'Dunia seni takkan bertahan lama.' Jadikan bisnes keluarga jaminan hidup, Tinie target 10 tahun lagi capai semua impian
KEPADA mereka yang meminati filem bergenre seram yang dihasilkan syarikat produksi lokal, wajah Amy Nur Tinie sebenarnya tidak asing lagi.
Bermula dengan watak Sofea dalam filem Jemputan Ke Neraka (2023), kemudian pemilik nama sebenar Amy Nur Tinie Abdul Aziz itu cemerlang dengan watak pontianak dalam Sue-On.
Nampaknya bakat figura tinggi lampai berusia 28 tahun itu lebih sinonim dengan naskhah sedemikian apabila sekali lagi diberi kepercayaan membawakan watak Suri dalam filem Bangkitkan Aku Kembali.
Meski memiliki wajah jelita sehingga meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan ratu cantik, namun rezeki tuan punya badan yang mesra disapa Tinie itu rupa-rupanya lebih menyerlah dengan watak hantu.
Akui Tinie, lambakan tawaran lakonan yang diterima kini lebih kepada filem berunsurkan seram dan thriller termasuklah penggambaran terbaharu berjudul Tangki 1974.
“Dalam industri lakonan, setakat ini saya banyak memegang karakter hantu sama ada untuk versi komedi dan kisah benar. Saya positif dan anggap semua itu sebagai satu pengalaman baharu.
“Mungkin lepas ini jika ada tawaran untuk watak antagonis atau wanita yang disakiti, saya terima dengan hati terbuka,” katanya penuh ceria ketika sesi temu bual secara virtual bersama SinarPlus baru-baru ini.
Perbualan kami bertambah rancak apabila pelantun runut bunyi lagu Ketika Malam itu tanpa berselindung berkongsikan momen menyeramkan yang bikin bulu tengkuk masing-masing merinding.
Mana tidaknya, bukan sekali tetapi banyak kali insiden tidak boleh diterima akal dialami sendiri oleh penyandang gelaran Juara Miss Eco International 2019 itu.
Dengan tenang, personaliti yang cukup peramah itu mengimbau kembali ceritera mistik yang dialaminya sebelum ini.
“Paling saya tak boleh lupa ketika memegang watak Suri, wanita mengandung mati dibunuh dengan kepalanya dipenggal dengan kejam.
“Penampakan susuk tubuh menyerupai saya tampil berpakaian tradisional klasik dengan rambut disanggul cantik. ‘Dia’ sedang menatap saya yang ketika itu sedang terbaring untuk satu babak,” ceritanya penuh suspen.
Ujar pelakon 10 Tips Tipu Bini itu lagi, boleh dikatakan roh tersebut berdampingan dengannya sepanjang tempoh penggambaran filem itu.
“Terdapat satu babak yang mana leher kena penggal. Masa itu acah-acah saja dan memang tak kena langsung, tapi keesokan harinya saya demam dan tak sedap badan.
“Apa yang mengejutkan, terdapat kesan birat di belakang tengkuk. Itu pun ibu yang perasan. Lagi satu, saya dikatakan menangis beria-ria tanpa sebab semasa dua hari terakhir penggambaran,” ujarnya yang tidak serik jika ditawarkan untuk watak seram lagi.
Persepsi negatif
Enggan memanjangkan kisah tersebut, perbualan kami beralih kepada sisi peribadi empunya diri.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu pada asalnya tidak pernah menyimpan impian untuk bergelar anak seni, sebaliknya sejak kecil bercita-cita mahu menjadi seorang pramugari atau peguam.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, bekas pelajar Sekolah Menengah Ulu Kinta, Perak itu menerima dua tawaran yang bukan calang-calang.
Pilihan kemasukan Asasi Undang-Undang dan Diploma Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) di universiti tempatan memang beliau dambakan.
Pun demikian, kita hanya merancang namun ALLAH yang menentukan segala-galanya.
Pada saat sesi temu duga dijalankan, Tinie tidak dapat hadir kerana menjaga ibunya yang menjalani pembedahan batu karang.
Demi insan tersayang, beliau rela melepaskan keinginan yang dipasakkan sejak kecil itu.
Bahkan, tuan punya badan percaya dengan rezeki yang sudah tertulis pada daun takdir. Berkat berbakti pada syurganya, satu persatu kejayaan dikutip.
Lihat sahaja hamparan profil yang disusun cantik, kebolehan pengacara program Tumit Tinggi itu tiada tara tandingan dengan pengiktirafan demi pengiktirafan berprestij.
Paling membanggakan, kejayaan peminat rona hitam dan putih itu yang mewakili Malaysia dalam Pertandingan Miss Eco International 2019 yang berlansung di Kaherah, Mesir.
Membawa pulang gelaran juara, sedikit sebanyak memberi signal bahawa pesona anak Melayu kacukan Arab itu mempunyai aura tersendiri.
“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang ini. Pada masa sama, dapat memenuhi impian ibu untuk melayakkan diri ke peringkat antarabangsa.
“Tanpa sokongan keluarga, semua ini tak akan berjaya. Ia bukan sahaja memerlukan kekuatan mental, malah emosi dan kewangan,” katanya yang menjadikan ibu, Salimi Morah Ali sebagai idolanya.
Tidak menolak persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan peragaan kecantikan sehinggakan anak Melayu jarang diangkat ke peringkat lebih tinggi, namun Tinie mempunyai pendirian tersendiri.
Tegas wanita anggun tersebut, tidak salah untuk menyertai mana-mana pertandingan kecantikan jika misi dan matlamat utama membawa kesedaran dan perkara yang baik.
“Tidak dinafikan ramai yang kecam bila anak Melayu masuk pertandingan ratu cantik sedangkan bukan semuanya perlu berpakaian renang dan seksi melampau.
Baca juga Restu ibu mengiringi, Jasmine Suraya pilih berlakon filem Indonesia sebelum sambung pengajian di LA
“Tiada beza jika dibandingkan dengan peraduan lain seperti ratu kebaya atau dewi remaja, cuma itulah persepsi masyarakat kita yang sukar untuk diubah,” ungkapnya sambil menggenggamkan kedua-dua tangannya.
Justeru, beliau berpegang dengan prinsip bahawa hanya jauhari mengenal manikam.
“Saya tahu siapa diri saya yang sebenar. Jika mahu korek kisah silam termasuk berbaju renang, itu semuanya sudah berlalu. Susah sebenarnya nak puaskan hati semua orang,” tuturnya.
Jodoh keluarga
Semakin lama bersembang, rupa-rupanya si empunya badan seorang yang tidak reti duduk diam. Setiap kali ada masa senggang, beliau banyak menimba ilmu melalui kelas lakonan, pengacaraan dan bisnes.
“Ya! Saya seorang yang kuat bekerja dan pada masa sama, sangat mencintai ilmu. Jika ada peluang dan ruang, saya akan berhabis baik untuk mengikuti mana-mana program pendek yang bersesuaian.
“Mungkin saya sudah dididik daripada kecil oleh ibu yang sangat aktif. Jadi, saya sudah terbiasa dan kalau boleh, nak cari duit banyak-banyak untuk keluarga,” tutur anak bongsu itu penuh semangat.
Kendatipun ligat memenuhi tawaran di layar perak, pencinta buku itu turut berjinak-jinak dengan perniagaan berasaskan produk penjagaan rambut, ANT Beaute’ Keratin Hair Booster.
Tampil dengan fitur khas untuk merawat rambut kering, bercabang dan perlindungan haba, Tinie mahu menonjolkan pilihan item mampu milik dengan kualiti terbaik.
Sudah diperkenalkan sejak Disember lalu, produk jenama tersebut nampaknya berjaya menembusi pasaran TikTok yang dikendalikan bersama kakak tersayang.
Selain itu, beliau juga turut menguruskan salon kecantikan dan produk makanan milik keluarga yang berpangkalan di Ipoh, Perak.
Tatkala ditanya kenapa perlu bekerja keras pada usia masih muda, Tinie seraya berkata:
“Dunia seni selalunya tidak bertahan lama, jadi produk dengan label sendiri dan bisnes keluarga sebagai jaminan pada hari tua.
“Duit hasil titik peluh berlakon jika tidak dijana dengan baik, akan habis begitu sahaja. Jadi saya nekad untuk membuat sesuatu yang boleh menambah pendapatan.”
Sebelum menutup perbualan, sempat penulis melontar satu soalan cepumas buat peminat filem Hindustan terutamanya lakonan Hrithik Roshan dan Tiger Shroff itu.
Seolah-olah dapat membaca telahan, usahawan berambut panjang ikal mayang itu tersenyum sambil memberitahu, dirinya masih belum berpunya.
Ditanya perihal ciri-ciri jejaka idaman, Tinie mengutamakan erti kesetiaan, bertanggungjawab, pandai mencari duit, mementingkan keluarga, bijak menghormati orang tua dan sedap mata memandang.
Tidak menolak jika jodoh ditentukan oleh keluarga kerana beliau percaya, pilihan ibu adalah yang terbaik.
“Saya tak kisah, malah sebelum ini pernah dijodohkan. Namun ia tak berpanjangan. Siapa tak sedih bila kita beri komitmen 100 peratus, tetapi pasangan pula main kayu tiga.
“Jika ibu ada pilihan, saya terima dengan hati terbuka. Kalau saya ada pilihan sendiri, sudah tentunya kena bawa jumpa dengan ibu dulu untuk keizinan,” katanya yang mengamalkan air basuhan beras dan putih telur untuk kejelitaan wajah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang