IRONINYA setiap pasangan bercinta enggan berpisah lama lantaran memendam rindu mendalam.

Begitu juga dengan pasangan kekasih Alexandr Kudlay, 33, dan Viktoria Pustovitova berusia 29 tahun yang mengambil keputusan memasang gari pada tangan mereka sempena Hari Kekasih 14 Februari lalu.

Paling menakjubkan sepanjang 123 ‘diikat’ bersama umpama belangkas mereka perlu bergerak bersama, malah terpaksa menggunakan tandas secara berhadapan antara satu sama lain.

Ini termasuklah mandi bergilir-gilir dengan jarak beberapa inci, ke pasar raya, merokok dan saling menemani ketika bekerja.

Idea menggari tangan dilakukan oleh pasangan kekasih terbabit adalah usaha terakhir untuk mengekalkan hubungan mereka yang bermasalah.

Pustovitova yang merupakan juruteknik bulu mata dari Kharkiv, Ukraine itu mengusulkan agar beliau dan pasangannya seorang jurujual kereta, mengunci diri pada Hari Valentine lalu.

Pada awal digari Pustovitova berharap agar keputusan mereka itu membawa harapan baharu dalam hidupnya. Pun begitu, malangnya tindakan itu bukan menambahkan sinar, malah menjadikan hubungan mereka lebih suram.

Jelas Pustovitova, Kudlay ingin kembali pada kehidupan normal dan mengatakan ketinggalan melakukan pelbagai perkara disukai.

Lelaki itu menyifatkan keputusan menggari bersama menambahkan lagi masalah pada hubungan cinta mereka.

Lebih merumitkan keadaan apabila pelanggan Pustovitova berasa kurang selesa dengan kehadiran Kudlay berdiri di sebelah semasa beliau merias bulu mata.

Selain itu, mereka juga mengalami perselisihan faham dan tidak bertegur selama empat jam kerana tiada privasi.

Iklan

Baca juga Wanita Terkejut, Bakal Menantu Rupa-Rupanya Anak Yang Hilang 20 Tahun Lalu

Ini jelas menunjukkan bahawa eksperimen menggari itu menunjukkan mereka tidak serasi dan tidak mempunyai pemikiran sama.

Rekod 123 hari digari bersama yang dicipta Pustovitova dan Kudlay telah memecahkan rekod peringkat Ukraine dan antarabangsa.

Rakaman terakhir yang disiarkan di laman sosial Instagram menunjukkan pasangan tersebut berdiri berjauhan dan hanya memandang ke bawah.

“Hooray! Saya kini bebas,” teriak Pustovitova ketika gari dibuka.

Pustovitova dan Kudlay telah berpisah dan kini tinggal di wilayah berlainan di Ukraine.

Baca juga 8 Bulan Bercinta, Ahli Bina Badan Nekad Kahwini Patung Silikon

Iklan

Menurut Reuters, mereka turut menyatakan hasrat menjual rantai besi yang dipakai menerusi lelongan dalam talian dan sebahagian hasilnya disumbang kepada badan amal.

Pustovitova turut menasihatkan pasangan kekasih di seluruh dunia untuk tidak menguji kekuatan cinta pasangan dengan mengikat diri bersama.

“Saya rasa ini akan menjadi pelajaran yang baik untuk kami dan pasangan lain di seluruh dunia. Tolong jangan mengulangi apa yang kami lakukan,” kata Pustovitova.

Kejadian ini pelik tapi benar. Walaupun setiap pasangan bercinta mahu sentiasa berada di sini, tetapi itu tidak bermakna privasi dan hak peribadi perlu digadaikan. Diharapkan perkara yang merugikan seumpama ini tidak dilakukan di negara kita.