Maafkan pembunuh arwah isteri, begitu mulianya hati lelaki ini

March 20, 2020
Nurulfatiha

TANGGAL 15 Mac tahun lalu, berlaku tragedi berdarah di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand. Sebanyak 51 nyawa terkorban dalam kejadian berkenaan.

Walaupun sudah setahun kejadian itu berlalu, namun ia tidak akan dilupakan dan akan kekal tersimpan dalam lipatan sejarah bagi umat Islam, malah seluruh dunia.

Pastinya tragedi hitam itu akan terpahat dalam memori mereka yang terlibat dan keluarga mangsa yang terkorban sampai bila-bila. 

Ya, itulah yang dirasakan Farid Ahmad, suami yang kematian isterinya, Allahyarhamah Husna Ahmed dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor, Christchurch. 

Meskipun perit menerima ujian itu, pendakwah berusia 58 tahun dari Bangladesh yang juga orang kurang upaya memaafkan pembunuh tersebut.

“ALLAH SWT memberi tiga pilihan untuk saya berhadapan dengan penjenayah tersebut iaitu qisas, diyad dan memaafkan. Saya memilih kemaafan demi keharmonian, kedamaian dan kefahaman antara orang Islam serta bukan Islam. 

“Terlalu banyak berlaku salah faham kepada Muslim di dunia pada hari ini. Ia menjadi faktor utama yang menyebabkan orang ramai takut dan benci kepada kita,” kata beliau kepada Sinar Islam ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini. 

Bagi Farid, memberi kemaafan menunjukkan keberanian seseorang dan bukannya pengecut. Untuk menjadi pemaaf, ia memerlukan banyak kualiti dalam diri dan kebijaksanaan. Apabila berpandangan luas, kemaafan mampu memberi faedah lebih besar iaitu kemanusiaan.

Maafkan pembunuh isteri
FARID

“Apa yang penting bagi saya adalah mendapatkan ganjaran paling besar iaitu keampunan ALLAH dengan memberikan kemaafan kepada makhluk-NYA. Saya perlu memberi manifestasi Islam dan Muslim yang sebenar kepada dunia.

“ALLAH memberikan saya cintakan keamanan dan menyebarluaskan kepentingan memberi kedamaian. Oleh itu, saya memilih untuk tidak marah dan benci. ALLAH memberikan saya ruang untuk memaafkan melalui sifat sabar dan kasih sayang kepada manusia serta kawal kemarahan demi keredaan ALLAH,” katanya.

Farid juga dikenali sebagai Ikon Kemaafan akan berkongsi pengalamannya pada program World Quran Convention (WQC) 1441H yang akan membawa Misi Ar-Rahman pada hujung tahun ini. 

WQC anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Islamic Tourism Centre dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menjadi platform awal dalam menggerakkan kempen berkenaan bagi mengembalikan keharmonian global dengan mengeluarkan nilai diri berpandukan al-Quran. 

Surah ar-Rahman turut menjadi surah pilihan bagi World #QuranHour pada 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei ini dan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

About Nurulfatiha

Biodata Penulis