11 perkara ini begitu disukai oleh ALLAH SWT, jom sama-sama kita amalkan

Perkara disukai ALLAH
November 11, 2020
Oleh Nurulfatiha

SEBAGAI seorang Muslim, semua sedia maklum dengan ibadah fardu dan wajib yang disyariatkan kepada kita. Umpamanya solat fardu lima waktu sehari semalam, puasa, zakat dan lain-lain.

Ada sebab kenapa ALLAH SWT memerintahkan umat Islam melakukan semua ibadah berkenaan. Terselit banyak fadilat dan manfaat di sebalik ibadah tersebut.

Misalnya, solat diketahui sebagai tiang agama. Bayangkan jika tiada solat, akan goyahlah hubungan manusia dengan Pencipta-NYA. Ia ibarat sama seperti rumah tanpa tiangnya.

Begitu juga dengan ibadah puasa. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga melatih diri kita bersikap sabar. Sifat ini begitu penting dalam setiap inci kehidupan kita.

Selain ibadah yang wajib, kita juga ada pelbagai ibadah sunat yang boleh dilakukan. Sedikit sebanyak, ibadah-ibadah sunat itulah yang akan membantu memberatkan timbangan amal kita di akhirat kelak.

Antara banyak ibadah yang dilakukan, ketahuilah ada beberapa perkara yang sangat disukai oleh ALLAH SWT. Ia sepertimana yang disebutkan dalam beberapa buah hadis.

Antara 11 perkara yang disukai oleh ALLAH SWT adalah:

1. Solat pada awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan jihad.

Perkara disukai ALLAH

 

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab; “Solat pada waktunya.” ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab; “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab; “Jihad di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari)

2. Beriman kepada ALLAH, menghubungkan silaturahim, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai oleh ALLAH adalah beriman kepada ALLAH, menghubungkan silaturahim, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” ( Riwayat Abu Ya’la, dihasankan oleh al-Albaniy)

3. Jadi manusia yang bermanfaat.

Sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh ALLAH adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin, atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya…” (Riwayat al-Tabarani)

4. Istiqamah melakukan amal soleh walaupun sedikit.

Perkara disukai ALLAH

Iklan

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai oleh ALLAH adalah berterusan walaupun sedikit.” ( Muttafaq alaih)

5. Berzikir mengingati ALLAH SWT.

Daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh Tuhanmu, bahkan lebih baik daripada menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang?

Jawab mereka: "Mahu, wahai Rasulullah."

Sabda baginda SAW: "Berzikirlah kepada ALLAH sebanyak-banyaknya." (Riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

(Artikel berkaitan: Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih)

6. Benar dalam percakapan.

Sabda Rasulullah SAW: “Ucapan yang paling disukai ialah yang paling benar.” (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

7. Mengucapkan subhanallahi wa bihamdih.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ucapan yang paling dicintai oleh ALLAH adalah ‘Subhanallahi wa bihamdih’ (Maha suci ALLAH dan dengan memuji kepada-NYA).” (Riwayat Muslim)

8. Ucapan Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaha illallah dan Allahu akbar.

Perkara disukai ALLAH

Rasulullah SAW bersabda: “Ucapan yang paling dicintai ALLAH ada empat; Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaha illallah dan Allahu akbar. Tidak mengapa perkataan yang mana satu mana kamu mulakan.” (Riwayat Muslim)

9. Nama Abdullah dan Abdul Rahman.

Rasulullah SAW bersabda: “Nama yang paling disukai oleh ALLAH ialah Abdullah dan Abdul Rahman.” (Riwayat Muslim)

10. Masjid.

Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang paling disukai oleh ALLAH ialah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci ialah pasar-pasarnya.”(Riwayat Muslim)

11. Berakhlak mulia.

Baginda SAW bersabda: “Hamba yang paling dicintai oleh ALLAH adalah yang paling baik akhlak mereka.” (Riwayat al-Tabarani)

Demikian antara amalan yang disukai oleh ALLAH SWT yang boleh kita implementasikan dalam kehidupan kita.

Apa-apapun lakukan semua perkara berkenaan ikhlas kerana ALLAH SWT. Ini kerana segala amalan yang dilakukan bergantung kepada niat kita.

Mudah-mudahan perkara yang dilakukan ikhlas kerana-NYA akan diterima oleh-NYA.

Sumber: Facebook Indahnya Islam & Republika.co.id

Foto: 123rf & Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis