Jenazah Kapten Afwan dikebumikan, isteri mohon doa keluarga kuat
SESIAPA pun akan diselubungi kesedihan apabila berdepan kehilangan yang tersayang.
Begitu juga yang terjadi kepada anak dan isteri juruterbang Sriwijaya Air SJ 182, Kapten Afwan.
Si anak yang masih berharap agar Kapten Afwan pulang kerana merasakan ayahnya masih terbang menjalankan tugasnya sebagai juruterbang.
Walaupun begitu, isteri Kapten Afwan mengakui bahawa dirinya telah reda dengan pemergian suami tercinta.
Dia juga meminta orang ramai mendoakan agar keluarganya kuat dan sabar untuk meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.
Mayat Kapten Afwan dikenal pasti oleh Pasukan DVI Ibu Pejabat Polis pada hari Jumaat lalu, 29 Januari 2021.
Menurut Tribunnews, selain Kapten Afwan, dua mayat lain turut telah dikenal pasti.
Karopenmas Polri Brigjen Jenderal Rusdi Hartono berkata, mangsa pertama Afwan RZ (54), kedua adalah Suyanto (40) dan yang ketiga adalah Riyanto (32).
Oleh itu, jumlah mayat mangsa yang telah dikenal pasti identiti mencapai 58 dari jumlah 62 penumpang di dalam pesawat.
Jenazah Kapten Afwan dikebumikan di Taman Makam Bahagia (TMB) Pondok Rajeg, Cibinong, Kabupaten Bogor, semalam.
Sebelum dikebumikan, jenazahnya ditempatkan di bilik mayat lebih kurang satu jam atas permintaan dua anak perempuan Kapten Afwan.
Isteri Kapten Afwan, Pipit Rahmawati, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu proses pengebumian.
"InsyaAllah, keluarga kami reda dan ikhlas menerima ketetapan Allah ini, semoga keluarga kami dapat menjadi kuat dan sabar dalam mengatur kehidupan di masa depan," ujarnya.
Sementara itu, kisah kebaikan Kapten Afwan, juruterbang pesawat Sriwijaya Air SJ 182 yang terhempas, menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Juruteknik pesawat Sriwijaya Air, Novrizka Rizkiano atau dipanggil Rizki, rakan Kapten Afwan, menjelaskan kebaikan Allahyarham.
Rizki mengenali Kapten Afwan sebagai juruterbang yang baik dan sabar serta tidak pernah marah.
"Arwah sememangnya boleh dicontohi kerana beliau sangat baik dan sabar. Semasa bekerja, Kapten Afwan tak lekang dengan memakai topi putih di kepalanya."Beliau juga sentiasa mengajak rakan-rakan lain untuk bersolat secara berjemaah," katanya.
Artikel berkaitan: Kronologi nahas pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya
Pesawat komersial Sriwijaya Air dilaporkan hilang kontak selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta untuk menuju ke Pontianak, 9 Januari lalu.
Menurut jurucakap Kementerian Perhubungan (Pengangkutan) Indonesia, pesawat komersial itu berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat dan dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 petang waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
Pesawat jenis Boeing 737-500 itu membawa 62 penumpang termasuk anak kapal dilaporkan terputus hubungan selepas beberapa minit berlepas.
Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang