Anak jadi yatim piatu sekelip mata, ibu ayah terbunuh dalam rusuhan perlawanan bola sepak
INSIDEN rusuhan yang berlaku di Stadium Bola Sepak Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.
Mana tidaknya, bukan seorang tetapi seramai 127 mangsa terbunuh dalam kejadian mengerikan tersebut!
Kini, jumlah mangsa semakin bertambah menjadi 182 orang (setakat artikel ini ditulis).
Antara mangsa terbunuh adalah pasangan suami isteri yang berasal dari Bareng Raya yang dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Lapor Kompas, mangsa, Devi Ratna Sari berusia 30 tahun bersama suaminya, Muhammad Yulianton, 40, turut membawa anak lelaki mereka, Muhammad Alfiansyah untuk menyaksikan Perlawanan Liga 1 Indonesia tersebut.
Keseronokan mereka bertukar tragedi apabila secara tidak semena-mena berlaku rempuhan di kawasan padang selepas penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan.
Pada mulanya hanya dua orang penyokong sahaja memasuki kawasan padang. Namun, keadaan semakin panas dan tidak boleh dikawal apabila seorang demi seorang didapati kelihatan berang, lalu merempuh masuk sama.
Pihak berkuasa cuba meredakan kemarahan dan melemparkan gas pemedih mata ke kawasan padang.
Pun demikian, rusuhan menjadi bertambah buruk apabila dua pegawai polis terbunuh.
Keadaan menjadi semakin genting apabila pihak berkuasa melemparkan asap pemedih mata ke arah kawasan tempat duduk pengunjung yang mengganas.
Baca juga Umpama marathon, berikut kronologi ratusan PATI lari dari depoh tahanan, 6 maut kemalangan
Gara-gara mahu menyelamatkan diri dan keluar daripada kawasan stadium, pengunjung terpaksa berasak menuju ke pintu sehingga menyebabkan satu persatu nyawa melayang.
Apa yang menyedihkan, Devi Ratna dan suaminya terkorban selepas dikatakan terjatuh dari tangga stadium dan dipijak pengunjung ketika cuba mencari pintu keluar stadium.
Nasib baiklah, anak lelaki mangsa berusia 11 tahun berkenaan berjaya diselamatkan pihak polis.
TAK SEMPAT SAMBUT ULANG TAHUN
Memetik bolatimes.com, adik kepada mangsa, Doni berusia 43 tahun memberitahu, keadaan tersebut benar-benar memberi trauma kepada keluarganya.
"Saya sendiri panik dengan kejadian itu dan segera menyelamatkan diri bersama anak berusia 11 tahun untuk mencari jalan keluar stadium.
"Apa yang mengejutkan apabila mendapat tahu abang dan isteri terperangkap di dalam sana selepas terjumpa dengan anak saudara yang berada di pintu keluar," ceritanya.
Tambahnya lagi, dia tidak menyangka kejadian rusuhan itu meragut nyawa saudaranya sendiri.
"Devi sebenarnya pertama kali datang stadium untuk menonton bola dan mereka juga sudah merancang untuk sambut ulang tahun kelahiran anak mereka pada bulan depan," katanya memetik portal itu.
Kedua-dua jenazah selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Umum Mergan di Kota Malang.
Bayangkan, bagaimanalah perasaan kanak-kanak tersebut melihat kedua ibu bapanya terbunuh di depan mata? Mesti trauma sehingga menjelang dewasa.
Baca juga Kehilangan ibu di usia 3 bulan, ayah 7 tahun, sedihnya kisah pemuda rebah ketika kawad
Lebih memilukan, si kecil itu secara automatik menjadi anak yatim piatu sekelip mata.
Moga Alfiansyah tabah berdepan dugaan yang tidak disangka-sangka dan dijaga dengan baik oleh ahli keluarga lain.
Berbalik kepada tragedi yang mengejutkan republik itu, apa yang SinarPlus harapkan, insiden buruk itu tak berlaku di negara kita.
Disiplinkan diri ketika menonton apa acara sukan sekalipun. Sukan sebenarnya untuk menyemarakkan semangat setiakawan, bukan bergaduh tak tentu fasal.
Meskipun marah atau berang sekali pun, janganlah sampai ada nyawa yang melayang. Perkara boleh bincang, baik dibawa ke meja perbincangan. Tak perlu gaduh-gaduh.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang