MELAYARI alam perkahwinan memang indah. Apatah lagi jika dapat disatukan bersama insan yang dicintai.

Ya, momen-momen bahagia itu pasti akan dikenang sepanjang hayat. Apabila seseorang itu sudah berkahwin, maka tanggungjawab masing-masing bertambah berat.

Segala perihal urusan rumah tangga perlu digerakkan bersama-sama. Ini kerana kita sendiri yang mencorakkan bahtera perkahwinan yang diimpikan.

Sesekali ‘tergeliat’ itu lumrah dalam melayari hidup bersama. Maklum sahajalah, suami dan isteri datang dalam keluarga yang berbeza dan dididik dengan cara yang berlainan.

Begitupun kedua-duanya haruslah bertolak ansur dan sentiasa bersama-sama mengharungi apa jua rintangan yang mendatang. Paling penting, maruah suami dan isteri perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin.

Lebih-lebih lagi bagi seorang isteri yang berkerjaya dan banyak menghabiskan masa di luar rumah.

Ketahuilah, soal maruah itu bukan sekadar menjaja cerita keburukan suami kepada orang lain. Hakikatnya, konteks maruah itu lebih besar. Ramai yang mungkin tidak sedar tentang perkara itu.

Pendakwah Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, sebenarnya, terdapat lima perbuatan isteri yang boleh menjatuhkan maruah suami.

USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ

Perbuatan itu termasuklah:

1. Menceritakan keburukan suami kepada orang lain.

Bukan setakat maruah suami jatuh, tetapi berdosa hukumnya apabila seorang isteri berbuat demikian. Ingatlah, seseorang wanita itu tidak boleh berkongsi atau sengaja bercerita perihal suaminya kepada rakan-rakan sepejabat mahupun adik beradiknya sendiri.

Andai kata, ia diceritakan bagi menyelesaikan masalah tidak mengapa. Namun, ingatlah batasan-batasan yang dibenarkan oleh syarak.

2. Tidak menyokong suami.

Segelintir isteri enggan menyokong suami dalam setiap tindak-tanduk mereka. Kadangkala membangkang lagi adalah. Ia sebenarnya satu sikap yang boleh mencalarkan maruah suami tanpa disedari lebih-lebih lagi sewaktu suami benar-benar memerlukan sokongan isteri.

Iklan
Maruah suami
PELIHARALAH akhlak apabila berkerja atau berada di luar rumah dengan sebaiknya.

3. Penampilan diri.

Tidak salah untuk seorang isteri berhias, tetapi usahlah terlalu melaram berlebih-lebihan terutama ketika keluar rumah.

Begitu juga penampilan yang terlalu selekeh ketika berjalan bersama suami. Ia secara tidak langsung menjatuhkan maruah suami.

(Artikel berkaitan: Turban, tudung pendek nampak dada berdosa. Tidak ikut syariat Islam)

4. Akhlak.

Berbicara tentang akhlak, ia mempunyai perkaitan dengan pergaulan isteri di luar rumah. Peliharalah akhlak dengan sebaiknya apabila keluar rumah kerana ia cerminan keperibadian diri dan suami.

Iklan

Ingatlah batasan-batasan yang perlu dijaga sebagai isteri orang.

(Artikel berkaitan: 11 perkara ini begitu disukai oleh ALLAH SWT, jom sama-sama kita amalkan)

Maruah suami
TANGGUNGJAWAB menguruskan rumah tangga perlu dititik beratkan oleh suami dan isteri kerana ia antara salah satu kunci kebahagiaan.

5. Pengurusan rumah.

Adakalanya rumah tidak diuruskan dalam keadaan baik lantaran kesibukan membuat kerja-kerja rumah atau menguruskan perihal anak.

Andai kata, isteri sudah dimaklumkan tentang kehadiran tetamu di rumah, kemaslah kediaman berkenaan dengan baik. Bukan apa, pengurusan rumah yang tidak baik akan menjatuhkan maruah suami juga.

Demikian lima perbuatan yang nampak remeh, tetapi boleh menjatuhkan maruah suami.

Ujar Ustaz Muhammad Fawwaz, walaupun semua perkara itu nampak simple, tetapi implikasinya begitu besar kepada suami. Malah kepada keluarga itu sendiri.

“Beritahulah isteri, anak perempuan mahupun adik beradik kita tentang perkara ini demi kebaikan bersama,” nasihatnya.

Masih belum terlambat untuk kita berubah andai diri pernah melakukan kesilapan-kesilapan berkenaan tanpa disedari.

Benar, tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Ayuh kita perbaiki diri bersama-sama dan membentuk keluarga yang sakinah dan mawaddah.

Sumber: Instagram jom_dakwah, Facebook Ustaz Wadi Anuar Fans & Facebook Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan

Foto: Facebook Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan & Freepik