‘Kalau tak balik rumah, tengok anak kau ni!’ Bapa naik gila, rekod pijak dan pukul bayi 22 bulan
HANYA kerana isteri lari dari rumah, seorang lelaki tergamak bertindak kejam dan tidak berhati perut terhadap anaknya yang baru berusia 22 bulan.
Bukan saja pukul, si kecil itu dipijak pada bahagian perut dan muka. Meski anak meraung kesakitan, namun si ayah durjana tersebut tetap tidak berhenti.
Apa yang lebih mengejutkan, aksi kejam itu dirakam sendiri oleh si bapa dan dihantar kepada isterinya sebagai ugutan supaya wanita itu kembali ke pangkuannya.
“Kalau tak balik rumah, tengok anak kau ni!,” jerit lelaki berusia 26 tahun itu dalam rakaman video pendek tersebut sebelum dipadam di media sosial.

Lapor TV One News, kejadian yang berlaku di Purwakarta, Jawa Barat, Indonesia itu tular di media sosial apabila seorang lelaki dilihat mengangkat dan membalikkan badan anak kecil itu dengan kasar.
Menurut kenyataan polis, lelaki kejam itu berada dalam keadaan sedar semasa kejadian dan tidak dipengaruhi alkohol atau dadah.

“Suspek telah kami tahan. Proses dokumentasi sedang dipercepatkan agar dapat segera diserahkan kepada pendakwa raya,” katanya yang memaklumkan suspek berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun.
Hasil siasatan awal, si kecil itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan difahamkan mengalami kecederaan fizikal termasuk kesan cucuhan rokok pada beberapa bahagian badan.

Lebih menyedihkan, ibu mangsa turut pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Walaupun kini keadaan fizikal kedua-dua mangsa semakin baik, mereka masih mengalami trauma emosi dan gangguan psikologi.

Ibu muda histeria
Satu lagi kisah menyayat hati dari Makassar, Sulawesi, Indonesia apabila seorang ibu muda berusia 25 tahun didakwa memukul anak lelakinya yang baru berusia dua bulan dengan balang kaca sehingga maut.
Kejadian berlaku pada malam Jumaat lalu sekitar jam 8 malam di kawasan Pampang, Kecamatan Panakkukang.
Menurut laporan media tempatan, wanita tersebut bertindak agresif dan memukul kepala bayi tersebut menggunakan balang kaca.

Walaupun sempat dihantar ke hospital, namun bayi itu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan.
Saksi memaklumkan, ketika dibawa ke hospital oleh polis, ibu itu menangis dan menjerit histeria sambil memeluk bayinya.

“Pada mulanya dia mengaku, tapi kemudian kenyataannya tidak konsisten. Jadi kami akan dapatkan penilaian psikologi untuk fahami keadaannya ketika kejadian berlaku,” jelas pihak polis.
Kejadian tersebut mengundang kesedihan dan kemarahan ramai kerana sebelum ini, suspek kerap berkongsi gambar anaknya di media sosial.
Moga kedua-dua kes dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal. Kasihan anak yang masih kecil menjadi mangsa emosi dewasa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

