Kenali Al-Kindi, ilmuan Islam yang menguasai ilmu dalam banyak bidang

Al-Kindi
September 11, 2020
Oleh Nurulfatiha

NAMA Al-Kindi menjadi bualan ramai sekitar abad kesembilan. Ilmuwan tersohor itu diiktiraf sebagai ahli falsafah Arab dan Islam pertama.

Bukan itu sahaja, pada masa sama, beliau juga mahir dalam bidang fizik, psikologi, etika, geometri, optik, metafizik, kimia, tatabahasa, sajak, ilmu kedoktoran, seni, astronomi, kaedah logik dan beberapa cabang ilmu lagi. Justeru, selayaknya beliau diberi jolokan bapa pelopor pelbagai ilmu pengetahuan.

Iklan

Menyoroti salasilah peribadinya, Al-Kindi atau nama sebenarnya, Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi dilahirkan pada 801 Masihi di Kufa, Iraq. Di Barat, beliau dikenali sebagai Al-Kindus.

Al-Kindi berasal daripada keluarga terhormat. Bapanya Gabenor Kufa, begitu juga dengan datuknya. Mereka sekeluarga merupakan keturunan suku kaum al-Kinda yang telah berpindah dari Yemen. Puak berkenaan begitu masyhur dengan tindakan mereka menyatukan sebilangan suku-suku kaum dan berkuasa pada abad kelima dan keenam.

Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan masa kecil Al-Kindi. Cuma dari segi pendidikan, beliau bermula di Kufa dan Basrah dan akhirnya di Baghdad, Iraq.

Iklan

Beliau terkenal selepas dilantik berkhidmat di Baitul Hikmah di Baghdad oleh Khalifah al-Ma‘mun. Baitul Hikmah merupakan pusat penterjemahan teks falsafah dan saintifik orang Yunani.

Atas dasar kepercayaan dan kredibilitinya, empat pemerintah yang bersilih ganti iaitu Al-Ma’mun (813-833 Masihi), Al-Mu’tasim (833-842 Masihi), Al-Wasiq (842-847 Masihi) dan Mutawakil (847-861 Masihi) mengekalkan jawatan Al-Kindi.

Selain itu, ilmu perubatan yang dikuasainya membuatkan beliau diangkat menjadi guru dan tabib kerajaan.

Ketika pemerintahan Al-Mu’tasim, beliau dilantik sebagai guru kepada putera Al-Mu‘tasim.

Sarjana dari Itali pada zaman Renaissance, Geralomo Cardano (1501-1575) menyatakan bahawa Al-Kindi merupakan 12 pemikir terhebat pada zaman pertengahan. Di mata sejarawan Ibn Al-Nadim pula, Al-Kindi disifatkan sebagai orang terbaik pada zamannya.

Al-Kindi
AL-KINDI menguasai pelbagai cabang ilmu antaranya falsafah, fizik, matematik dan banyak lagi hingga mendapat jolokan bapa pelopor pelbagai ilmu pengetahuan.

Karya

Daripada pelbagai ilmu yang dimilikinya, ada tiga warisan intelektual Al-Kindi yang begitu popular dan sering kali menjadi rujukan ramai di dunia.

Pertama adalah bidang falsafah. Seperti yang disebut, Al-Kindi diiktiraf sebagai seorang ahli falsafah Arab dan ahli falsafah Muslim pertama. Beliau menyampaikan falsafah Yunani kepada umat Islam setelah mengislamkan pemikiran asing ini.

Beliau juga berjasa menterjemahkan banyak teks penting sejak penubuhan Baitul Hikmah. Malah, sebilangan besar perbendaharaan kata falsafah Arab standard berasal daripada al-Kindi.

Kedua, berkaitan dengan ilmu psikologi. Beliaulah yang membahagikan kekuatan mental menjadi tiga iaitu selera makan, tidak terganggu dan kognitif atau rasional.

Dalam bidang matematik pula, Al-Kindi memainkan peranan penting memperkenalkan angka India kepada dunia Muslim dan Kristian.

Beliau merupakan pelopor dalam kriptanalisis (ilmu berkaitan memecahkan kod).

Banyak teori matematik yang dihasilkan beliau termasuk aritmetik, geometri, angka India, pendaraban dengan nombor, nombor relatif dan lain-lain.

Beliau juga menulis empat jilid buku mengenai penggunaan nombor India yang bertajuk On the Use of the Indian Numerals (Ketab fi Isti‘mal al-‘Adad al-Hindi).

Karya itu memberi sumbangan besar kepada penyebaran sistem penomboran India di Asia Barat dan Barat.

Sepanjang hayatnya, Al-Kindi telah melahirkan kira-kira 260 karya hebat. Pun begitu, ada beberapa risalah pendek yang dihasilkannya tidak ditemui.

Ilmuwan Islam itu telah pun meninggalkan dunia buat selama-lama, namun warisan ilmunya tetap gah untuk dunia Islam khususnya.

PROFIL

Nama penuh: Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi

Gelaran: Al-Kindi dan Al-Kindus

Asal: Kufa, Iraq

Tahun kelahiran: 801 Masihi

Tahun kematian: 873 Masihi

Kepakaran: Falsafah, kimia, fizik, tatabahasa, sajak, ilmu kedoktoran, seni dan banyak lagi.

Karya agung:

Fi al-Falsafa al-Ula (Falsafah Pertama), Fi Wahdaniya Allah wa Tunahiy Jirm al-Alam (Kesatuan Tuhan dan Terbatasnya Dunia) dan Fi Kammiya Kutub Aristutalis wa Ma Yahtaj Ilahi fi Tahsil al-Falsafa (Kuantiti Buku Aristotles Yang Diperlukan Untuk Memperoleh Falsafah).

About Nurulfatiha

Biodata Penulis
Iklan