Baby 54 hari maut diberi minum air herba, wanita kecewa tindakan keluarga

SETIAP bayi hanya diberi susu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahirannya.

Umum maklum, tiada makanan atau minuman lain yang boleh diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut.

Makanan pelengkap pula hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas.

Pun begitu, berbeza dengan kejadian yang difahamkan berlaku di Indonesia ini.

Seorang wanita terpaksa menerima hakikat bayi kesayangannya ‘pergi’ buat selama-lamanya disebabkan kecuaian keluarganya sendiri.

Menerusi perkongsian wanita itu di Facebook @Aya Cans, anak kecil yang baru berusia 54 hari itu disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dan jangkitan paru-paru.

Ceritanya, dia akui sangat terkilan dengan sikap keluarganya yang sesuka hati memberi anak kecil itu minum air ramuan herba campuran daun kacang botol serta kencur.

Meskipun dia sudah melarang dan memberitahu ramuan tersebut tidak sesuai untuk bayi, tetapi keluarga tidak mengendahkan malah tetap memberikannya kepada si kecil.

Namun siapa sangka, kesan daripada ramuan herba tersebut, si kecil mula sesak nafas dan menghidap jangkitan paru-paru.

Ibu yang panik melihat keadaan anaknya itu bergegas mahu membawanya ke pusat rawatan namun lain pula yang jadinya apabila dihalang oleh keluarga.

Mereka berpendapat penyakit tersebut boleh diubati dengan minuman tradisional sahaja.

Akan tetapi, wanita berkenaan tetap bertegas mahu membawa anak kesayangannya itu ke hospital namun malangnya, sudah terlambat dan mangsa disahkan meninggal dunia.

Baca juga Ramai pesakit masuk hospital demam panas, ini pesan doktor untuk ibu ayah bila anak sakit

Kredit foto; Facebook @Aya Cans

Sedihnya! Dek kecuaian orang lain, meragut nyawa bayi tersayang.

Sementara itu, perlu diingatkan kepada semua wanita, setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini tidak berupaya melindungi dirinya daripada sebarang penyakit.

Sistem pertahanan bayi yang masih belum matang tidak mampu untuk melawan penyakit.

Susu ibu mengandungi beberapa faktor anti infeksi (melawan jangkitan) yang akan membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman, antaranya termasuklah yang berikut;

1. Laktoferin yang akan bergabung dengan zat besi (iron) untuk mencegah perebakan bakteria usus

2. Immunoglobulin (IgA) dan sel darah putih yang bertindak melawan kuman dalam badan.

Iklan

Kandungannya tinggi di dalam kolostrum. Kolostrum merupakan vaksin pertama yang perlu diberikan kepada bayi untuk melawan bakteria dan virus.

3. Protein, vitamin A dan E yang berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan penyakit mata.

4. ‘Bile salt stimulated lipase’ yang berfungsi melindungi bayi daripada jangkitan ameba.

5. Faktor bifidus yang berfungsi untuk membantu bakteria khas iaitu lactobaccilus untuk membiak di dalam usus bayi. Dengan adanya bakteria baik ini, bakteria tidak baik (patogenik) akan dihapuskan dan hal ini dapat menghindarkan bayi daripada mendapat penyakit.

6. Limfosit-limfosit dan makrofaj yang membantu melawan kuman yang masuk ke dalam badan bayi.

Baca juga Kanak-kanak 3 tahun maut dijumpai dalam mesin basuh, ini panduan ibu bapa

Iklan

7. Agen anti keradangan yang melindungi bayi daripada mendapat kesan keradangan yang teruk.

8. Antibodi ibu boleh diberi kepada bayi melalui penyusuan susu ibu. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat mendapati, bayi yang menyusu dengan susu ibu akan menerima antibodi daripada ibunya yang akan melindungi bayi daripada jangkitan kuman.

9. Faktor pembesaran. Selenium, karotenoid asli dan nukleotida boleh membantu perkembangan dan kematangan sistem imun bayi. Kematangan sistem imun penting supaya badan bayi berupaya untuk melawan penyakit yang menjangkitinya.

Sumber: Health Okezone, usm.my/rakanbayi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.