Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

JUAL beli adalah salah satu bentuk urus niaga yang diharuskan dalam Islam. ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “Dan ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Jual beli merupakan medium untuk manusia saling memenuhi keperluan masing-masing. Pihak penjual ada barangan yang ingin dijual dan melaluinya, mereka boleh mendapat keuntungan secara halal.

Pembeli pula memerlukan barangan keperluan dan mereka boleh memperolehnya dengan cara yang halal juga.

Bagi menjadikan urusan jual beli yang dilakukan itu diberkati ALLAH SWT, terdapat beberapa adab dan tata cara yang sangat penting untuk diambil berat. Berikut adalah perinciannya:

1. Penjual dan pembeli hendaklah bersifat amanah.

Penjual dan pembeli perlu amanah semasa melakukan urusniaga dengan bersikap jujur dan tidak menipu dalam perniagaan.

Antara contoh amanah seorang peniaga adalah mereka tidak mencampurkan buah-buahan yang lama dengan yang baharu, kemudian menjualnya pada harga yang sama nilai.

jual beli

Dalam situasi lain pula adalah tidak mencampurkan makanan yang sudah dimasak pada hari sebelumnya dengan makanan yang dimasak pada hari ini.

Sementara pembeli haruslah bersikap jujur untuk memulangkan semula wang yang penjual tersilap beri semasa memulangkan baki kepadanya.

2.  Penjual dan pembeli hendaklah berlaku ihsan.

Maksud ihsan dalam berurus niaga ialah penjual tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, mereka mengambil kira semua aspek kemasyarakatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT terutama pada musim wabak kini yang menyaksikan kebanyakan orang mengalami masalah kewangan.

Di pihak pembeli pula, golongan itu tidak menawarkan harga sehingga membawa kerugian kepada penjual.

3. Penjual dan pembeli hendaklah saling bekerjasama.

Kedua-duanya saling bekerjasama apabila timbul sebarang perkara yang tidak diingini seperti wujud kecacatan pada barang jualan setelah sempurna akad jual beli.

Jika ia (kecacatan) tidak menjejaskan manfaat yang ingin diperoleh daripada barang tersebut seperti buku yang terkoyak sedikit tanpa melibatkan tulisan dalam buku berkenaan, pembeli digalakkan bertolak ansur untuk menerima kekurangan tersebut tersebut.

jual beli

Namun, jika ketidaksempurnaan tersebut menjejaskan manfaat buku berkenaan, penjual hendaklah menggantikannya dengan buku baharu.

4. Penjual hendaklah tekun dalam urus niaganya.

Kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara adalah salah satu ajaran dalam Islam. Oleh itu, penjual hendaklah bersungguh-sungguh dan tekun dalam menjalankan perniagaan agar terus berkembang maju.

5. Penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang diharamkan dalam Islam dan undang-undang negara.

Maksudnya ialah penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang dilarang, sama ada ditegah oleh agama Islam atau undang-undang negara ketika berurus niaga.

Baca juga Ini beza antara pertukaran mata wang dengan perdagangan pertukaran mata wang. Hati-hatilah, jangan terjebak dengan jual beli bertentangan syarak

Sebagai contoh, penjual tidak menipu dalam timbangan, menjauhi riba, tidak menyorok barang ketika masyarakat sangat memerlukannya dengan tujuan menaikkan harga. Mereka juga tidak menjual barangan yang diharamkan seperti dadah dan arak.

Daripada pihak pembeli pula, mereka tidak memberi kerjasama dalam perkara haram seperti menjauhi amalan riba dan tidak membeli barangan haram.

6. Penjual dan pembeli saling melindungi.

Setiap penjual dan pembeli mempunyai hak masing-masing. Oleh yang demikian, kedua-duanya hendaklah saling melindungi hak masing-masing.

Sebagai contoh, penjual tidak mendesak dan mempengaruhi pembeli dengan maklumat-maklumat yang tidak benar atau kurang pasti, tetapi memberi peluang yang secukupnya kepada pembeli untuk membuat pilihan ketika hendak membeli sesuatu barangan.

jual beli

Pembeli pula tidak mendesak penjual menjual barang pada harga yang terlalu murah sehingga merugikan pihak penjual.

Akhir kalam, adab dan tata cara yang saya nyatakan sangat penting untuk diamalkan bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat, dapat mengelak penindasan dan penipuan.

Paling penting adalah mendapat keberkatan daripada ALLAH YANG MAHA ESA dan keuntungan yang diperoleh merupakan sesuatu yang halal lagi baik (halalan toyyiban). Wallahu a‘lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan dan Syariah.

Foto: Canva