ERIN Adlina Adnan tidak putus-putus memohon maaf lantaran lambat hadir pada sesi fotografi bersama SinarPlus di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Alasan kelewatannya wajar diterima. Tanpa membuang masa, jurumekap, Norezz Idris mengambil posisi untuk mengoles wajahnya yang mulus.

Di samping itu, penulis terus mengambil kesempatan berbual dengan seorang perancang kewangan yang semestinya bijak dalam mengurus setiap instrumen kewangan dan aset berharga.

Kepada penulis, Erin Adlina yang senang disapa Erin berkata, beliau baru sahaja melepaskan jawatan sebagai Group Agency Manager di Public Mutual Berhad selepas lebih 12 tahun mendambakan diri dengan profesion tersebut.

Erin Adlina

“Saya mengambil langkah drastik itu apabila melihat pelanggan terdiri golongan T20 dan M40 yang semakin celik ilmu. Mereka sudah bijak dalam soal pengurusan kewangan.

“Bagi saya, inilah masanya untuk kembangkan lagi bakat dengan strategi lebih ampuh. Justeru, saya menyusun pelan perancangan kewangan terbaik termasuk yang berlandaskan Islamik,“ ujarnya yang kini memegang jawatan sebagai District Manager Agency di sebuah syarikat pelaburan di ibu kota.

Erin Adlina

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, walaupun berdepan dengan cabaran berbeza, beliau percaya dengan bekalan ilmu dan pengalaman, segalanya dapat diatur dengan baik.

Apabila pencapaian beliau ditelusuri satu persatu, Erin seorang yang berbakat dan terkenal dalam skim pelaburan kolektif di negara ini.

Baca juga Eksklusif! Cinta dari dunia berbeza, Ku Muna dedah sikap suami yang ‘strong’ buat dirinya terpaut

Bayangkan, dalam tempoh lebih sedekad, pelbagai anugerah diterima termasuk diiktiraf sebagai The Youngest Award-Winning Group Agency Manager, Champion Top Recruiter 2021 dan pemegang gelaran Million Ringgit Producer sejak tahun 2010.

Erin Adlina

Beliau juga berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM409,188,506.28. Satu angka yang cukup besar, bukan?

Ujar pemenang 1st Runner Up Group Agency Manager 2020 itu lagi, beliau kini tidak lagi dilihat sebagai individu yang terlibat dalam sektor jualan semata-mata.

Erin Adlina

“Apa yang menjadi keutamaan saya adalah bagaimana saya mahu mendidik pelanggan untuk memanfaatkan pelaburan mereka dengan jaminan keuntungan lebih lumayan.

“Jika saya mempunyai opsyen lebih bagus, saya akan menasihatkan mereka untuk mempelbagaikan faedah,“ katanya.

Silibus kewangan di sekolah

Erin kemudian dibawa berbicara tentang perkara-perkara yang lebih santai. Sisi dirinya dibongkar secara berperingkat.

Dedah tuan punya badan, sebelum ini cita-cita beliau mahu bergelar seorang wartawan penyiaran kerana beranggapan bidang tersebut cukup glamor dan menyeronokkan.

Erin Adlina

“Saya sangat suka melihat gaya penyampai melaporkan berita di depan kaca televisyen. Itu sebab sejak dari zaman sekolah lagi saya memasang angan-angan ke arah itu. Pernah mencuba nasib di sebuah stesen penyiaran terkemuka negara dan alhamdulillah, saya diterima masuk.

“Namun, ia hanya bertahan selama lapan bulan sahaja. Saya belajar dan suka proses tersebut, tetapi tidak gemar dengan budaya kerja di sana. Saat itu, saya kata sudah cukup dan ini bukan tempatnya,“ imbau beliau.

Erin Adlina

Beritahu Erin, kerjaya yang dibina sekarang adalah berkat didikan ibu tersayang, Zaidah Zainal yang banyak memberi panduan tentang hal ehwal kewangan.

“Walaupun mama dan papa saya sudah hidup senang, namun bab pengurusan wang sangat diberi perhatian dan amalan itu diperturunkan kepada anak-anak.

“Jika dikenang kembali, paksaan mama suruh saya menyimpan wang di bank sebagai pelaburan seawal umur 18 tahun telah membentuk kerjaya saya pada hari ini,“ tuturnya.

Erin Adlina

Sebagai perancang kewangan, penulis bertanyakan pandangannya tentang anak muda yang banyak berhutang dan muflis, meskipun masih belum berumah tangga.

Berdasarkan statistik kebankrapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (2018 hingga Julai 2022), sebanyak 47,042 kes muflis direkodkan. Daripada jumlah tersebut, majoritinya membabitkan 27,431 orang Melayu.

