‘Ngaji On The Go’ peluang belajar ngaji dari rumah   

Ngaji
April 24, 2020
Oleh Nurulfatiha

RAMADAN begitu sinonim dengan bulan keberkatan. Tidak lengkap rasanya jika tidak menghidupkan bulan itu dengan ibadah dan amalan-amalan sunat yang boleh meningkatkan pahala puasa kita.

Meskipun berada dalam fasa norma baharu menempuh bulan Ramadan kali ini, namun ia sepatutnya tidak ‘merencatkan’ kita untuk memeriahkan puasa pada tahun ini.


Dalam tak sedar, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, sebenarnya ramai dalam kalangan kita melazimi aktiviti kerohanian di rumah dengan belajar al-Quran, tadarus dan ibadah lain.

Sempena Ramadan ini, TV Alhijrah menyediakan alternatif dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran secara interaktif. Ia dilakukan secara atas talian bersesuaian dengan keadaan semasa.

Ngaji On The Go
SAKSIKAN program Ngaji On The Go pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula esok di TV Alhijrah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris, program itu dikenali sebagai kelas Ngaji On The Go.

Iklan

“Walaupun masjid dan surau ditutup, hati kami tetap terbuka untuk membantu masyarakat menimba ilmu secara berterusan tanpa henti lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ini.

“Media digital adalah pilihan tepat sebagai medium penghubung untuk mengaji secara berguru,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Iklan

Ujar Namanzee yang juga pengasas program berkenaan, kelas Ngaji On The Go akan menampilkan enam selebiri terkenal. Antaranya Datuk Aaron Aziz, Datuk Fizz Fairuz, Izzue Islam dan selebriti era 80-an seperti Datuk Shah Rezza, Ebby Saiful serta Razis Ismail menyertai program tersebut.

Ngaji On The Go
BARISAN artis yang menyertai program Ngaji On The Go.

Jelas beliau, program tersebut dikendalikan oleh Ustaz Mohd Fahmi Asraf selaku tenaga pengajar dan dihoskan oleh Hanan Abdul Rahman.

“Kelas pertama diadakan pada 18 April lalu menggunakan Apps Zoom bagi membolehkan para pelajar berinteraksi dengan guru al-Quran seperti biasa, hanya platform sahaja yang berbeza.

“Rata-rata penonton yang meninggalkan komen dalam Facebook TV Alhijrah menyatakan rasa syukur mereka dengan adanya program seperti ini. Atas sambutan yang menggalakkan, TV Alhijrah menjemput selebriti Malaysia berkenaan untuk menyertai program itu,” katanya.

Ayuh sama-sama ikuti kelas Ngaji On The Go yang akan mula menemui penonton esok (25 April) pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 6 petang di saluran 114 dan Facebook Live TV Alhijrah.

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis