah tidak menepati syarat yang sempurna.

Jika sesuatu proses menghilangkan najis tidak menepati syarat-syaratnya, maka proses itu tidak sah.

Ini bermakna, seseorang itu masih lagi dikira sebagai menanggung najis.

Tisu basah untuk istinjak
JIKA tiada kemudahan paip disediakan, elakkan menggunakan tisu basah untuk beristinjak, sebaliknya gunakan bahan kesat yang kering sebagaimana yang dibenarkan oleh syarak untuk bersuci. 

Ketahuilah, tisu itu bersifat basah. Sedangkan antara syarat sah menggunakan bahan selain air untuk istinjak adalah bahan-bahan seperti batu. Ia mestilah kering.

Dalam kitab Nihayah al-Zein fi Irsyad al-Mubtadi’in, ada dinyatakan: “Manakala syarat-syaratnya (istinjak dengan batu atau seumpamanya) menurut keadaan zatnya adalah mestilah ia (batu atau bahan kesat) dalam bentuk pepejal (jamid), suci, mampu menanggalkan (objek najis), tidak dihormati dan tidak basah. Manakala bahan yang dihormati ialah makanan manusia atau jin.”

Iklan

Imam al-Nawawi menerusi kitab Raudah al-Tolibin menjelaskan, beristinjak dengan bahan yang lembap atau basah tidak sah hukum penyucian itu.

“Jika seseorang itu beristinjak dengan batu yang lembap atau selainnya, maka ia tidak sah menurut pendapat yang sahih,” katanya.

Meskipun pada zahirnya tampak najis itu hilang, namun hakikatnya ia masih lagi kekal dan bercampur dengan bahan yang basah itu.

Sedangkan, bahan yang bercampur dengan najis tidak boleh menyucikan najis. Perkara itu dinyatakan oleh Imam Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj.

Ingatilah bahawa hukum fiqh dikeluarkan oleh para ulama melalui nas-nas syarak sama ada daripada al-Quran mahupun sunah, ia bukan melalui logik akal semata-mata.

Jika merujuk kepada amalan-amalan Rasulullah SAW dalam beristinjak dengan batu, tiada riwayat yang menunjukkan baginda beristinjak dengan bahan pepejal yang basah.

Andai ia akan menghilangkan ain (objek) najis, sudah tentu baginda akan mempraktiskan cara tersebut seperti membasahkan batu atau kain.

Justeru, berwaspadalah dalam bab istinjak ini terutama jika kita tiada air mutlak ketika itu. Mungkin kita merasakannya cara itu lebih bersih jika dibandingkan dengan menggunakan alatan lain.

Andai kata, kita tunaikan solat selepas itu, khuatir ia tidak sah kerana masih menanggung najis.

Sumber: 99 Soal Jawab Viral Netizen, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis