BELLA zahir, personaliti penghias muka depan SinarPlus kali ini mungkin sedikit berbeza dengan hos yang popular dan dikenali ramai.

Sedikit pengenalan mengenai empunya diri. Namanya mula dikenali selepas muncul bersama Neelofa di media sosial semasa mempromosikan jenama selebriti terkenal itu.

Malah, wanita yang tidak lokek dengan senyuman itu turut menjadi pilihan butik terkenal lain seperti MimpiKita, Tudung People dan banyak lagi sebagai model yang memperagakan jenama berkenaan.

bella zahir

Bella Zahir sebelum itu bekerja makan gaji di salah sebuah syarikat korporat sebelum ditawarkan menjadi hos.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya masih bertahan biarpun tidaklah sepopular hos lain. Paling mencabar ketika menerima tawaran sebagai hos untuk platform e-dagang popular, Shopee yang memerlukan saya mengacara secara langsung. Berdebar juga kerana tidak biasa pada mulanya, namun segala-galanya berjalan lancar,” ujarnya.

Baca ni Gabung fesyen moden dan elemen Jawa bukti kecintaan Aisha Retno pada warisan sendiri

Tampil lengkap dengan solekan dan busana rona hitam milik MimpiKita, empunya diri hadir ke studio Sinar Karangkraf sambil ditemani suami tersayang.

Memasuki sesi fotografi kedua, tatkala sang isteri sedia untuk memperagakan koleksi terbaharu butik Buttonscarves, sang suami yang mesra disapa Naim tampil membetulkan busana dan hijab yang digayakan isterinya itu.

Bella tanpa berselindung memberitahu suaminya kini bekerja bersama dengannya dan bertindak sebagai pengurusnya.

bella zahir 1

“Banyak kelebihan apabila suami bekerja dengan kita, sebagai contohnya, saya tak perlu nak risau fikirkan soal jaga aurat.

“Lagipun suami kenal saya luar dan dalam, jadi, memudahkan segala urusan. Beliau pun lebih suka sebab nampak kita depan mata,” ujarnya.

Ditanya mengenai perselisihan faham dalam satu-satu hal, jelas pemilik nama sebenar Nur Nabilah Mohd Zahir, katanya itu perkara biasa.

“Nama pun suami isteri, kan! Memang selalu berlaku cuma semuanya bergantung kepada tahap kematangan masing-masing.

“Kalau dulu umur 20-an, masing-masing hati panas cepat sahaja nak bergaduh. Sekarang, kami sudah matang dan bijak mengendalikan emosi masing-masing,” ungkap anak kelahiran Pulau Mutiara itu lagi.

Baca ni Restu ibu mengiringi, Jasmine Suraya pilih berlakon filem Indonesia sebelum sambung pengajian di LA

Isteri lebih dominan

Menjawab persoalan tentang karakter isteri lebih dominan di mata segelintir masyarakat, ini jawapan padu Bella.

“Bila bab kerja, kami profesional, tetapi kalau keluar berdua bukan atas urusan kerja, seboleh mungkin saya tak nak cakap bab kerja. Orang nampak luaran sahaja, tetapi mereka tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Memang saya lebih banyak ke hadapan kerana itu kelebihan yang ada dalam diri terutama menguruskan media sosial.

“Sementara suami pula lebih kepada seimbangkan dari segi pengurusan kerjaya saya dan juga bab produksi. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Justeru, tiada istilah isteri lebih dominan atau sebaliknya,” tegas beliau lagi.

Bella zahir 2

Perbualan kami seterusnya berkisar mengenai bab hijab. Personaliti media sosial itu seraya berkata, faktor sekeliling buat beliau nekad untuk memakai hijab sepenuhnya.

“Sebelum itu saya pakai tudung on off. Sehinggalah masuk universiti, kebanyakan kawan-kawan sangat menjaga bab penampilan termasuklah yang baru berhijab.

“Secara automatik, saya jadi terikut-ikut. Betul lah orang kata, betapa pentingnya dikelilingi aura yang positif, secara tak langsung buat kita nak jadi lebih baik,” ungkap Bella penuh makna.

Tuan punya badan turut bersyukur kerana sehingga kini belum pernah berlaku sebarang isu negatif atau kontroversi membabitkan isu berhijab.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mengikut gaya hijab sendiri tanpa dipengaruhi orang lain. Saya pakai apa yang dirasakan selesa dan mudah bergerak. Pesan suami, asalkan menutup aurat,” jelasnya lagi.

Baca ni Keluarga sistem sokongan kuat bantu Siti Khadijah ukir nama dalam industri. ‘Ibu didik, bina keyakinan sejak kecil…’

Lambakan tudung

Sempat penulis menyakat bertanyakan berapa banyak koleksi tudung yang ada dalam simpanannya.

Sementelah, beliau sering membuat reviu pelbagai jenama tudung sebelum ini.

“Banyak, tidak terkira rasanya. Mudah kata, suami pun pening lihat tudung dalam rumah kami. Itulah gambaran paling sesuai untuk soalan tersebut,” seloroh Bella sambil disambut tawa oleh suami tersayang.

Jelas beliau lagi, bukan malas atau tiada masa untuk mengemas, namun lambakan tudung yang begitu banyak membuatkan beliau membiarkan sahaja.

Bella zahir 3

“Sebelum ini, saya ada juga kemas dan lipat namun hanya mampu bertahan seketika kerana akan berselerak semula. Lama-lama saya biarkan sahaja tergantung atau diletak dalam bakul jika tidak sempat dilipat,” jelasnya sambil tertawa kecil.

Bicara soal hijab itu sekali gus membuka kisah empunya diri yang dalam diam membina jenamanya sendiri yang diberi nama Ruhi.

“Memang ada yang tanya kenapa nak keluar tudung sendiri. Tidak takutkah nak bersaing dengan jenama terkenal dan sudah sedia ada di pasaran sedangkan saya baru belajar bertatih.

“Namun saya anggap itu rezeki masing-masing. Alhamdullilah langkah saya ini mendapat sokongan ramai,” ungkapnya.

Menyambung bicara mengenai labelnya itu, segala-galanya bermula apabila beliau mahu menghasilkan rekaan untuk hijabnya.

Baca lagi ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

Iklan

Jelas selebriti berusia 33 tahun itu, Ruhi diambil dari perkataan Arab yang bermaksud roh atau soul.

“Saya sedar, dalam bidang pengacaraan ini tidak selamanya nama kita akan bertahan. Pasti ada tamat tempohnya.

“Jadi, saya kena ada plan B untuk masa depan dan inilah yang saya sedang praktikkan. Mungkin selepas ini saya keluarkan pakaian atau beg pula,” dedahnya yang turut berimpian membuka kedai makan suatu hari kelak.

Penulis cuba menyelami jiwa anak sulung daripada tiga beradik itu. Sikapnya yang cukup peramah dan banyak cakap, sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang pengacara.

Bella zahir 4

“Mungkin orang ingat, saya ini jenis suka bercakap 24 jam. Sejujurnya, habis sahaja program atau show, masuk sahaja dalam kereta, perkara pertama yang suami minta saya buat adalah tidur.

“Beliau nak saya rehat secukupnya. Namun, berbeza pula jika saya bersama dengan keluarga. Mungkin kerana kami tinggal berjauhan, jadi ada sahaja benda yang saya nak tegur atau berleter. Nama pun kakak sulung, kan,” ujarnya.

Baca juga As’ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. Hasil usaha dan kerja keras, kehidupannya berubah

Suka dekorasi rumah

Kata tuan punya badan, status kakak sulung ibarat ibu bapa ketiga dalam sesebuah keluarga.

“Manakan tidaknya, mak ayah sudah berumur, malas nak menegur andai adik-adik buat perangai , Jadi sayalah yang akan jadi tempat untuk mereka meminta tolong.

“Walaupun tinggal berjauhan dan adik-adik sudah besar panjang, yang sorang sudah bekerja manakala yang bongsu masih belajar, namun sebagai kakak, saya rasa bertanggungjawab terhadap mereka,” ungkap beliau lagi.

Melengkapi sesi perbualan kami, bab perkahwinan dan rumah tangga beliau turut dikongsikan bersama SinarPlus.

Iklan

Bella zahir 5

Pasangan sama cantik sama padan itu berkahwin pada 2017. Pun demikian, mereka masih belum direzekikan untuk memiliki zuriat.

Justeru, masa senggang dihabiskan dengan melakukan aktiviti bersama. Selain bermain boling, pasangan itu juga berkongsi hobi menghias kediaman.

Katanya lagi, sebelum ini mereka menyewa membuatkan hobi tersebut tersekat.

Kesibukan urusan kerja dan bisnes tidak menghalang kedua-duanya untuk melakukan kerja-kerja mendekorasi kediaman termasuk memasang wainscoting, jubin dan sebagainya.

“Penat soal kedua, yang penting ia memberi sentuhan sentimental selain enjoy berbuat demikian. Ada masanya memang rumah macam tongkang pecah, lebih-lebih lagi waktu kami sibuk shooting tudung.

Bella zahir 6

Baca ni ‘Tak perlu cipta helah raih perhatian.’ Jadi diri sendiri & anggap kerja ibadah, resipi Alif Satar sifar kontroversi 

“Namun masing-masing faham dan sama-sama saling ambil tugasan mengemas. Saya paling suka deko bahagian dapur. Sejuk mata memandang.

“Walaupun rumah kami kecil sahaja, namun cukup tenang dan selesa. Kalau tanya barang kegemaran saya pastinya mesin kopi. Ia ibarat kawan baik pada waktu pagi yang membantu mengembalikan mood saya,” ujar Bella yang memiliki kediaman tersebut sejak empat tahun lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang