Hikmah di sebalik bulan Rejab yang ramai tidak perasan…

Bulan Rejab
February 12, 2021
Oleh Nurulfatiha

BERMULA terbenamnya matahari pada hari ini, kita akan mula memasuki 1 Rejab. Ia menandakan bahawa bulan Ramadan al-Karim yang dinanti-nantikan semua umat Islam di seluruh dunia begitu hampir sekali.

Sebelum bulan penuh kemuliaan itu menjengah, pastinya ramai yang sudah mula membuat persiapan untuk menuju Ramadan.

Iklan

Momentum itulah yang akan menjadi latihan dan mendidik diri untuk meningkatkan amal ibadah sebelum membuat pecutan pada bulan penuh barakah itu kelak.

Antara ibadah lazim yang sering kali dilakukan oleh kebanyakan umat Islam adalah berpuasa sunat pada bulan Rejab.

Sesungguhnya, Rejab menjadi antara bulan Islam yang terkandung keistimewaan dan keutamaannya yang tersendiri. Meskipun nas yang memerihalkan tentang kelebihan bulan itu ada pertikaian dan berstatus dhaif atau palsu, namun ia tidak sedikit pun merencatkan kemuliaan bulan Rejab.

Iklan

Ini kerana kita masih lagi boleh beramal pada bulan itu, namun tidak boleh disandarkan kepada kelebihan bulan Rejab semata-mata bagi mendapat ganjaran tertentu.

Apakah hikmah yang tersirat di sebalik bulan Rejab berkenaan? Apakah hukumnya berpuasa pada bulan Rejab?

Iklan

Bulan haram

Ketika melontarkan pertanyaan itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menjelaskan, bulan ke-7 dalam kalendar Islam itu tergolong sebagai antara bulan-bulan haram dalam Islam.

DR MOHD HAPIZ

Ujar beliau, tiga daripada bulan-bulan Islam berkenaan adalah berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.

Sementelah, Rejab pula merupakan bulan haram yang terpisah daripada ‘rakan-rakannya’, jelasnya.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-NYA).” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, Dr Mohd Hapiz berkata, jelaslah bahawa terdapat 12 bulan bermula daripada diciptakan langit dan bumi.

Ia tidak kiralah sama ada mengikut kalendar Islam mahupun kalendar lunar. Kedua-duanya mempunyai 12 bulan, terangnya.

“ALLAH memerintahkan agar kita tidak menzalimi diri dan sesama manusia dalam bulan-bulan haram. Umpamanya, peperangan dan apa sahaja perbuatan yang menyakiti manusia adalah diharamkan.

“Benar, kita memang diharamkan melakukan perbuatan zalim itu pada setiap masa. Cuma dalam empat bulan itu, peraturan tersebut menjadi lebih ketat berbanding bulan-bulan selainnya,” ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Pada bulan-bulan haram itu juga, ujar Dr Mohd Hapiz, sepertimana dinyatakan oleh Ibnu Abbas, ALLAH SWT begitu memuliakannya sehinggakan sesiapa yang melakukan dosa pada tempoh berkenaan, ia akan digandakan berbanding bulan-bulan Islam yang lain.

Begitu juga halnya apabila seseorang itu melakukan amal ibadah, pahalanya juga berlipat-lipat, ujarnya.

“Begitupun, dari segi pahala, sebenarnya sifatnya adalah umum. Katakan kita menunaikan solat sunat, maka pahala pada bulan Rejab ini akan berganda. Begitu juga dengan ibadah wakaf. Mudah kata, pahala akan berganda pada bulan-bulan haram,” katanya.

Menyambung hujahnya, pensyarah itu menjelaskan, darjah keistimewaan bulan Rejab itu boleh dilihat apabila ia memiliki banyak nama.

Bulan Rejab
TUNAIKAN solat berjemaah menggandakan pahala berbanding kita mengerjakan solat secara bersendirian.

Antara nama lain bagi Rejab ialah syahrullah (bulan ALLAH), al-Ashom (memekakkan), al-Ashob (curahan), al-Mu’li (mengangkat darjat) dan lain-lain lagi.

“Meskipun hadis yang memerihalkan tentang Rejab sebagai bulan ALLAH itu sangat lemah, namun, ia bukanlah isu besar. Ini kerana semua itu hanya sekadar nama yang menjadi sebutan dan tidak melibatkan prinsip akidah seseorang ataupun kesabitan sesuatu hukum wajib dan haram,” jelasnya.

(Artikel berkaitan: Jangan lepaskan peluang berpuasa pada hari putih pada setiap bulan. Banyak kelebihan yang boleh kita raih)

Amal soleh

Benarkah tiada puasa sunat yang dikhususkan dalam bulan Rejab? Menjawab persoalan itu, Dr Mohd Hapiz yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara lantas mengiyakannya.

Jelas beliau, kebanyakan hadis yang memerihalkan tentang puasa sunat Rejab itu bersifat dhaif dan palsu.

Ahli akademik itu kemudiannya mengemukakan pandangan Ibn Hajar al-Asqalani yang menyatakan, kelebihan amalan tertentu seperti solat, puasa atau zakat khusus pada bulan Rejab, hampir kebanyakannya adalah tidak tsabit.

“Dalam bahasa mudah, tiada satu pun hadis yang sahih berkaitan dengannya. Namun begitu, seandainya kita menunaikan solat sunat, bersedekah, ziarah ke Baitullah dan melakukan amal soleh lain pada bulan-bulan haram semata-mata untuk mendapatkan pahala berganda, ia tiada masalah.

“Begitupun, andai kata pada bulan-bulan lain kita tidak berpuasa sunat, bersedekah dan seumpamanya, tetapi kerana pahala bulan Rejab, kita hendak sabitkan amalan khusus pada bulan berkenaan, ia tidak benar sama sekali. Ketahuilah, tiada amal soleh yang dikhususkan pada bulan Rejab. Cuma, kita tetap boleh melakukannya sebagai budaya menghidupkan bulan haram,” ujarnya.

Bulan Rejab
UMAT Islam boleh membanyakkan amal soleh tanpa mensabitkan kepada kelebihan bulan Rejab.

Apa jua amalan soleh yang dilakukan, ujar Dr Mohd Hapiz, bulan Islam yang satu itu terselit hikmah yang begitu indah sekali.

Bayangkan ALLAH SWT mengharamkan umat Islam daripada melakukan kejahatan kepada diri sendiri dan masyarakat, ungkapnya.

“Barangkali sepanjang 12 bulan ini, kita seorang pendosa, tetapi sekurang-kurang empat bulan-bulan haram itu segala perilaku yang membawa kepada kejahatan itu terhenti.

(Artikel berkaitan: Segerakan taubat, jangan sampai hati jadi rosak gara-gara lambat bertindak)

“Tidak kiralah siapa pun kita sama ada orang biasa, pemimpin mahupun orang politik, bertuturlah dengan baik waima di media sosial sekalipun. Usah memfitnah, apatah lagi memburuk-burukkan orang lain.

“Sebaliknya, setiap orang perlu berusaha menjadi agen keamanan yang membawa mesej Islam yang bermakna as-Salam kepada semua manusia.

“Pada masa sama, bersatu hatilah dalam memutuskan rantaian virus Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini. Insya-ALLAH usaha itu mendapat keberkatan pada bulan haram ini,” nasihatnya.

Dekatkan diri kepada ALLAH

Senada dengan Dr Mohd Hapiz ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Ujar beliau, sesungguhnya, bulan Rejab mengajar umat Islam agar memfokuskan ketaatan dan menghindari kemaksiatan.

“Pusat Fatwa Negara Mesir menyatakan bahawa kelebihan bulan Rejab adalah tsabit berdasarkan ayat 36, Surah at-Taubah, ayat 36.

“Fatwa tersebut juga menyatakan bahawa dengan kelebihan tersebut, umat Islam boleh mempelbanyakkan amalan soleh seperti solat, puasa, zikir dan seumpamanya untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya.

Jelas ahli akademik itu, ada beberapa perkara yang digalakkan oleh ulama salaf soleh pada bulan itu.

Beliau turut mengemukakan pandangan Imam Nawawi dalam Kitab al-Majmu’ bahawa Imam al-Syafie berkata: “Telah sampai kepada kami, sesungguhnya dikatakan: “Bahawasanya doa dikabulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Imam al-Syafie juga berkata: “Dan saya menganjurkan (mensunahkan untuk mengamalkannya) semua apa yang dihikayatkan daripada (keutamaan) malam-malam tersebut tanpa menjadikan ia fardu.”

Bahkan, Dr Mohd Hasrul menitipkan pesan agar kita banyakkan berdoa pada bulan berkenaan.

“Pusat Fatwa Negara Mesir juga menyatakan, kelebihan doa juga turut dinyatakan oleh Abdullah ibn Umar seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman,” katanya.

Bulan Rejab
UMAT Islam disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram yang mempunyai banyak keistimewaan, tetapi bukan sebab meraih pahala khusus pada bulan Rejab.

Kepada satu soalan, Dr Mohd Hasrul menjawab: “Menurut Pusat Fatwa Negara Jordan, jumhur ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan, hukum berpuasa pada bulan Rejab adalah mustahab (sunat) sebagaimana disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram yang lain.

“Dalam Mazhab Hanbali pada pandangan muktamad di sisi mereka bahawa makruh hukumnya jika mengkhususkan berpuasa penuh pada bulan Rejab. Ia untuk mengelakkan sangkaan bahawa ia menyamai puasa Ramadan.

“Namun, kemakruhan tersebut akan hilang jika seseorang itu tidak berpuasa walau sehari dalam bulan tersebut atau turut berpuasa penuh pada bulan yang lain. Ia jua disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

“Menurut Imam al-Nawawi dalam Kitab Majmu’ Syarh al-Muhazzab: “Berkata ulama kami; Dan dari puasa yang disunatkan, adalah puasa bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab, manakala bulan yang paling utama adalah Muharam.”

Berdasarkan hujah tersebut, Dr Mohd Hasrul membantu memberi kesimpulan mudah dengan berkata, umat Islam dibenarkan berpuasa penuh pada semua bulan-bulan haram tersebut menurut pandangan majoriti ulama.

“Sebahagian ulama meletakkan syarat tertentu untuk menghilangkan kemakruhannya untuk membezakan dengan bulan Ramadan,” ujarnya.

Segera ganti puasa sebelum menjelang Ramadan

Rejab dianggap sebagai bulan madrasah atau bulan latihan kepada umat Islam sebelum masuknya Ramadan.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, disebabkan itulah bulan Rejab dikenali sebagai kunci kebaikan dan rahmat untuk bulan-bulan Islam yang lain.

IMAM MUDA ARAN

Bahkan, ujar beliau, ada ulama mengumpamakan Rejab ibarat kita menanam pokok, Syaaban pula ibarat menyiram tanaman dan meletakkan baja. Sementelah, Ramadan pula bulan untuk kita menuai hasilnya.

“Selain itu, bulan Rejab juga diumpamakan seperti tiupan angin, Syaaban pula sebagai kepulan awan yang membawa hujan, manakala bulan Ramadan, turunlah hujan. Hujan itu satu rahmat.

“Masakan tidak, sebelum kita memasuki bulan Ramadan, sudah tentulah kita mesti ada persediaan sejak awal lagi. Rejab merupakan bulan yang sesuai untuk kita melakukan persiapan menuju ke bulan paling penting, Ramadan al-Mubarak,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Imam Muda Aran turut mengingatkan agar umat Islam yang masih belum melunaskan puasa ganti pada Ramadan tahun lalu agar segera berbuat demikian.

“Ingatlah, apabila kita memasuki bulan Rejab, ia sebenarnya tanda peringatan kita kepada hutang-hutang tersebut. Penting untuk kita selesaikan hutang puasa itu. Ambillah peluang untuk melangsaikannya lebih-lebih lagi dalam bulan haram itu. Jika ingin berniat puasa ganti digabungkan dengan puasa sunat, tiada masalah untuk dilakukan, pahala puasa sunat tetap juga akan diraih,” katanya.

Meskipun tiada amalan-amalan khusus yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada bulan Rejab, namun pendakwah itu memberitahu, para alim ulama melazimkan beberapa amal soleh pada bulan haram berkenaan.

“Ada alim ulama yang melakukan solat sunat mutlak 10 rakaat pada malam 1 Rejab. Tidak kurang juga mereka yang mengamalkan sayyidul istighfar. Memang ada dinyatakan secara jelas dalam hadis sahih bahawa sesiapa yang melazimkannya pada waktu Subuh dan petang dengan penuh keyakinan kepada ALLAH, golongan itu akan dimasukkan ke dalam syurga andai ditakdirkan meninggal dunia,” katanya.

Seperkara, jangan lupa amalkan doa Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya’ban wa Ballighna Ramadhan yang bermaksud ‘Ya ALLAH, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadan.’

“Ia ialah doa yang baik untuk diamalkan. Mudah-mudahan sempat untuk kita masuk ke bulan Ramadan,” ujarnya.

ANEKDOT

Bulan Rejab PERISTIWA penting dalam bulan Rejab

– Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan.

– Terdapat beberapa kisah istimewa yang berlaku dalam bulan Rejab yang boleh diambil manfaat oleh umat Islam:

1. Peristiwa Israk dan Mikraj.

Dalam peristiwa itulah yang menyaksikan umat Islam difardukan solat lima waktu.

2. Penghijrahan pertama umat Islam ke Habsyah.

Ia bertujuan untuk menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu. Mereka ditekan dan diancam keselamatan ketika di Makkah.

3. Pembebasan Baitul Maqdis.

Baitul Maqdis mula dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Namun, ia telah ditawan oleh musuh, sebelum Sultan Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah.

4. Kelahiran Imam al-Syafie.

Pengasas Mazhab Syafie itu dilahirkan pada bulan Rejab 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin. Beliau merupakan mujaddid abad ke-2 menurut Imam al-Sayuti.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang dinyatakan hasan statusnya oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya ALLAH akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka).” (Riwayat Abu Daud, al-Hakim, at-Tabari dan al-Baihaqi)

Sumber: Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari

Foto: Freepik

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis
Iklan