Wanita Ecuador bangun dari dalam keranda betul-betul mati selepas 7 hari jadi bahan bualan
KITA biasa dengar ungkapan ‘ibarat mati hidup semula’ bagi menggambarkan keadaan terselamat daripada bahaya besar atau merujuk kepada peluang kedua yang diterima.
Namun, situasi itu benar-benar berlaku terhadap seorang wanita warga emas dari Ecuador baru-baru ini!
Bella Montoya, 76, menjadi tular sebelum ini kerana ’kembali bernyawa’ dan mengetuk keranda ketika upacara pengebumiannya.
Wanita tersebut bagaimanapun dilaporkan benar-benar sudah meninggal dunia selepas tujuh hari mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Lapor akhbar The Guardian yang memetik Associated Press baru-baru ini, Montoya pertama kali disahkan meninggal dunia oleh doktor di sebuah hospital di bandar Babahoyo pada 9 Jun lalu.
Beliau yang merupakan seorang pesara jururawat dimasukkan ke hospital selepas mengalami strok dan jantungnya dikatakan terhenti.
Menurut anak lelaki wanita tersebut, Gilberto Barbera, ibunya tidak sedarkan diri ketika dibawa ke unit kecemasan.
Baca juga: Portugal diiktiraf negara terbaik untuk didiami 2023, 12 fakta menarik mengenainya
Dokumen pengenalan diri dan sijil kematian turut diberikan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.
Keluarga Montoya kemudian membawanya ke rumah pengebumian di Babahoyo, barat daya ibu kota Quito.
KETUK KERANDA
Pun demikian, ketika majlis ratapan itu berlangsung, tetamu dikejutkan apabila keranda yang menempatkan wanita itu tiba-tiba mengeluarkan bunyi aneh.
"Ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 orang di situ. Selepas kira-kira lima jam, keranda itu mula mengeluarkan bunyi.
"Sebaik dibuka, ibu saya yang sudah dibaluti kain dilihat mengetuk-ngetuk keranda dan dilihat sukar untuk bernafas," kata Barbera.
Baca juga:Tergamaknya, wanita ragut nyawa blogger seiras demi palsukan kematian, kantoi ujian DNA
Susulan itu, ibunya terus dikejarkan kembali ke hospital sama dan ditempatkan di ICU.
Satu suruhanjaya teknikal telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Ecuador untuk menyiasat kes berkenaan.
Untuk rekod, Montoya bukan manusia pertama yang hidup semula selepas diisytiharkan mati.
BBC News melaporkan seorang wanita berusia 82 tahun didapati telah kembali bernafas di sebuah rumah pengebumian di New York, Amerika Syarikat pada Februari lalu.
Beliau disahkan meninggal dunia tiga jam sebelum itu di sebuah rumah penjagaan orang tua.
Sumber: The Guardian dan BBC News
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!