Apa yang menyedihkan, sebanyak 10,263 kes terdiri dalam kalangan belia.

Erin Adlina

Erin berkata, jujurnya, beliau amat terkilan dengan situasi tersebut.

Bukan itu sahaja, melihat anak bangsa sendiri yang terpaksa mendapatkan bantuan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit juga adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Rata-rata golongan itu ungkap beliau, berdepan dengan masalah pembiayaan peribadi, sewa beli kereta dan hutang kad kredit yang melampau.

“Dalam hal ini, saya melihat desakan hidup dan kehendak yang melebihi had gaji antara faktor yang mendorong budak-budak muda mudah tergoda dengan tawaran kredit tanpa had.

Erin Adlina

“Tidak salah kalau nak guna kad kredit, tapi berpada-padalah. Kalau boleh, kita perlu melangsaikan hutang dengan jumlah sama yang digunakan dan bukannya membayar pada amaun minimum. Pilihlah pelan yang menguntungkan dan bukannya makan diri,“ nasihatnya.

Melihat perkara itu bagaikan satu fenomena, Erin berkata, pihaknya pernah mengusulkan satu silibus baharu diwujudkan dari peringkat sekolah rendah.

Cadangan tersebut pernah dipanjangkan ke kementerian berkaitan.

Iklan

Erin Adlina

“Sebenarnya, isu hutang-piutang atau bankrap ini kita tidak boleh beri nasihat semata-mata, kita kena buat lebih daripada itu. Itu sebab saya berpendapat satu mata pelajaran elektif dapat diperkenalkan di sekolah-sekolah,“ katanya.

Di samping itu, Erin memberitahu, beliau mempunyai metodologi tersendiri untuk menarik anak muda supaya mereka lebih faham dan tahu betapa signifikannya amalan menabung.

Erin Adlina

Baca juga ‘Bergelar ibu tak bermakna tinggalkan cita-cita.’ Pendirian tegas penulis lirik Pelukan Angkasa, Fazleena

Empunya diri antara lain mahu melahirkan sebanyak mana influencer yang mahir dalam selok-belok kewangan.

“Biasanya saya mengajak mereka tidak kira latar belakang untuk sama-sama melibatkan diri. Biasanya kelas saya dianjurkan secara online atau fizikal.

Erin Adlina

“Saya berharap mereka yang telah dilatih menjadi influencer aktif berkongsi ilmu yang dipelajari dan menyebar luaskannya kepada orang lain,“ katanya yang beriltizam mahu menjadikan anak muda zaman sekarang bebas daripda hutang dan pandai ‘buat duit‘.

Jaga hubungan

Di sebalik kesungguhannya sebagai perancang kewangan, Erin rupa-rupanya seorang model dan duta.

Berbadan langsing dan berketinggian mencecah 165 sentimeter, beliau pernah menjadi penghias wajah untuk jenama terkemuka seperti Duck, Lancome dan Estee Lauder serta beberapa label tempatan lain.

Erin Adlina

Iklan

“Sebenarnya sejak usia 17 tahun lagi saya sudah bergelar model, cuma sekarang ini saya lebih selektif dengan tawaran yang diberikan. Apabila kerjaya saya sekarang menuntut masa dan memerlukan saya lebih kreatif, saya kena bijak membuat pilihan.

Baca juga As’ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. Hasil usaha dan kerja keras, kehidupannya berubah

“Namun, untuk menjadi pelakon, saya tak fikir ke arah itu kerana ia bukan jiwa saya. Apatah lagi, saya bukan jenis suka duduk diam,“ ujar personaliti itu.

Erin Adlina

Sudah namanya duta, pastinya rejim penjagaan wajah akan diberi penumpuan khusus.

Akui Erin, dirinya perlu sentiasa kelihatan fit bukan sahaja untuk memberi keyakinan kepada jenama yang dibawanya, tetapi ketika berhadapan dengan klien dan orang ramai.

Baca juga Bukan hoki, tetapi pilih silat seni. Mirsha Mirnawan kongsi sebab mengapa pilih sukan itu

“Sibuk macam mana pun, saya akan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu supaya dapat keluar hormon endorfin yang buat kita gembira. Selain itu, saya akan buat aktiviti kegemaran untuk diri dan keluarga kerana mereka adalah segala-galanya.

Erin Adlina

“Bagi saya, menjaga hubungan dengan mama dan papa amat penting kerana restu mereka pendorong kejayaan saya. Sebab itu, saya akan sentiasa dekat dengan mereka dan pastikan ada masa berkualiti bersama,“ katanya lagi.

Erin Adlina

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi