HomeFYIEh! Apa Tu?15 info tuntutan mutaah...

15 info tuntutan mutaah & harta sepencarian wanita bercerai berhak dapat daripada bekas suami

15 info mutaah & harta sepencarian wanita bercerai berhak tuntut dari bekas suami

PENCERAIAN bagi pasangan yang berumah tangga sudah semestinya sesuatu yang paling tidak diinginkan. Namun andainya sudah tiada persefahaman dan mana-mana pihak tidak lagi mampu menunaikan tanggungjawab, penceraian adalah jalan keluar.

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, ALLAH SWT telah menyatakan :

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin kemudian jika mereka menyusu (anak-anakmu) untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

( Surah at-Talak : 6 )

Gambar hiasan (Kredit foto: Unsplash)

Demikian ALLAH memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Baca juga: Penceraian hakam jalan terakhir suami enggan lafaz talak, 20 fakta wanita perlu tahu

Bagi wanita yang melalui penceraian, selain hak penjagaan anak atau hadanah dan nafkah iddah, terdapat beberapa perkara lagi yang berhak dituntut iaitu tuntutan mutaah dan harta sepencarian.

Baru-baru ini masyarakat tertumpu kepada kes tuntutan penceraian pelakon, Puteri Sarah Liyana dan suami, Syamsul Yusof yang turut menyebut berkaitan tuntutan mutaah. Selain tuntutan hak penjagaan anak dan nafkah anak, Puteri Sarah membuat tuntutan mutaah.

Beliau bagaimanapun tidak menuntut harta sepencarian daripada pengarah filem Mat Kilau itu.

Baca juga: Puteri Sarah enggan tarik saman Ira Kazar, pengurangan nafkah anak antara sebab penceraian tertangguh, 11 info berkaitan

Apakah sebenarnya tuntutan mutaah dan harta sepencarian ini? Berikut 15 info berkaitan wanita perlu tahu:

1-Mutaah ialah pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas
isterinya selepas mereka bercerai sama ada berupa wang atau pun barang.

2-Sagu hati mutaah ini dikira bayaran yang wajib apabila perceraian itu berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan pihak bekas isteri.

3-Jumhur ulama menyatakan hukum asal mutaah ialah sunat iaitu suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Ia bersandarkan kepada ayat 236 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Hendaklah kamu memberikan mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian”.

4-Mengikut Imam Shafie, mutaah itu wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum atau selepas disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum. Ia boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan barang lain.

5-Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.

Baca juga: Hak penjagaan anak Diana Danielle dilanjutkan, 15 info wanita perlu tahu tentang hadanah interim

Baca juga: Ibu paling berhak dapat hadanah, 15 info wanita wajib tahu tentang penjagaan anak lepas bercerai

6-Dengan pemberian mutaah ini kepada bekas isteri:
a) Akan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
b) Akan mengelakkan prasangka buruk masyarakat terhadap isteri itu bahawa perceraian adalah berpunca daripada kesalahan isteri.
c) Ia merupakan penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

7-Apakah prasyarat untuk isteri memohon mutaah di Malaysia?
a) Wujud perkahwinan yang sah.
b) Berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri.
c) Perceraian hidup.
d) Berlaku persetubuhan.
e) Perceraian bukan disebabkan oleh suami papa.

8-Apakah faktor yang menggugurkan hak mutaah?
a)Isteri yang nusyuz yang disabitkan oleh mahkamah.
b)Isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad.
c)Isteri murtad.
d)Perceraian secara tebus talak.

9-Bagaimanakah kadar mutaah ditentukan? Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah daripada bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan. Namun begitu, terdapat prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada:
a) kemampuan suami.
b) status pasangan.
c) tempoh perkahwinan.
d) pengorbanan isteri.

9-Peruntukan mengenai mutaah pada umumnya terdapat dalam semua Enakmen Keluarga Islam Negeri. Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, misalnya menyebut –“Sebagai tambahan kepada haknya untuk
memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah, dan mahkamah selepas mendengar pihak-pihak itu dan berpuas hati bahawa
perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.”

Iklan

10-Manakala harta sepencarian ialah suatu harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Baca juga: Diana Danielle, Farid Kamil bakal jalani Sulh. 11 info wanita perlu tahu, rupanya bukan untuk penceraian sahaja

11-Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.

12-Harta sepencarian yang diperoleh dalam masa perkahwinan itu dinilai dari dua perkara:

a)Sumbangan secara langsung yang bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset dan harta berkenaan.

Contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi dan memberi sumbangan wang, modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapatan mereka bersama.

c)Sumbangan secara tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu.

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

13-Kadar pembahagian harta sepencarian adalah berdasarkan takat sumbangan yang diberi oleh satu-satu pihak itu dan ia juga akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan faktor yang berikut:
a)Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak-pihak dalam bentuk wang, harta atau kerjadalam memperoleh harta tersebut.
b)Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat kebaikan mereka bersama (usaha bersama sahaja).
c)Keperluan anak-anak yang belum dewasa dalam perkahwinan itu.

14-Perintah pembahagian harta pencariaan boleh dibuat dengan pelbagai cara iaitu :
a) Secara Sulh/ pengantaraan
b) Secara bayaran balik
c) Secara penjualan
d) Secara dibahagi dua
e) Pertimbangan mahkamah dengan mengambil kira kadar yang munasabah dan takat sumbangan pihak itu.

15-Berikut perkara-perkara yang perlu dikemukakan
semasa membuat tuntutan di mahkamah. Ia meliputi:
a) Jenis harta, sama ada harta alih atau tak alih.
b) Setakat banyaknya sumbangan dalam pemilikan harta itu.
c) Dokumen-dokumen pembelian atau pemilikan harta/aset seperti tanah, rumah, kereta atau syer.
d) Saksi-saksi yang boleh menerangkan bagaimana pemilikan harta/aset itu, sama ada berpunca daripada usaha bersama atau usaha tunggal satu pihak.
e) Bukti tanggungan-tanggungan salah satu pihak seperti hutang-piutang atau anak-anak
dalam jagaan.

Baca juga: Apakah dimaksudkan cerai cara baik Puteri Sarah dan Syamsul Yusof? 13 info wanita perlu tahu

Iklan

Kesimpulannya, cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak ini ialah secara perundingan antara suami dan isteri.

Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.

Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang cukup.

Baca juga:  Tak sangka poligami punca risiko kanser pangkal rahim. Suami ambil perhatian, jangan tuding jari pada isteri sahaja

Kredit foto utama: Pexels 1, 2, Freepik

Sumber: Jabatan Biro Bantuan Guaman Malaysia 1, 2 , Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Artikel Menarik

Terkini

Dari Penulis