ISRAK bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW menaiki Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al Aqsa, di Palestin.

Sementara Mikraj pula bererti perjalanan baginda dari Masjid Al Aqsa ke langit yang pertama sehingga langit ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.

Setiap tahun apabila tibanya tanggal 27 Rejab umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj, bagi memperingati salah satu peristiwa yang menjadi mukjizat Rasulullah SAW yang mengandungi pelbagai pengajaran untuk dihayati dan diambil iktibar.

Peristiwa itu telah diabadikan oleh ALLAH di dalam Al-Quran sebagaimana firman-Nya dalam surah al Isra’, ayat 1 yang bermaksud:

“Maha suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Di antara pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar dan dihayati dari peristiwa tersebut ialah:

Pengajaran Pertama

Wajib yakin bahawa ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, termasuk mempercepatkan perjalanan dalam peristiwa Israk dan Mikraj daripada masa berbulan lamanya kepada perjalanan hanya dalam masa satu malam.

Firman ALLAH dalam Surah al-Maidah, ayat 120 yang bermaksud:

“ALLAH jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan DIA lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Pengajaran Kedua

Darjat hamba merupakan darjat yang sangat tinggi di sisi ALLAH. Dalam peristiwa ini, baginda SAW disebut oleh ALLAH dengan panggilan hamba.

Oleh itu hendaklah kita berusaha menjadi diri hamba-NYA yang taat. Ini kerana mereka yang diiktiraf sebagai hamba ALLAH adalah orang yang layak memasuki syurga-NYA.

Firman ALLAH dalam Surah al-Fajr, ayat 27 hingga 30 yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap (mutmainnah) dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-KU (yang berbahagia) dan masuklah ke dalam Syurga-KU.

Pengajaran Ketiga

Ibadat solat merupakan yang paling mulia berbanding dengan ibadat-ibadat yang lain. Oleh  itulah kewajipan ibadat solat diperintahkan secara langsung kepada Rasulullah SAW tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Kewajipan ibadat-ibadat yang lain seperti zakat, puasa, menunaikan haji dan sebagainya hanya diperintahkan melalui perantaraan Malaikat Jibril. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Kepala urusan agama itu, Islam, tiangnya adalah solat.”

Iklan

(Hadis Riwayat, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Pengajaran Keempat

Setiap perbuatan yang baik dan buruk akan menerima balasan yang setimpal dengan di hari akhirat nanti. Ia sebagaimana yang telah didedahkan kepada baginda dalam peristiwa tersebut.

Antaranya, orang yang berjihad pada jalan ALLAH akan dapat menuai hasilnya berterusan. Bau harum datang daripada tukang sikat rambut anak Firaun (Masyitah) yang sanggup mati dibunuh kerana mempertahankan tauhid kepada ALLAH.

Bagi orang yang meninggalkan solat, azabnya dengan memecahkan kepala sendiri berulang-ulang berterusan.

Manakala orang yang menyebarkan fitnah, azabnya ialah dengan menggunting lidah dan bibir sendiri berterusan dan pelbagai lagi azab yang diperlihatkan kepada baginda.

Kesimpulannya, sempena memperingati peristiwa Israk Mikraj ini, sama-samalah kita menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut.

Iklan

Justeru, bermuhasabah dan perbanyakkan bersabar serta berusaha memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH.

Perbanyakkan ibadat dan doa mudah-mudahan dengan itu ALLAH akan mengangkat bala dan wabak Covid-19 ini dengan segera insya-ALLAH.

Baca juga: Hikmah di sebalik bulan Rejab yang ramai tidak perasan…

Baca juga: Ayam jantan berkokok waktu malam tanda ia melihat malaikat itu benar- Dr Zulkifli

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran. Berikut fadilat-fadilat lain

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: ekhutbah.terengganu.gov.my