KEHILANGAN seorang budak perempuan berusia enam tahun di Gunung Sahari, Sawah Besar, Jakarta, Indonesia sejak lebih sebulan lalu menggemparkan semua pihak.
Mana tidaknya, Malika Anastasya diculik oleh seorang pengutip sampah selepas diumpan mahu dibelikan ayam goreng.
Lapor Tribun News dan suara.com, suspek, Iwan Sumarno berusia 42 tahun itu dikenali dengan pelbagai nama, antaranya Jacky, Herman atau Yudi.
Pada hari kejadian, lelaki terbabit dikatakan datang ke kedai kopi milik keluarga mangsa untuk membeli makanan.
Menurut ayah mangsa yang dikenali dengan nama Tunggal, sudah menjadi rutin biasa apabila Iwan yang juga pelanggannya datang untuk makan ke kedainya hampir setiap hari.
"Pada hari tersebut hanya ada anak sulung dan Malika sahaja di warung. Lelaki itu pada awalnya memesan kopi dan kemudiannya bertanya apa makanan dan lauk yang dijual.
"Disebabkan ketika itu kami tiada menjual makanan, dia meminta anak sulung untuk memasak nasi dan kemudian, dia kata mahu keluar sebentar mahu mencari ayam goreng di kawasan sekitar untuk dimakan bersama," katanya.
Tambahnya lagi, ketika itu Malika yang merupakan anak bongsu teruja apabila suspek dikatakan mahu membelanja mereka ayam goreng.
"Dia pun ikut sekali apabila diajak untuk membeli ayam goreng bersama. Bila anak sulung cerita semua itu, kami pada waktu itu tidak menyedari apa-apa yang pelik sebab sudah kenal.
"Bila Malika tak balik bila hari sudah larut petang, kami jadi risau. Kami terus membuat laporan polis kerana bimbang benda tak baik terjadi kepada anak," katanya.
Baca juga Selepas 50 tahun, bayi perempuan yang diculik pengasuh kembali ke pangkuan keluarga
Hasil siasatan polis, suspek dilihat melalui rakaman televisyen litar tertutup membawa si kecil itu ke kedai ayam goreng.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba penculik tersebut membawa mangsa meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki motosikal.
Berdasarkan siasatan polis, suspek merupakan bekas banduan yang pernah terlibat dalam pelbagai kes termasuk kecurian motosikal.
Baca juga Anak cuba diculik, Lufya cedera wajah, badan dipukul, titip pesan buat wanita
Lagi mengejutkan, Iwan juga pernah ditangkap gara-gara kes pencabulan terhadap kanak-kanak pada tahun 2014 dan dihukum penjara selama tujuh tahun.
DITEMUI SEMULA
Terdahulu, pihak polis telah menyebarkan foto penculik untuk mendapatkan bantuan masyarakat setempat untuk membantu siasatan.
Hasil kerja keras pihak polis yang melaksanakan misi mencari berjaya menemui mangsa yang ditinggalkan di dalam troli sampah di Ciledug, Kota Tangerang.
Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditangkap pihak polis ketika sedang leka mengutip sisa sampah di kawasan berhampiran.
Selepas siasatan dibuat, suspek sebenarnya sudah merancang untuk menculik kanak-kanak tersebut selepas beberapa kali mengunjungi warung tersebut.
Malah, sebelum kejadian penculikan, Iwan sempat menjual troli sampah kepada seorang penduduk pada harga RM113 sebagai modal untuk melarikan diri.
Mangsa yang ditemui selamat dan sihat itu kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Pihak polis turut menyediakan khidmat kaunseling dan psikiatri kepada kanak-kanak perempuan tersebut bagi mengelakkan trauma berulang.
Nasib baiklah Malika Anastasya dijumpai dalam keadaan masih hidup.
Tidak boleh bayangkan nasib si kecil itu bila memikirkan suspek memiliki rekod lampau yang menakutkan.
Harap-harap si pelaku menerima hukuman setimpal sebagai pengajaran buat semua.
Kejadian malang itu juga boleh dijadikan iktibar buat semua khususnya ibu bapa supaya jangan terlalu percayakan orang yang baru dikenali.
Baca juga Umpan gula-gula, jajan sebelum menculik. Namun, tindakan berani kanak-kanak ini dikagumi ramai
Kalau boleh, nasihatkan anak-anak supaya lebih sensitif dengan keadaan sekeliling dan tidak mudah terpengaruh dengan ajakan orang asing.
Perkongsian situdungcomel.com boleh dipertimbangkan untuk mendidik anak-anak jika berdepan sebarang kemungkinan termasuk diculik:
1) Ajar anak menjerit sekiranya diculik atau dibawa lari oleh orang tidak dikenali.
2) Nasihatkan anak supayac berkumpul di tempat yang menjadi tumpuan ramai jika berseorangan.
3) Cuba elakkan diri daripada bercakap dengan orang tidak dikenali dan bersikap tegas jika dihulurkan hadiah atau makanan.
4) Pastikan anak memakai baju terang sekiranya berjalan di tempat awam dan memakai tag nama dan alamat pada pergelangan tangan.
5) Jangan biarkan anak seorang diri waima sedang bermain di taman permainan awam kerana tersilap langkah, mereka menjadi tumpuan penjenayah.
Semoga tip yang dikongsikan memberi manfaat buat semua pembaca SinarPlus.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi