SEMUA orang menyimpan impian untuk masuk ke dalam syurga walau sejahat mana pun seorang manusia itu.

Masakan tidak, syurga itu digambarkan sangat indah dalam al-Quran dan as-Sunnah. Meskipun tiada siapa yang tahu bagaimanakah rupa syurga berkenaan kecuali ALLAH SWT, tetapi hati kita seakan tidak berganjak mengimpikan untuk masuk ke dalamnya.

Ya, itu adalah yang sebaik-baik impian. Apa sekalipun, segalanya akan ditentukan kelak selepas kita meninggalkan dunia ini dan dibangkitkan di mahsyar.

Walaupun syurga termasuk dalam perkara ghaib, namun ALLAH SWT telah memberikan gambaran yang jelas betapa syurga itu indah dan penuh kenikmatan kepada mereka yang bakal menghuninya.

Ketahuilah bahawa ada lapan pintu syurga sepertimana yang dikongsikan pendakwah, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Dalam syurga itu ada lapan pintu.” (Riwayat al-Bukhari)

Ia merangkumi:

1. Pintu solat

Ia disediakan bagi mereka yang sentiasa mengerjakan ibadah solat termasuklah solat fardu dan solat- solat sunat.

2. Pintu jihad

Disediakan khas kepada mereka yang berjihad pada jalan ALLAH bagi menegakkan kalimah ALLAH.

3. Pintu ar-Rayyan

Inilah pintu untuk mereka yang suka berpuasa sama ada puasa wajib dan juga puasa-puasa sunat.

4. Pintu sedekah

Pintu ini disediakan untuk orang yang suka bersedekah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira waktu.

5. Pintu Aiman (pintu paling kanan)

Iklan

Ia disediakan kepada umat Islam yang tidak dihisab amalannya. Mereka ini yang disebutkan ALLAH sebagai golongan kanan yang mana golongan kanan kebiasaannya berkat. Jika kita lihat dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, baginda juga menyukai belah kanan dan akan memulakan sesuatu dengan belah kanan dahulu.

6. Pintu menahan marah dan memaafkan manusia

Mengawal amarah bukan sekadar sifat terpuji. Bahkan, pintu syurga ini disediakan khas kepada mereka yang dapat mengawal kemarahan, emosi dan tidak mengikut hawa nafsu.

Pintu ini juga disediakan kepada mereka yang dapat memaafkan orang lain dengan penuh keikhlasan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sungguh ALLAH memiliki satu pintu di dalam syurga yang tidak ada orang yang memasukinya kecuali orang yang memaafkan suatu kezaliman.” (Riwayat Ahmad)

7. Pintu orang menyebut La haula wala quwwata illa billah

Pintu syurga ini disediakan kepada orang yang selalu mengerjakan ibadah taubat dan sentiasa beristighfar kepada ALLAH.

8. Pintu hormat ibu bapa

Selama ini kita dengar syurga seorang anak ialah ibu bapa mereka. Ternyata ada benarnya kata-kata itu. Bahkan, ALLAH SWT menyediakan pintu syurga khas kepada mereka yang sentiasa mengasihani, menghormati dan membantu ibu bapa dalam apa jua keadaan mereka.

Dalam banyak-banyak pintu syurga ini, kita tergolong dalam kumpulan yang mana? Jawapannya semua ada dalam diri masing-masing.

Iklan

Apa pun, segala gambaran tentang syurga yang disebutkan dalam nas itu tak lain tak bukan, hanya untuk memotivasikan manusia supaya terus mencari keredaan ALLAH SWT.

Semoga kita semua beroleh syurga ALLAH yang sangat didambakan.

(Sumber: Facebook Nur Mohammad Hadi)

Foto: Sumber internet