Tak dapat nafkah, punca 42 guru wanita minta cerai selepas jawatan disahkan. 'Ada pendapatan sendiri, lebih berdikari'
BARU-baru ini kecoh di media sosial trend yang berlaku melibatkan guru-guru wanita yang memohon perceraian terhadap pasangan masing-masing.
Apa yang menimbulkan persoalan guru-guru di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat itu mengemukakan permohonan cerai hanya selepas jawatan mereka sebagai Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK) disahkan.
Menurut catatan Dinas Pendidikan, Pemuda dan Olahraga (Disdikpora) daerah tersebut, seramai 42 daripada kira-kira 3,000 guru PPPK baharu yang dilantik turut mengambil langkah memfailkan perceraian.
Ketua Disdikpora Cianjur, Ruhli, menjelaskan bahawa sebahagian besar permohonan cerai dikemukakan oleh guru wanita.
“Kebanyakannya wanita yang memfailkan perceraian terhadap suami masing-masing,” katanya seperti dilaporkan Kompas.com.
Tambah Ruhli, faktor utama yang mendorong peningkatan kes ini ialah perubahan taraf ekonomi dalam kalangan guru wanita selepas dilantik sebagai PPPK.
“Pendorong utama adalah faktor ekonomi. Kini, wanita yang dahulunya bergantung kepada pendapatan suami telah mempunyai pendapatan sendiri dan lebih berdikari, lalu memilih untuk menamatkan perkahwinan,” jelasnya.
Di Kabupaten Wonogiri, Jawa Tengah, seramai 12 orang penjawat awam (ASN) mengemukakan permohonan cerai selepas dilantik sebagai PPPK mahupun PNS.
Ketua Bahagian Pentadbiran dan Penilaian Prestasi Aparatur BKPSDM Wonogiri, Wahono, menyatakan bahawa majoriti pemohon adalah wanita dan alasan utama adalah ketiadaan nafkah daripada suami.
“Kalau faktor lain seperti kewujudan orang ketiga memang ada. Tetapi kebanyakannya disebabkan perkara itu (ekonomi),” tegasnya.
Fenomena itu mencetuskan perdebatan umum mengenai hubungan antara status ekonomi dan keputusan dalam rumah tangga.
Sebahagian pemerhati melihatnya sebagai gejala sosiologis yang mencerminkan peningkatan kesedaran wanita terhadap hak dan kemandirian diri.
Namun, ramai juga berpendapat bahawa perlu ada pendidikan yang lebih mendalam tentang kepentingan komunikasi dan kerjasama dalam rumah tangga, terutama apabila berlaku perubahan dalam keadaan sosial dan ekonomi.
Sumber: Kompas
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

