WALAUPUN semua aktiviti di masjid dan surau termasuk Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan sejak semalam, namun laungan azan tetap penting untuk berkumandang.

Selain menzahirkan syiar Islam, panggilan ILAHI itu bagi menandakan sudah masuknya waktu solat.

Menerusi IGTV zayan.my pada hari ini, dikongsikan cadangan cara azan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan iaitu sehingga 31 Mac ini.

Dalam video berdurasi 4.19 saat itu, seorang muazin menunjukkan cara mengalunkan azan tersebut dengan lafaz hayya ‘alassolah diperlahankan.

Turut kelihatan, Zulkifli yang mendengar azan tersebut dikumandangkan.

Azan
ZULKIFLI (kanan) turut kelihatan mendengar ketika azan dilaungkan oleh muazin dalam video yang dimuat naik di IGTV zayan.com pada hari ini.

Berikut adalah cadangan alunan azan di masjid atau surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan:

1. Azan seperti biasa kerana ia syiar agama.

Iklan

2. Kalimah hayya ‘alassolah (marilah bersembahyang) diperlahankan.

3. Setelah azan, muazin atau bilal hendaklah berpesan; “Solatlah di rumah atau tempat kamu” dalam bahasa Melayu kerana ia lebih difahami oleh umat Islam di Malaysia. Ia bagi meraikan beberapa hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad. Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/208) yang menghukumkan sunat bagi muazin untuk menyebut sedemikian selepas azan.

Iklan

Bagaimanapun, cadangan Zulkifli itu hanyalah untuk dilaksanakan di rumah ALLAH di Wilayah Persekutuan sahaja.

Bagi negeri-negeri lain, pelaksanaan itu diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama masing-masing.