KEHILANGAN ibu tunggal, Mira Sharmila Shamsusah, 32, atau Bella menjadi perhatian seluruh negara. 38 hari gagal dikesan, berita penemuan rangka di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat yang dikaitkan dengan wanita itu.

Baca juga: ‘Aku akan tuntut keadilan pemergianmu.’ Ujian DNA sahkan rangka milik Bella, kakak akui ujian berat keluarga, takkan berdiam diri

Berikut kronologi kes kehilangan ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia dua dan empat tahun itu :

14 Disember 2023

Ibu tunggal berkenaan keluar dari rumah menaiki kereta bersama teman lelakinya pada jam 11.50 malam untuk mencuci pakaian di kedai dobi berdekatan berdekatan rumahnya di Taman Soga, Simpang Rantai, Batu Pahat, Johor.

Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran, Mila dilihat menaiki sebuah Toyota Vios putih.


15 Disember 2023

Kehilangan Bella mula disedari kakaknya, Norhisham Shamsusah, 36, yang gagal menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp.

16 Disember 2023

Norhisham membuat laporan pertama di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat dan polis kemudian membuat hebahan mengenai Bella di media sosial.


18 Disember 2023

Laporan polis kedua dibuat ahli keluarga Bella di IPD Batu Pahat.

23 Disember 2023

Polis memanggil lima individu untuk membantu siasatan dengan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang selain merekodkan kehilangan keterangan daripada teman lelaki Bella.

Keterangan lelaki bekerja di sebuah syarikat kurier dan berusia 24 tahun itu dirakam sebanyak dua kali.

28 Disember 2023

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mendedahkan kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda.

Paling mengejutkan, pakaian yang diletakkan dalam bakul yang sepatutnya mahu dicuci di kedai dobi itu, ditemui dalam rumah Bella pada keesokan hari, selepas beliau dilaporkan hilang.

Baca juga: &’Anak saya tidak boleh bercakap, hubungi jika nampak’ Lengkap uniform sekolah, kanak-kanak autisme 6 tahun hilang

Baca juga: Kes remaja, wanita dan kanak-kanak hilang sering berlaku, ini prosedur melaporkan

Baca juga: Awas tong gas dalam rumah boleh meletup! Ini cara kesan, panduan keselamatan wanita wajib tahu

30 Disember 2023

Keluarga terkejut teman lelaki Bella dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman sejak 25 Disember lalu atas faktor kesihatan.

Timbul satu lagi misteri iaitu pihak polis bertanyakan Norhisham mengenai individu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz.

Norhisham berkata, polis bertanyakan padanya mengenai perkara itu selepas teman lelaki Bella memberitahu adiknya dibawa menaiki MPV terbabit selepas diturunkan di hadapan kedai tom yam di Jalan Kenanga sedangkan semakan dibuat melalui CCTV, tiada langsung pergerakan kenderaan yang dimaksudkan.

Wanita itu yakin teman lelaki Bella adalah individu terakhir yang dilihat bersamanya pada malam 14 Disember lalu sebelum hilang keesokannya.

10 Januari 2024

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan dua individu ditahan mengikut Seksyen 365, Kanun Keseksaan kerana culik.

15 Januari 2024

Ibu Bella, Noraini Salleh, 55, bermimpi anaknya itu dalam kesusahan dan meminta pertolongan dengan semua anggota badan terikat.

19 Januari 2024

Rangka manusia tidak sempurna ditemui pada jam 2 petang di sebuah rumah sewa Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat susulan penahanan seorang suspek utama. Lelaki yang ditahan itu dipercayai individu paling rapat dengan Bella, sekali gus membawa ke lokasi penemuan rangka berkenaan.

Kakaknya, Norhisham berharap rangka bersama pakaian berkenaan bukan milik adiknya

“Kalau boleh itu (rangka) bukan Bella, saya harap sangat ALLAH SWT memakbulkan doa kami,” katanya.

Baca juga: Mayat Zayn Rayyan diletak ketika hujan lebat, disyaki hanya seorang pelaku, petunjuk suspek semakin jelas

Baca juga: Kronologi tragedi bakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 23 terbunuh, pelaku 22 tahun kekal dipenjara, seorang dibebas

Baca juga: Kejamnya! Pembuat roti canai diperkosa & dikelar ditemui maut, 5 anak hilang ibu sekelip mata, ini kronologi menyayat hati

20 Januari 2024

Norhisham berkata Bella keluar rumah pada jam 11.40 malam hanya memakai baju kelawar biru gelap sambil ditemani teman lelakinya.

Wanita itu percaya cebisan kain yang ditemukan pada rangka berkemungkinan besar pakaian yang dipakai adiknya.

21 Januari 2024

Iklan

Norhisham dalam hantaran di Facebook mendakwa pegawai penyiasat enggan berjumpa dengannya, selain mempertikai keputusan polis melepaskan individu dipercayai suspek utama atas alasan lelaki itu menghidap penyakit ‘tiga serangkai‘.

Beliau yang paling rapat dengan Bella berkata adiknya itu sentiasa berkongsi semua perkara dan kali terakhir mereka berhubung adalah melalui aplikasi sembang pada jam 11.38 malam, 14 Disember.

“Saya dan Bella ni sentiasa share benda apa kami nak buat.. Bella takkan hilang macam ni… Masa hari last chat 14.12.2023 pukul 11.38 malam Bella tanyakan sesuatu..saya sudah jawab kemudian Bella senyap.

“Mungkin masa tu last nyawa dia dihabiskan…,” tulisnya memaklumkan dia juga mengambil pelbagai usaha mencari bukti.

Malah, Norhisham juga menzahirkan rasa kecewa kerana telah memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan balai polis untuk memaklumkan kehilangan Bella mempunyai unsur jenayah, bukan lagi kes orang hilang (OH) dan nyawa adiknya itu menjadi taruhan, selain mahu berjumpa pegawai penyiasat (IO) kes terbabit namun dakwanya pegawai berkenaan enggan bertemu kerana kes disiasat adalah OH.

“Ya kami tersangat-sangat kecewa…,” tulisnya.

Baca juga: Lost contact lepas telefon bimbit terkena air laut, ini kronologi nenek, anak, 2 cucu hilang di Pulau Perhentian akhirnya ditemui

Baca juga: Misteri kehilangan pasangan dari Hickman County terjawab, ini cerita sebenar yang buat ramai tergamam

Baca juga: Gara-gara cemburu, wanita maut ditarik teman lelaki terjun tebing 25 meter

Dalam hantarannya lagi, Norhisham menulis seolah-olah rangka ditemukan itu ada kaitan dengan adik perempuannya.

“Sekarang selepas 38 hari… Apa yang saya dan keluarga dapat.. Kami cuma dapat rangka.. Kenapa masa reman tidak tekan dia habis-habis…

“Kalau tahu awal mana Bella disorokkan.. Mesti keluarga dapat body bukan rangka… walaupun body dah tak bernyawa tapi masih boleh kami peluk cium untuk kali terakhir,” tulisnya.

Justeru, tulisnya lagi, mereka sekeluarga menuntut keadilan buat Bella seandainya itu pengakhiran buat adiknya.

Media melaporkan tiga individu, termasuk teman lelaki Bella dan bapa saudara kini direman polis hingga 27 Januari ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,”.

Proses bedah siasat ke atas rangka ditemui pula sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru manakala keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)  akan diperolehi selewat-lewatnya minggu depan.

Iklan

Sama-sama kita doakan semoga kes Bella dapat dirungkai segera dan pesalah diberikan hukuman setimpal.

LANGKAH PENCEGAHAN JENAYAH BAGI WANITA

• Jika keluar bersendirian, beritahu ibu bapa, ahli keluarga atau rakan tentang rancangan perjalanan anda.

• Berhati-hati dengan persekitaran terutamanya di tempat gelap dan sunyi.

• Elakkan berjalan sendirian terutama pada waktu malam.

• Apabila menggunakan pengangkutan awam, cuba duduk dengan penumpang wanita.

• Berhati-hati dengan orang tidak dikenali dan mencurigakan yang berkeliaran terutamanya di tandas awam dan lif.

• Berhati-hati dan bersiap sedia dengan kunci semasa berjalan menuju ke kereta anda sama ada di tempat letak kereta terbuka atau berbumbung.

•Letak kereta di tempat yang terang dan minta pengawal keselamatan menemani anda ke kereta jika berasa tidak selamat.

•Jangan terima apa-apa minuman atau makanan daripada orang yang tidak dikenali dan elakkan minuman anda tanpa dijaga.

•Jangan sekali-kali bersetuju untuk bertemu sesiapa sahaja yang anda kenali melalui media sosial. Jika perlu, berjumpalah dalam satu kumpulan di tempat yang mempunyai ramai orang.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian, Buletin TV3, Buku Panduan Bersatu Memerangi Jenayah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!