PADA 1 Julai 1960 seekor cimpanzi betina telah dilahirkan di Zoo Taronga, Sydney. Ia dinamakan Spitter yang merupakan anak cimpanzi pertama lahir di zoo itu.

Dia dibesarkan oleh ibunya, Biddy. Setelah enam dekad dan mencecah usia 61, Spitter bukan sahaja salah satu daripada cimpanzi yang disahkan tertua yang masih hidup, malah ia dikatakan sebagai cimpanzi betina tertua tinggal di zoo.

Bagaimanapun, selepas 61 tahun menggembirakan beberapa generasi warga Sydney, haiwan primat itu kini tiada lagi.


Baca juga: Gorila pernah viral kerana swafoto, mati dalam pelukan penjaga

Menurut jurucakap Zoo Taronga, Spitter telah menghembuskan nafas terakhir semalam.

“Sedihnya selepas melihat Spitter mengalami masalah perubatan akut. Sukar untuk membuat  keputusan mematikannya dengan cara tidak menyakitkan.

“Spitter bukan sahaja ibu bapa komuniti cimpanzi kami, tetapi dalam banyak aspek, ia umpama ketua haiwan di zoo ini,” titip jurucakap zoo itu menerusi laman sosial Facebook.

Mereka menyifatkan haiwan itu sebagai nenek moyang dan yang memainkan peranan penting dalam komuniti cimpanzi di Taronga yang terdiri daripada 21 ekor.

Direkodkan, cimpanzi tertua di dunia yang hidup di zoo ialah Little Mama yang hidup di Lion Country Safari sehingga usia 79 tahun. Kematiannya adalah disebabkan kegagalan buah pinggang.

Manakala seekor lagi  ialah cimpanzi jantan dinamakan Joao yang tinggal di Zoo Maputo, Mozambique. Joao dianggarkan berusia 74 hingga 79 tahun dan merupakan adalah ‘alpha male’ di dalam kumpulannya.

 

Iklan

Cimpanzi liar yang tertua yang pernah direkodkan ialah Auntie Rose yang hidup sehingga 63 tahun.

Bercakap mengenai cimpanzi, pasti ramai akan terlintas tentang seorang wanita yang menjadi pakar haiwan itu. Dr Jane Morris Goodall adalah ahli etologi, antropologi, dan primatologi dan dianggap yang paling pakar  di dunia mengenai cimpanzi.

Goodall dikenali melalui penyelidikan beliau selama 55 tahun ke atas cimpanzi liar di Taman Negara Gombe Stream, Tanzania pada tahun 1960.

Iklan

Baca juga: Ada kesan darah bersama najis, gajah betina mati terduduk di Padang Terap

5 info menarik cimpanzi

  • Cimpanzi boleh mencapai ketinggian satu hingga 1.7 meter manakala berat kira-kira 32 hingga 60 kilogram.
  • Cimpanzi jantan cenderung lebih besar cimpanzi betina.
  • Cimpanzi adalah spesies terancam. Ia kerap diburu untuk mendapatkan dagingnya, kemusnahan habitat akibat pembalakan atau pertanian, dieksport komersial untuk kegunaan di zoo dan makmal penyelidikan.
  • Ia hidup dalam kumpulan 20 hingga 100 ekor.
  • Cimpanzi bernama Ham adalah cimpanzi pertama ke angkasa pada tahun 1961 menerusi program angkasa Amerika Syarikat, Projek Mercury.

Baca juga: Ular sawa berat 100kg ala Anaconda ditemui di Perak. Mampu telan mangsa sama berat badannya

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!

Sumber: Daily Mail,Project Chimp, Chimp Eden, Britannica